+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Kajian Perubatan Yang Relevan Buktikan Air Minuman Beralkali Di Pasaran Lebih Berkhasiat

Benarkah...

Air minuman beralkali lebih berkhasiat daripada air minuman biasa kerana boleh menyeimbangkan kandungan asid dalam tubuh manusia serta manfaat kesihatan lain.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Ogos  2022

Hasil

Tiada kajian klinikal yang relevan bagi menyokong dakwaan tersebut. 

09/09/2022 02:55 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan menyatakan air minuman beralkali lebih berkhasiat daripada air minuman biasa serta memberi manfaat tertentu kepada kesihatan badan.
  • Tiada fakta kukuh yang menyokong dakwaan tersebut berdasarkan kajian klinikal yang menyeluruh.
  • Fakta saintifik yang dikongsi pihak tertentu bagi menyokong dakwaan tersebut hanya merujuk kepada kajian yang sangat lemah.
  • Pakar perubatan menyarankan minum air putih biasa dengan pengambilan yang secukupnya sudah memadai untuk memastikan badan kekal terhidrat selain pemakanan seimbang untuk menjaga kesihatan.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Air ialah kandungan terpenting dalam tubuh manusia.

Disebabkan itu kita digalakkan untuk minum air secukupnya agar badan kekal terhidrat dan sihat.

Komposisi air yang optimum dalam badan seseorang dewasa dianggarkan antara 60 hingga 70 peratus untuk memastikan proses serta fungsi organ, penyerapan dan perkumuhan berlaku dengan lancar.

Sekiranya seseorang itu kekurangan air dalam tubuh, fungsi badan serta organ terutamanya buah pinggang dan hati berisiko untuk terganggu.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima satu dakwaan berserta pautan menjelaskan empat manfaat air beralkali kepada kesihatan.

Menurut artikel diterbitkan oleh portal Hellosehat itu, proses pengaliran darah ke seluruh tubuh individu yang minum air beralkali adalah lebih lancar.

Dakwaan yang diterima menerusi WhatsApp itu juga menyertakan satu lagi pautan dan tangkap layar yang menyatakan dakwaan itu hanya mitos.

Pautan itu merupakan perkongsian yang dimuat naik oleh laman Facebook Ini Sains Beb yang berkongsi hantaran daripada seorang doktor perubatan, Dr Imelda Balchin.

Maklumat-maklumat itu telah menimbulkan persoalan dalam kalangan ramai orang yang keliru manakah fakta atau auta?

Maklumat dan dakwaan sebegini selalunya menjadi perhatian umum khususnya pengguna media sosial kerana ia berkaitan dengan kesihatan manusia.

Apa pun biar MyCheck semak fakta di sebalik dakwaan ini terlebih dahulu ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat semakan rawak menerusi enjin carian Google terlebih dahulu bagi mengetahui sama ada isu ini pernah dilaporkan atau tidak.

Menggunakan kata kunci 'air alkali boleh meneutralkan paras asid dalam badan', hasil carian menunjukkan isu yang sepadan pernah dibincangkan.

 


Sumber: Google

 

Seterusnya kami meneliti satu persatu laporan berkaitan bagi mengumpul sebanyak mungkin maklumat berkenaan dakwaan tersebut.

 

Apakah Sebenarnya Air Minuman Beralkali

Sebelum mengulas lebih lanjut berkenaan dakwaan ini, lebih baik kita fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan air minuman beralkali.

Menurut portal perubatan Doctoroncall, air minuman beralkali yang terdapat di pasaran telah melalui proses pengionan yang kemudiannya meningkatkan pH air tersebut.

Tahap pH pula merujuk kepada kaedah para saintis mengkelaskan paras kandungan asid dan alkali air atau sesuatu bahan iaitu pada skala bacaan antara satu hingga 14.

Sebagai contoh, jika sesuatu bahan mempunyai pH satu hingga enam, maksudnya bahan tersebut bersifat asid.

Makin rendah nilai pH semakin tinggi kandungan asid manakala skala tujuh adalah neutral.

Nilai melebihi tujuh sehingga 14 pula disifatkan sebagai beralkali. Semakin tinggi nilai pH semakin tinggi kandungan alkali dalam sesuatu bahan.

Contoh air beralkali yang paling mudah ialah air  mineral manakala air minuman biasa mempunyai anggaran pH7 iaitu neutral.

Contoh bahan yang berasid pula adalah seperti kopi dan air soda.

Kami sertakan rajah skala bacaan pH untuk menjelaskan berkenaan kandungan asid dan alkali sesuatu bahan.

 


Sumber: Google

 

Air Beralkali Baik Kerana Mengandungi Mineral 

Berbalik kepada isu pokok mengenai dakwaan berkenaan, air beralkali biasanya dikatakan baik untuk kesihatan kerana mengandungi garam mineral tertentu yang bermanfaat untuk tubuh badan manusia.

Portal Doctoroncall turut menjelaskan air alkali boleh diperoleh secara semula jadi atau diproses di kilang atau rumah anda sendiri menggunakan pelbagai jenama penapis air.

Air alkali semula jadi pula diperoleh apabila air yang mengalir melalui celahan batu seperti di mata air melarutkan mineral daripada batu-batu asli tersebut.

Pertambahan mineral dalam air ini akan meningkatkan tahap pH air dan kebanyakan air yang dijual di pasaran pula melalui proses yang dinamakan elektrolisis untuk menjadikannya lebih alkali.

Teknik ini menggunakan mesin ‘ionizer’ untuk memisahkan molekul antara air berasid dan alkali.

Air yang berasid itu kemudiannya ditapis melalui proses ‘osmosis berbalik’ terlebih dahulu sebelum ia digabungkan sebagai air mineral menerusi proses ‘ionizer’ alkali.

Menurut portal Healthline terdapat beberapa kajian yang mencadangkan air beralkali mungkin membantu untuk keadaan kesihatan tertentu.

 

Kajian Manfaat Air Minuman Beralkali

Antara kajian yang dijelaskan oleh portal Healthline  itu ialah air beralkali dengan pH 8.8 berupaya menyahaktifkan pepsin iaitu enzim utama di dalam perut yang menyebabkan berlaku asid refluks.

Selain itu, kajian oleh Shanghai Journal of Preventive Medicine yang dilaporkan portal indntimes menunjukkan penurunan tekanan darah dan kadar gula serta kolesterol dalam darah setelah pengamalan air alkali selama 3 hingga 6 bulan.

Bagaimanapun, lebih banyak kajian dan kesan terhadap manusia diperlukan untuk dapatan ini.

Kajian pada 2016 oleh biomedcentral yang melibatkan 100 orang mendapati perbezaan ketara kepekatan darah keseluruhan individu setelah melakukan senaman berat dan mengambil air pH tinggi berbanding air biasa.

Kadar kepekatan darah ialah ukuran kelancaran pengaliran darah di dalam tubuh manusia.

Kajian menunjukkan mereka yang mengambil air beralkali mempunyai  kepekatan darah lebih rendah iaitu 6.3 peratus berbanding 3.36 peratus bagi mereka yang minuman air biasa pada yang bersifat neutral.

Ini membuktikan pengaliran darah adalah lebih lancar dengan minum air beralkali yang sekali gus meningkatkan penghantaran oksigen ke seluruh badan.

Bagaimanapun lebih banyak penyelidikan diperlukan kerana skala ujian yang telah dibuat seperti yang dijelaskan ini melibatkan khalayak yang terlalu kecil dan tidak merangkumi aspek-aspek menyeluruh bertepatan dengan kriteria kajian klinikal.

 

Air Minuman Biasa Sudah Memadai untuk Kekal Hidrasi

Menurut penjelasan Dr Imelda Balchin yang dikongsikan di laman Facebook beliau, untuk menjaga kesihatan sebenarnya bukan dengan minum air alkali.

Apa yang penting dan perlu ialah makanan seimbang termasuk pelbagai jenis buah-buah.

Minum air ‘kosong’ sudah bagus serta memadai.

Jelas beliau lagi, asid di dalam perut amat perlu untuk membantu penghadaman.

Sebab itulah tiada kesan buruk kepada kesihatan jika kita makan makanan berasid seperti buah limau atau cili pedas.

Sebaliknya jika kita makan atau minum yang beralkali sekalipun, perut akan merembeskan enzim penghadaman yang berasid untuk mencerna zat makanan yang kemudiannya diserap ke dalam saluran darah.

Ini bermakna air beralkali yang diminum akan dineutralkan di dalam perut, dan kandungan alkali itu tidak masuk ke dalam darah atau organ dalaman.

Jika ada perubahan kecil di dalam pH darah, ia akan dibetulkan oleh organ pernafasan paru-paru yang akan merembeskan asid keluar di dalam bentuk karbon dioksida.

Selain itu buah pinggang juga membantu membetulkan pH di dalam darah dengan pembuangan bahan kumuh melalui air kencing.

Air kencing akan lebih berasid jika ada bahan berasid untuk dibuang dan lebih beralkali jika ada bahan beralkali untuk dibuang untuk memastikan pH darah kekal  normal pada skala pH 7.35 ke 7.45.

Semua organ mempunyai fungsi masing-masing.

Darah di dalam badan hanya menjadi lebih berasid jika seseorang itu tidak boleh bernafas atau tiada pengaliran darah ke paru-paru untuk menghembus gas karbon dioksida atau fungsi buah pinggang anda gagal.

 

Gimik Pemasaran

MyCheck turut mendapatkan pandangan doktor perubatan @drwanshare yang aktif menjelaskan fakta berkaitan perubatan di laman Instagram dan TikTok.

Beliau berpendapat manfaat dan kebaikan yang diuar-uarkan mengenai air minuman beralkali ini lebih kepada trend 'overclaim' berkenaan sesuatu produk.

Menurut beliau, kajian yang telah dibuat tidak mampu membuktikan manfaat dan kebaikan air tersebut terhadap kesihatan tubuh badan kita.

Portal gaya hidup famili moden SirapLimau juga melaporkan ramai pakar perubatan berpendapat kehebatan air alkali yang disebarkan kepada orang ramai adalah lebih kepada gimik pemasaran kerana tidak banyak kajian yang dijalankan bagi membuktikan kesahihan air alkali sebagai minuman penawar.

Malah menurut portal Medical News Today, orang ramai dinasihatkan untuk minum air minuman biasa dengan pH neutral kerana kadar asid dan alkali yang terlalu tinggi hanya akan mengakibatkan masalah kesihatan yang lain.

 

Kesan Sampingan Air Beralkali

Melihat kepada maklumat yang telah kami jelaskan di atas, manfaat dan khasiat air beralkali belum lagi dibuktikan dengan kajian yang kukuh.

Malah menurut Pakar Perunding Ginekologi Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah,  Datuk Dr. Mohd Rushdan Md Noor terdapat kesan sampingan bagi pengambilan air beralkali  jika diambil secara berterusan dalam kuantiti yang banyak.

Beliau menjelaskan air beralkali boleh berinteraksi dengan banyak jenis ubat yang diambil.

Masyarakat kita suka mendapatkan ubat di farmasi dan mengambilnya tanpa nasihat doktor.

Pengambilan ubat dengan air beralkali ini boleh menyebabkan berlakunya interaksi di antara ubat dan kealkalian air sehingga memudaratkan kesihatan.

Paling dikhuatiri ialah berlaku beban tambahan kepada buah pinggang.

Di antara fungsi buah pinggang adalah menapis sisa toksik yang tidak diperlukan badan serta menstabilkan nilai pH dalam tubuh manusia.

Pengambilan air beralkali yang berterusan boleh menambah beban buah pinggang sehingga lama kelamaan fungsinya boleh terganggu terutama ke atas orang tua.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, tiada input kukuh yang menyokong manfaat dan khasiat air minuman beralkali berdasarkan kajian klinikal yang diiktiraf.

Maka dakwaan air minuman beralkali bagus diamalkan untuk kesihatan tubuh badan adalah tidak benar.

Perkara utama yang perlu kita fahami dalam memastikan kesihatan yang baik ialah mengamalkan gaya hidup sihat, mengurangkan tekanan, melakukan ujian saringan kesihatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Mengamalkan gaya hidup sihat bermaksud mengambil makanan yang seimbang, mengambil air yang mencukupi (air biasa pun sudah memadai), bersenam, tidak merokok, mengambil alkohol atau dadah.

Selain itu, nasihat kami di MyCheck ialah jika timbul isu berkaitan kesihatan atau amalan pemakanan sihat dengan pengambilan sebarang produk minuman atau makanan, pastikan mendapat nasihat doktor perubatan yang lebih pakar.

Bak kata peribahasa hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai yang bermaksud sekiranya hendak mengetahui sesuatu perkara itu, belajarlah daripada orang yang arif dalam perkara tersebut.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Air Alkali : Kebaikan, Bahaya, Mitos & Kesannya Menurut Sains 

  2. https://gempak.com/berita-terkini/kenapa-kita-perlukan-air-alkali-danini-sebabnya-kenapa-alkaline-ionizer-panasonic-perlu-ada-di-kediaman-anda-44187 

  3. Asid urik berlebihan 

  4. AIR BERALKALI : MANFAAT ATAU MUDARAT 

  5. Adakah Air Beralkali Bermanfaat Untuk Kesihatan? 

  6. Air Alkali : Bagus Ke Amalkan Selalu Menurut Pakar? - REMAJA 

  7. Air di dalam badan kita: berapa peratus sebenarnya - Sayuran 

  8. Alkaline water: Health benefits and risks 

  9. Alkaline Water Health Benefits 

  10. Alkaline Water: Benefits, Side Effects, and Dangers 

  11. Effect of electrolyzed high-pH alkaline water on blood viscosity in healthy adults | Journal of the International Society of Sports Nutrition 

  12. Facebook: Dr Ezairy M.Sallih - MAKANAN BERALKALI BAIK UNTUK BADAN? 

  13. 4 Manfaat Air Alkali (Air Minum pH Basa) bagi Tubuh 

  14. Perbezaan Air Mineral, Air Minuman Dan Air Alkali? | Iluminasi  

  15. Alkaline water: Better than plain water? - Mayo Clinic 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.