+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Bukti Sahkan Dakwaan Gabungan Virus Covid-19, Vaksin Dan Cacar Monyet Wujudkan Varian Baharu AIDS

Benarkah...

Gabungan virus Covid-19, vaksin dan cacar monyet akan mewujudkan penyakit AIDS versi baharu yang lebih berbahaya.

Sumber : Twitter / September 2022

Hasil

Tiada bukti sahkan dakwaan itu. Jangkitan virus Covid-19 dan cacar monyet adalah daripada sumber berbeza dan tiada kaitan di antara satu sama lain.  

22/09/2022 01:44 PM

SEKILAS FAKTA

  • Seorang doktor perubatan dari Indonesia mendakwa virus Covid-19, vaksin Covid-19 dan cacar monyet akan mewujudkan AIDS versi baharu.
  • Beliau turut mendakwa gabungan dua virus dan vaksin itu bakal menyebabkan masalah kesihatan global pada 2023.
  • Tiada sebarang bukti dari segi saintifik dan perubatan yang boleh menyokong dan mengesahkan dakwaan tersebut.


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Di kala masyarakat dunia masih bergelut dengan pandemik Covid-19, kita dikejutkan dengan penyebaran wabak cacar monyet pada tahun ini yang bermula di United Kingdom sebelum merebak ke pelbagai negara di beberapa benua.

Jumlah kematian akibat Covid-19 sudah mencecah jutaan nyawa dan kini kita berhadapan dengan satu lagi wabak penyakit yang sebenarnya bermula pada 1970 di benua Afrika.

Sebelum ini, masyarakat global dikejutkan dengan wabak Covid-19 pada 2019 yang dilaporkan bermula dari Wuhan, China dan syarikat farmaseutikal mula mengeluarkan vaksin Covid-19 bagi mencegah wabak berkenaan daripada terus merebak.

Beberapa badan kesihatan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan pelbagai garis panduan bagi mengatasi ancaman wabak Covid-19 dan cacar monyet.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang doktor perubatan dari Indonesia yang dikenali dengan nama pena @doktertifa telah membuat satu ciapan di laman Twitter dengan mendakwa gabungan virus Covid-19, vaksin Covid-19 dan cacar monyet akan mewujudkan varian baharu AIDS.

Dokter Tifa atau nama penuhnya Tifauzia Tyassuma turut mendakwa bahawa varian baharu itu akan menjadi masalah kesihatan global pada 2023.

Beliau yang merupakan seorang aktivis sosial dan mempunyai lebih 46,000 pengikut di Twitter turut mengeluarkan kenyataan bahawa varian baharu AIDS lebih cepat meragut nyawa manusia berbanding AIDS yang disebabkan oleh jangkitan HIV.

Setakat laporan ini ditulis (21 September 2022), ciapan tersebut telah diulang kicau sebanyak 325 kali dan menerima lebih 800 respons.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Latar Belakang Dokter Tifa

Terlebih dahulu MyCheck membuat semakan latar belakang Dokter Tifa bagi mengenal pasti kredibiliti beliau sebagai seorang pengamal perubatan.

Sebuah laman sesawang berita dalam talian yang berpangkalan di Jawa Timur, Indonesia iaitu Jatimnetwork mendedahkan Dokter Tifa atau nama penuh Tifauzia Tyassuma memperoleh pendidikan awal di Sekolah Tinggi Filsafat Driyarkara sebelum melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang perubatan di Universitas Gadjah Mada dan Universitas Indonesia.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universitas Gadjah Mada sebelum menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang perubatan Epidemiologi Molekular di Universitas Indonesia.

Menurut laman sesawang berkenaan yang memetik daripada pelbagai sumber, Dokter Tifa yang turut lantang memberikan komen mengenai isu semasa di negara kelahirannya pernah belajar di Norway selain di Universitas Padjadjaran, Bandung dalam bidang Ilmu Sosial dan Ilmu Politik.

Berdasarkan profil beliau di laman LinkedIn, Dokter Tifa pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam bidang perubatan termasuk Pengarah Eksekutif Pusat Epidemiologi Klinikal & Perubatan Berasaskan Bukti di Universitas Indonesia selain masih memegang jawatan sebagai Presiden Ahlina (Advancing Health Literacy on Nutrition & Neuroscience Indonesia).

LinkedIn merupakan sebuah laman sesawang pencarian kerja dan perkembangan kerjaya yang berasal dari Amerika Syarikat.

 


Sumber: Jatimnetwork.com

 

Perbezaan Virus Covid-19 Dan Cacar Monyet

Covid-19

Menurut laman sesawang Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, perkataan Covid-19 itu sendiri sebenarnya bukan merujuk kepada virus tetapi nama penyakit yang disebabkan jangkitan Coronavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kemudiannya membuat keputusan untuk menamakan virus ini secara rasmi sebagai Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV).

Untuk mengelakkan kekeliruan dengan wabak SARS yang melanda Asia pada awal 2003, WHO telah menamakan penyakit yang disebabkan SARS-CoV ini sebagai Coronavirus Disease 2019 (Covid-19).

Beberapa saintis dari China telah berjaya membuktikan bahawa virus SARS-CoV ini mempunyai ciri persamaan sebanyak 91.02 peratus apabila dibandingkan dengan virus Pangolin-CoV (Coronavirus dalam tenggiling) dan 90.55 peratus dengan BatCoV (Coronavirus dalam kelawar - RaTG13) di peringkat genom.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika virus ini berasal daripada haiwan mamalia yang kemudiannya menjangkiti manusia.

Menurut laman sesawang berkenaan, berdasarkan sebuah kajian dari China, simptom yang paling kerap dilaporkan ialah demam (83.21 peratus), batuk (61.74 peratus) dan keletihan (30.22 peratus).

Simptom-simptom lain yang telah dilaporkan adalah seperti sakit sendi, penghasilan kahak, kesukaran bernafas, pening kepala, sakit tekak, mabuk, muntah, cirit birit, sakit dada, hidung tersumbat, selesema dan hilang selera makan.

Untuk tahap jangkitan yang sangat teruk, pesakit Covid-19 boleh mendapat jangkitan paru-paru yang seterusnya menyebabkan radang kepada kantung udara paru-paru dan mempunyai kesukaran yang amat teruk untuk bernafas sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan.

Suntikan vaksin Covid-19 merupakan langkah pencegahan yang digunakan kebanyakan negara ketika ini dalam mengekang penularan dalam kalangan individu memandangkan tiada ubat khusus bagi penyakit berkenaan.

 

Cacar Monyet

Dipetik daripada laman sesawang doctoroncall, cacar monyet atau Monkey Pox merupakan sejenis virus yang disebarkan oleh haiwan kepada manusia oleh sejenis virus (zoonosis virus).

Simptomnya hampir sama dengan simptom yang dilihat dalam penyakit ‘smallpox’ pada satu ketika dahulu tetapi kurang serius secara klinikal.

Menurut laporan WHO, kes pertama cacar monyet ke atas manusia direkodkan pada 1970 melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan bulan di Congo yang terletak di benua Afrika.

Namun ada laporan yang mendakwa virus cacar monyet pertama kali ditemui pada 1958 dan berlaku dalam kalangan monyet dengan kebanyakan kes dikaitkan dengan negara Afrika Tengah.

Gejala atau simptom yang dialami oleh individu yang dijangkiti cacar monyet adalah hampir sama dengan pesakit cacar, tetapi ia boleh dianggap kurang teruk secara klinikal.

Antara simptom seseorang individu disahkan mendapat jangkitan virus cacar monyet adalah seperti demam, sakit kepala, bengkak kelenjar limfa, sakit belakang dan otot selain rasa kurang bertenaga.

 


Sumber: DoctorOnCall

 

Kami turut menemui sebuah artikel mengenai perbezaan antara virus Covid-19 dan cacar monyet yang diterbitkan oleh University Hospitals Amerika Syarikat.

Menurut pakar penyakit berjangkit kanak-kanak University Hospitals Rainbow Babies & Children Dr Amy Edwards, virus cacar monyet kurang berbahaya berbanding virus Covid-19 disebabkan beberapa faktor.

Antaranya virus cacar monyet tidak merebak dengan mudah, individu dijangkiti virus berkenaan mudah dikenal pasti, penularan wabak mudah dikawal dan terdapat dua vaksin bagi membendung virus berkenaan iaitu suntikan vaksin penyakit cacar dan ubat antiviral.

Selain itu, kami turut menemui sebuah artikel yang diterbitkan oleh Jabatan Kesihatan Awam California mengenai perbezaan antara penyakit cacar monyet dan Covid-19.

 


Sumber: American Society For Microbiology

 

Berdasarkan penerangan di atas, jelas membuktikan bahawa penyakit cacar monyet dan Covid-19 tidak mempunyai kaitan di antara satu sama lain disebabkan punca, simptom serta cara rawatan adalah berbeza.

Jadi adalah mustahil gabungan dua penyakit berkenaan akan membentuk AIDS versi baharu seperti yang didakwa oleh Dokter Tifa.

 

HIV

Menurut laman sesawang MyHealth, HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS.

AIDS adalah singkatan bagi ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ dan adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.

HIV boleh merebak melalui hubungan seks bebas bersama individu yang telah dijangkiti, penagih dadah yang berkongsi jarum dan alat suntikan, pemindahan darah dan organ yang tercemar dengan virus HIV atau ibu yang telah dijangkiti boleh merebakkan HIV kepada bayinya ketika dalam rahim, melahirkan atau sewaktu menyusu.

Antara gejala-gejala bagi seseorang individu yang disahkan dijangkiti virus HIV adalah seperti ruam pada anggota badan, jangkitan sistem pernafasan, jangkitan paru-paru yang teruk dan batuk kering, cirit-birit yang kronik, jangkitan kuman pada otak dan jangkitan kulat.

Sehingga kini, para saintis dan pakar perubatan masih belum menemui penawar yang sesuai untuk virus berkenaan yang boleh membawa maut sekiranya tiada rawatan berterusan dilakukan ke atas pesakit HIV.

 

Adakah Dakwaan Dokter Tifa Betul?

Mungkin ramai beranggapan bahawa ciapan di laman Twitter yang dibuat oleh Dokter Tifa ini adalah benar kerana terdapat laporan bahawa seorang lelaki disahkan positif Covid-19, HIV dan cacar monyet pada masa yang sama.

Berdasarkan laporan sebuah akhbar dari United Kingdom, Independent UK yang diterbitkan pada 25 Ogos 2022, lelaki berusia 36 tahun yang berasal dari Itali itu dilaporkan mengalami beberapa simptom seperti letih, demam dan sakit tekak, sembilan hari selepas sekembalinya dari Sepanyol.

Beliau dikatakan melakukan hubungan kelamin tanpa alat perlindungan sewaktu berada di negara berkenaan.

Berdasarkan laporan kajian kes yang diterbitkan oleh Jurnal Jangkitan, lelaki berkenaan diuji positif Covid-19 pada 2 Julai.

Sehari kemudian, lelaki berkenaan dikatakan mengalami beberapa simptom seperti melecur di beberapa bahagian anggota badan dan merebak seperti jerawat dan disahkan positif jangkitan cacar monyet.

Lelaki itu turut menjalani ujian jangkitan seksual dan hasilnya beliau disahkan positif HIV tahap 1 sebelum diberikan ubat-ubatan bersesuaian bagi mengurangkan simptom yang dialaminya.

Walaupun ketiga-tiga jangkitan virus bagi penyakit yang dialami boleh berlaku dalam tempoh yang hampir sama, kami masih tidak menemui sebarang bukti saintifik yang mengaitkan bahawa gabungan Covid-19 dan virus cacar monyet mewujudkan AIDS versi baharu.

Sebelum ini laman sesawang semakan fakta Reuters pernah mengeluarkan laporan menafikan bahawa  penyakit cacar monyet tidak sama seperti AIDS atau ‘vaccine-acquired immunodeficiency syndrome’ (VAIDS) disebabkan oleh suntikan vaksin Covid-19.

Hal ini disebabkan ada segelintir yang mengaitkan wabak cacar monyet ini adalah VAIDS yang disebabkan oleh suntikan vaksin Covid-19.

 

Badan Semakan Fakta Nafi Kenyataan Dokter Tifa

Dakwaan Dokter Tifa telah disemak dan disahkan tidak benar oleh beberapa badan semakan fakta di Indonesia seperti Masyarakat Anti-Fitnah Indonesia (MAFINDO) dan Kompas.

Selain itu, sebuah laman sesawang khas berkaitan Covid-19 di negara berkenaan iaitu Covid-19.co.id  turut mengesahkan kenyataan Dokter Tifa adalah tidak benar berdasarkan pelbagai sumber semakan fakta di negara berkenaan.

 


Sumber: MAFINDO

 


Sumber: Kompas.com

 

KESIMPULAN

Berdasarkan penjelasan di atas, kami mengklasifikasikan dakwaan Dokter Tifa sebagai tidak benar.

Ini kerana punca, simptom dan cara rawatan bagi penyakit cacar monyet dan Covid-19 adalah berbeza dan tidak mungkin akan membentuk satu penyakit lain.

Status profesional seperti gelaran doktor yang dipakai oleh seseorang tidak seharusnya dijadikan tiket untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat umum yang mengharapkan pendapat mereka terutamanya melibatkan bidang perubatan.

Gunakan ilmu yang dimiliki kita untuk menyebarkan perkara positif dan bukannya perkara yang boleh menimbulkan kerisauan kepada masyarakat

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter Dr Tifa

  2. Siapa Dokter Tifa? Ini Profil-Biodata Tifauzia Tyassuma, Ahli Epidemiologi yang Ikut Soroti Kasus Brigadir J.Diterbitkan oleh Jatim Network

  3.  9 Fakta Mengenai COVID-19.Diterbitkan Bahagian Penyelidikan dan Inovasi Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia 

  4. LinkedIn

  5. Kenali Gejala dan Penyebab Cacar Monyet(Monkeypox) Serta Cara Merawatnya.Diterbitkan oleh doctoroncall

  6. Monkeypox.Published by World Health Organization

  7. Monkeypox and COVID-19: Here Are Key Differences.Published by University Hospitals

  8. Monkeypox vs. COVID-19.Published by California Department of Public Health

  9. Apa itu HIV dan AIDS?Diterbitkan oleh MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia

  10. Man tests positive for Covid, monkeypox and HIV at the same time.Published by Independent UK

  11. First case of monkeypox virus, SARS-CoV-2 and HIV co-infection.Published by Journal of Infection

  12. Fact Check-Monkeypox is not the same as AIDS or ‘VAIDS’ caused by the COVID-19 vaccine.Published by Reuters Fact Check\

  13. [SALAH] AIDS jenis baru yang merupakan hasil dari pencampuran Covid-19, vaksin, dan Cacar Monyet atau Monkeypox.Diterbitkan oleh MAFINDO

  14. [HOAKS] Cacar Monyet akibat Efek Samping Vaksin atau VAIDS.Diterbitkan oleh Kompas

  15. [SALAH] AIDS jenis baru yang merupakan hasil dari pencampuran Covid-19, vaksin, dan Cacar Monyet atau Monkeypox.Diterbitkan oleh Covid-19.co.id

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.