+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Jalur Awan Putih Di Belakang Pesawat Adalah Jejak Wap Air ‘Contrail’ Yang Terjadi Secara Semula Jadi. Ia Tidak Berbahaya Kepada Kesihatan Manusia

Benarkah...

Jalur awan putih yang terbentuk di belakang pesawat yang terbang di langit adalah ‘chemtrail’ iaitu bahan kimia yang dilepaskan dengan sengaja pada ketinggian tertentu dan berbahaya kepada manusia serta boleh menyebabkan penyakit.

Sumber : Facebook / Ogos 2022

Hasil

Chemtrail tidak wujud, ia hanyalah teori konspirasi sejak 1990-an. Jalur awan putih itu merupakan contrail yang terbentuk melalui proses kondensasi atau pemeluwapan serta tidak berbahaya kepada kesihatan manusia.

10/08/2022 08:54 PM

SEKILAS FAKTA

  • Wujud dakwaan melalui Facebook menyatakan jalur awan putih yang terbentuk di belakang pesawat yang terbang di langit berbahaya kepada kesihatan manusia. 
  • Dikatakan jalur itu adalah ‘chemtrail’ iaitu bahan kimia yang dilepas dengan sengaja pada ketinggian tertentu di udara.
  • Chemtrail sebenarnya tidak wujud, ia hanyalah teori konspirasi yang tersebar sejak 1990-an.
  • Jalur di langit itu sebenarnya adalah ‘contrail’ yang terbentuk daripada proses pembekuan yang berlaku selepas pemeluwapan dan penurunan suhu.
  • Contrail boleh lenyap dengan cepat dan kekal lama di langit bergantung kepada keadaan udara, tiada kaitan dengan bahan kimia dan terjadi secara semula jadi.
  • Menurut penerbitan dari Universiti Harvard melalui David Keith’s research group, tiada bukti menunjukkan kewujudan chemtrail.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Langit biru yang luas terbentang biasanya dikaitkan dengan kedamaian dan ketenangan.

Melihat burung terbang dan adakalanya pesawat melintas masuk ke awan meninggalkan jejak-jejak jalur awan putih seakan menjadi lukisan geometri di kanvas.

Mengikut pemahaman waktu kecil dahulu, jalur awan putih lurus jejak pesawat itu adalah merupakan ‘asap’ daripada pesawat tersebut. 

Namun, kini wujud pula dakwaan lain mengenai jalur awan putih di langit biru itu yang dikatakan memudaratkan kesihatan manusia dan mempunyai agenda yang tersirat.

 

MENGENAI DAKWAAN

Wujud dakwaan menyatakan jalur awan putih yang terbentuk di belakang pesawat yang terbang di langit sebenarnya membahayakan kesihatan.

Dakwaan ini disebarkan melalui WhatsApp yang memberikan pautan kepada satu hantaran di Facebook.

Hantaran daripada pemilik akaun Dawn Skyros menunjukan gambar langit dengan kapsyen “Giler.. U guys buat apa actually at..”.

 


Sumber: WhatsApp

 

Hantaran tersebut juga mendapat komen ramai warganet. Rata-rata mereka menzahirkan kembimbangan mengenai dakwaan ini.

 


Sumber: Facebook

 

Jika diperhatikan, pengguna bernama Dawn Skyrose mendakwa beliau bekerja di aerobatic aircraft dan memberikan penerangan mengenai jalur-jalur awan putih yang terbentuk di langit.

Carian MyCheck menggunakan kata kunci contrails + kesihatan ini mendapati banyak lagi hantaran yang berkaitan dakwaan ini.

Antara yang ditemukan adalah terdapat dua jenis jalur lurus iaitu ‘contrail’ dan ‘chemtrail’.

Carian juga menjumpai satu hantaran di instagram fadhchannel_ yang memberikan panduan cara mengenali kesan contrail dan chemtrail.

 


Sumber: Instagram

 

Dikatakan, terdapat dua jenis garisan yang dapat dibezakan dengan tempoh masa kesan garisan tersebut bertahan di langit.

Menurut maklumat yang terdapat menerusi hantaran di Instagram  fadhchannel_, jenis garisan pertama dipanggil ‘contrail’ manakala satu lagi garisan adalah ‘chemtrail’.

Cara garisan ini dibezakan adalah dengan tempoh lama jalur awan putih tersebut kekal di langit, jalur contrail dikatakan tidak kekal lama dan cepat hilang manakala jalur chemtrail pula kesannya berada lama di langit.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hantaran Telah Dipadam

MyCheck cuba menjejaki hantaran pertama yang dihantar melalui WhatsApp sebelum ini.

Kami cuba klik ke pautan yang diberikan namun gagal menemukan hantaran itu.

Hantaran tersebut dipercayai telah dipadam. Malah, carian akaun pengguna bernama ‘Dawn Skyrose’ juga sudah tidak wujud.

 


Sumber: Facebook

 

Namun, kami bernasib baik kerana telah membuat tangkap layar kepada komen-komen hantaran tersebut seperti ditunjukkan di atas.

Jadi, mari kita telusuri maksud 'contrail' dan 'chemtrail' ini.

 

Maksud Contrail

Merujuk kepada Encyclopedia Britannica, contrail juga dipanggil sebagai ‘condensation trail’ atau ‘vapour trail’.

Jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu, condensation bermaksud kondensasi iaitu proses pertukaran wap atau gas kepada cecair atau kata mudahnya pemeluwapan.

Masih ingat dengan proses kondensasi yang kita belajar di sekolah dahulu?

Proses kondensasi terjadi apabila berlalunya proses pemeluwapan yang mana keadaan satu benda yang panas terkena dengan sesuatu yang sejuk, seperti titisan cecair yang muncul di luar gelas selepas kita memasukkan air ke dalam gelas tersebut.

MyCheck berikan contoh melalui video yang dikongsikan untuk pelajar tahun lima.

 

Apa Pula Maksud Chemtrail?

Kamus Merriam webster menyatakan chemtrail adalah :

Long-lasting airplane contrail believed to be composed of harmful chemical or biological agents that are dispersed as part of a conspiracy (as to manipulate the environment or the population).

Terjemahan :

Chemtrail merupakan kontrail daripada kapal terbang yang tahan lama (di langit) yang dipercayai mengandungi bahan kimia atau agen biologi berbahaya yang disebarkan sebagai sebahagian daripada konspirasi (untuk memanipulasi alam sekitar atau penduduk).

Carian kami yang lain juga menunjukkan pengertian yang membawa maksud yang sama.

Bahan kimia yang dilepaskan dari pesawat tersebut dikatakan sebahagian daripada new world order yang merupakan satu usaha untuk mengawal populasi manusia, menyebarkan penyakit, mengawal cuaca dan ujian senjata kimia.

Terkini, bahan yang dilepaskan dari kapal terbang ini dikatakan menyebarkan virus Covid-19 dan juga membuatkan ramai tidak sihat.

 

Chemtrail Dapat Dikesan Dengan Kesan Jalur Putih Yang Lambat Hilang

Satu Penerbitan dari Universiti Harvard melalui David Keith’s research group, menyatakan tiada bukti menunjukkan kewujudan chemtrail ini.

Menurut penulisan ini, faktor suhu dan kelembapan juga menyumbang kepada contrail kelihatan berbentuk berbeza atau bertahan lebih lama di langit.

 

Asal Usul Teori Chemtrail

Menurut hantaran Facebook Ini Sains Beb, teori konspirasi chemtrail ini bermula sekitar 1990-an di Amerika Syarikat.

Teori ini semakin tersebar ke seluruh dunia apabila capaian Internet semakin meluas, ditambah lagi dengan pelbagai siri TV yang memaparkan isu-isu konspirasi seperti X-Files dan Fringe.

Hingga ke hari ini, pelbagai versi teori ini telah timbul, hasil percambahan pelbagai idea namun ia tidak disokong oleh fakta yang betul.

(MyCheck telah menyemak latar belakang halaman Ini Sains Beb dan mendapati pengemudi halaman ini adalah barisan pensyarah dan pakar daripada bahagian sains).

 

Ulasan Pakar

MyCheck juga merujuk kepada penulisan hantaran Facebook daripada seorang Penolong Profesor, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal & Aeroangkasa, Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi memahami situasi ini.

Pensyarah ini mempunyai latar belakang mengenai aeroangkasa dan pernah membuat penyelidikan mengenai aero-gas engine emission, yang pasti dapat membantu kita merungkai persoalan ini.

Dr Muhammad Hanafi Azami berkata pembentukan ais supertepu (contrail) ini ini adalah daripada proses pembekuan yang berlaku selepas pemeluwapan dan penurunan suhu.

Sepertimana yang kita tahu, enjin kapal terbang panas manakala keadaan di luar kapal terbang pula adalah sejuk, yang menyebabkan berlakunya contrail tersebut.

 

Bagaimana Contrail Di Langit Ini Hilang?

Menurut Dr Muhammad Hanafi Azami, zarah ais ini akan mengewap (hilang) jika ambien (persekitaran) udara supertepu ini kurang relatif pada ais. Oleh itu,  contrail akan hilang selepas tempoh masa yang singkat.

Malah, contrail yang sementara ini dikenali sebagai ambang contrail dan tidak dianggap sebagai perosak alam sekitar.

 

Bagaimana Pula Dengan Garisan Yang Kekal Dalam Tempoh Lama Di Langit? Adakah Ia Chemtrail?

Dr Muhammad Hanafi Azami berkata sebenarnya, garisan yang kekal lama di langit itu dikenali sebagai contrail sirrus.

Contrail sirrus ini terbentuk daripada contrail yang berterusan apabila zarah dari ekzos kapal terbang mereput lalu terdedah kepada pembentukan kristal ais.

Menurut Dr Muhammad Hanafi Azami, dalam keadaan ini ais supertepu terbentuk dalam keadaan yang cukup tinggi.

Oleh sebab inilah, garisan tersebut kekal berada lama di langit. Keadaan ini terjadi atas faktor suhu dan kelembapan, bukan kerana bahan kimia ya.

Maklumat yang sama juga turut dikongsikan oleh Balai Cerap Telok Kemang,  yang menyatakan jika udara sangat lembab, contrail akan terbentuk di belakang pesawat dan kekal di langit untuk jangka masa yang panjang.

Malah, contrail jenis ini akan kekal di langit dalam tempoh masa yang lama, ia boleh bertahan selama beberapa minit atau lebih lama daripada sehari dan ia mengekalkan bentuk garis nipis.

Kami kongsikan contoh infografik yang diperoleh dari illuminati.com.

 


Sumber: ICN Research

 

Pembikinan Enjin Kapal Dikawal Dan Menelan Kos Yang Tinggi 

MyCheck juga ada berhubung terus dengan Dr Hanafi Azami untuk mengulas lebih lanjut berkenaan chemtrail ini.

Menurut beliau, proses pembikinan enjin kapal terbang bukanlah boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Terdapat satu badan yang mengawal selia penerbangan (aviation regulator) iaitu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Jadi, bukanlah sewenang-wenangnya enjin untuk melepaskan emission (bahan kimia) ini dibuat. Tambahan pula ia melibatkan kos cukai yang tinggi.

 


Sumber: MyCheck

 

Jadi, jelas di sini tiada bahan kimia yang ‘disembur’ dari kapal terbang ya. Jika anda mahukan penjelasan secara verbal, anda boleh tonton video dari ML Studios yang bertajuk “Garis-garis dekat langit tu asap jet ke?”.

 

KESIMPULAN

Apa yang dapat disimpulkan di sini, chemtrail ini adalah satu teori konspirasi tidak berasas kerana kewujudannya tidak dapat disahkan walaupun diperkatakan sejak 1990-an.

Jalur awan putih yang terbentuk itu adalah contrail yang terjadi secara semula jadi.

Tiada bahan kimia dilepaskan malah seperti hantaran di laman sesawang Facebook Ini Sains Beb, jika benar bahan kimia tersebut wujud dan tersebar ke bumi, mengapa kesannya tidak kelihatan walaupun chemtrail ini telah kelihatan sejak 1970-an?

Adakah hanya batuk dan selsema itu sahaja kesannya?

Adakalanya, kita perlu berfikir secara logik apabila menerima sesuatu dakwaan.

Sebagai contoh mengenai chemtrail ini, apakah mekanisme yang membolehkan ia terampai dan perlahan-lahan turun ke bumi dari atas tanpa hanyut diterbangkan angin ke tempat lain?

Selain itu, siapa yang menanggung kos bahan kimia ini semua jika ia menelan belanja yang besar?

Jika bahan kimia ini disebarkan dari atas, adakah ia tidak tersebar kepada kumpulan yang dikatakan ‘perancang’?

Ingat pesan MyCheck, Jangan sebar melulu, MyCheck dahulu! Kita mampu membanteras sebaran berita palsu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Instagram fadhchannel_

  2. Encyclopedia Britannica

  3. Youtube Proses Kondensasi Sains Tahun Lima

  4. Chemtrails Conspiracy Theory, David Keith’s research group, Harvard University 

  5. Facebook Ini Sains Beb AWAN SIRUS DAN KONTRAIL 

  6. Youtube ML Studio “Garis-garis dekat langit tu asap jet ke?”.

  7. Balai Cerap Telok Kemang “Awan”

  8.  ICAO

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.