+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Susu Kultur BUKAN Penyebab Usus Bocor, Kanser Mahupun Peningkatan Paras Gula Dalam Badan

Benarkah...

Susu kultur penyebab usus bocor, penyakit kanser dan meningkatkan paras gula dalam badan.

Sumber : Facebook / Julai 2022

Hasil

Tiada bukti saintifik sahkan susu kultur mengakibatkan usus bengkak manakala bakteria hidup dalam minuman itu bukan penyebab kanser selain jumlah gulanya masih rendah berbanding minuman ringan lain. 

02/08/2022 03:54 PM

SEKILAS FAKTA

  • Seorang ibu mendakwa saluran suara anaknya menjadi bengkak dan menghalang pernafasan selepas meminum susu kultur.
  • Dakwaan tersebut dimuat naik di media sosial pada 2020 dan kembali tular.
  • Satu lagi dakwaan menyatakan minuman berkultur boleh menyebabkan kanser darah.
  • Menurut KKM dakwaan saluran pernafasan bengkak akibat minum susu kultur adalah tidak berasas.
  • Dakwaan tersebut seharusnya disokong dengan bukti saintifik yang kukuh.
  • Susu kultur penyebab kanser juga tidak benar kerana bakteria hidup telah sedia ada terdapat di dalam usus manusia.
  • Paras gula dalam susu kultur tidak sebanyak paras gula dalam minuman ringan lain.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Minuman susu kultur bukan sahaja digemari kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.

Rasanya yang masam-masam manis itu mampu untuk membuatkan sesiapa saja terliur, ditambah pula dengan pelbagai perisa yang ditawarkan.

Jika dahulu susu kultur sinonim dengan satu jenama sahaja, namun kini pengguna boleh membuat pilihan mengikut selera masing-masing kerana terdapat pelbagai jenama minuman susu kultur di pasaran.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang ibu memuat naik hantaran di Facebook mendakwa saluran suara anaknya menjadi bengkak sehingga menghalang pernafasan selepas meminum susu kultur.

Menurut wanita berkenaan kanak-kanak tersebut dikatakan muntah beberapa kali dan suaranya menjadi serak sebelum mendapatkan pemeriksaan doktor.

Doktor yang memeriksa anaknya menyatakan susu kultur yang diminum adalah penyebab saluran suara kanak-kanak itu menjadi bengkak dan menghalang pernafasan.

Dakwaan berkenaan sebenarnya dimuat naik pada 2020 dan kembali tular ketika ini.

Hantaran itu mendapat lebih 8,000 komen dan 17,000 perkongsian setakat laporan ini ditulis (27 Julai 2022).

 


Sumber: Facebook

 

Selain itu, terdapat satu lagi dakwaan juga di Facebook menyatakan minuman berkultur boleh menyebabkan kanser darah kerana bakteria hidup yang terdapat dalam susu tersebut boleh mengaktifkan sel kanser.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck menyedari hal kesihatan berkaitan makanan ini pasti menjadi perhatian masyarakat lebih-lebih lagi kepada golongan ibu bapa.

Mana tidaknya, air minuman yang menjadi kegemaran anak-anak yang sebelum ini dikatakan minuman sihat kini didakwa berbahaya.

Jadi, MyCheck mengambil langkah untuk merujuk terus dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu ini.

 

Dakwaan Pertama

Penyataan Bersifat Testimoni Dan Tiada Asas Kukuh

Pengarah Bahagian Pemakanan KKM Zalma Abdul Razak menjelaskan dakwaan susu kultur boleh menyebabkan penyakit seperti bengkak saluran suara dan menghalang pernafasan merupakan satu pernyataan yang bersifat testimoni dan tiada asas yang kukuh.

Beliau berkata sebarang pernyataan seharusnya disokong dengan bukti saintifik yang kukuh dan mempunyai maklumat yang jelas berhubung penggunaan produk susu kultur tersebut.

Malah, kewujudan probiotik dalam susu kultur tersebut adalah untuk membantu bakteria baik yang sebenarnya telah sedia wujud di dalam usus untuk menyokong kesihatan gastrousus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga ada menjelaskan bahawa probiotik ialah mikroorganisma hidup yang apabila diambil dalam kuantiti mencukupi dapat memberi kesan kepada kesihatan seseorang.
 

Dakwaan Kedua

Bakteria Hidup Dalam Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?

Menurut KKM bakteria hidup daripada susu kultur tidak menyebabkan kanser. Hal ini kerana tanpa meminum susu kultur pun, bakteria hidup telah sedia ada berada di dalam usus seseorang manusia

Tambahan pula,  tidak semua minuman susu kultur mengandungi kultur probiotik hidup. 

KKM menasihati pengguna untuk membaca label dan mencari perkataan seperti “probiotik” dan “kultur hidup” bagi memastikan sesuatu produk susu kultur mengandungi probiotik hidup.

 

Ada Strain Bakteria Yang Dibenarkan KKM

Tambah Zalma, semasa proses menghasilkan produk susu kultur, beberapa strain bakteria asid laktik atau kultur probiotik tertentu digunakan untuk menapai susu.

Antara probiotik yang biasa digunakan ialah daripada genus lactobacillus dan bifidobacterium.

Namun, bukan semua kultur bakteria boleh digunakan. Hanya strain bakteria yang dibenarkan oleh KKM boleh dimasukkan ke dalam produk makanan.

Malah, strain probiotik yang dibenarkan ini telah dikaji dan dinilai dan keselamatan serta manfaat kesihatannya.

Jadi, jelas di sini probiotik yang ada dalam susu kultur tersebut telah pun dikaji dan ia bukanlah penyebab kanser seperti yang didakwa.

 

Kandungan Gula Dalam Susu Kultur Dikatakan Tinggi Dan Tidak Sesuai Untuk Kanak-Kanak 

Menurut KKM, bahan-bahan utama dalam susu kultur probiotik adalah susu, kultur probiotik hidup yang tertentu, gula dan juga perasa yang dibenarkan.

Untuk makluman, selain gula tambahan, sumber gula juga sebenarnya hadir secara semula jadi melalui laktosa daripada susu.

Malah, semasa tempoh simpanan produk, probiotik tersebut akan menggunakan gula sebagai sumber makanan dan menghasilkan asid laktik yang menyebabkan rasa masam.

Oleh itu, gula tambahan juga berfungsi untuk mengimbangi rasa masam tersebut.

 

Kandungan Gula Tidak Seperti Minuman Ringan Lain

KKM juga memberikan perbandingan kandungan gula dalam susu kultur dan minuman ringan.

Sebenarnya, walaupun minuman susu kultur mengandungi gula, namun ia juga turut mengandungi nutrien lain dan probiotik, bukan air manis semata-mata

Malah, saiz hidangan susu kultur juga selalunya lebih kecil iaitu kira-kira 80 mililiter (ml) berbanding minuman ringan iaitu 330ml.

Pengguna juga disaran merujuk panel maklumat pemakanan di label setiap produk dan bandingkan jumlah gula bagi setiap 100ml dan memilih produk dengan kandungan gula yang lebih rendah.

Sebagai contoh, jadual di bawah menunjukkan panel maklumat pemakanan bagi dua minuman susu kultur yang berlainan jenama.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Jika diperhatikan, minuman A mengandungi jumlah gula yang lebih tinggi daripada minuman B.

Maka, pengguna boleh memilih minuman susu kultur B kerana ia mempunyai kandungan gula yang lebih rendah.

Bahkan KKM juga telah mengeluarkan Logo PIlihan Lebih Sihat (Healthier Choice Logo - HCL) bagi membantu pengguna mengenal pasti produk susu kultur yang lebih sihat.

Anda boleh semak senarai barangan yang mempunyai logo tersebut di laman sesawang khas KKM ini. Kami sertakan logo berkenaan di bawah.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Jadi, jelas di sini kandungan gula dalam susu kultur tidaklah sebanyak dalam minuman manis namun anda juga boleh memilih susu kultur yang lebih rendah jumlah gulanya jika anda mahu.

 

KESIMPULAN

Ibu bapa mana tidak bimbang jika sesuatu produk yang sebelum ini baik untuk kesihatan kini dikatakan membawa mudarat.

Namun, sebarang dakwaan perlulah diteliti dahulu. Seperti penjelasan KKM, banyak dakwaan sebegini sebenarnya bersifat testimoni dan tiada asas yang kukuh.

Mungkin produk tersebut tidak sesuai dengan seseorang, namun tidak pada orang lain.

Apapun bersederhanalah dalam setiap apa yang kita makan dan minum.

Ingat pesan KKM, semak label dahulu sebelum minum.

Ingat juga pesan MyCheck, Jangan sebar melulu, MyCheck dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Kerang Media

  2. Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?

  3. list of hcl products

  4. Kementerian Kesihatan Malaysia

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.