Minuman berkarbonat jenama Coca-Cola haram diminum kerana mengandungi alkohol.
Sumber : Facebook / Mei 2022
Minuman Coca-Cola di Malaysia tidak mengandungi sebarang alkohol. Jakim turut mengeluarkan sijil perakuan halal kepada Syarikat Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd untuk kesemua produk mereka di pasaran tempatan.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Syarikat Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan merupakan antara pengeluar minuman berkarbonat terbesar di negara ini.
Di bawah jenama Coca-Cola, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mempunyai 86 jenis minuman di bawah empat kategori iaitu minuman ringan, air minuman, minuman jus dan minuman teh.
Memetik artikel Berita Harian, jenama Coca-Cola telah bertapak di Malaysia sejak 1936.
Minuman Coca-Cola di Malaysia telah memperoleh sijil perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tempoh 2022 hingga 2024.
MENGENAI DAKWAAN
Tular sekeping gambar yang memaparkan minuman Coca-Cola didakwa mengandungi alkohol sebagai ramuan rahsianya dalam keratan akhbar Times News Network.
Akhbar dari Amerika Syarikat (AS) itu memetik sumber daripada salah satu program yang dikenali sebagai This American Life yang disiarkan lebih 500 stesen radio awam negara itu.
Rancangan bual bicara itu pula merujuk jurnal Atlanta Journal-Constitution berdasarkan dokumen rahsia bertulisan tangan resipi asal yang diterbitkan pada 1979 di premis syarikat berkenaan.
Antara ramuan sebelum diproses untuk bahan dengan kod misteri 7X Flavour itu ialah alkohol mengandungi lapan aun (oz) atau 227 gram selain enam lagi bahan lain ketika dicipta pada 1886.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Roz Izlan telah memuat naik hantaran berserta tangkap layar keratan akhbar mendakwa minuman Coca-Cola haram diminum kerana mengandungi alkohol.
Hasil carian kami mendapati hantaran itu telah dipadam oleh individu berkenaan, namun kami berjaya mendapatkan tangkap layar dakwaan tersebut.
APA YANG KAMI TEMUI
Kami cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak Coca-Cola dan juga Jakim namun tidak mendapat sebarang respons.
Justeru, kami melakukan semakan lanjut di portal Halal Malaysia bagi mengenal pasti status minuman berkenaan.
Hasil semakan mendapati Syarikat Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd adalah pemegang sijil halal dan telah memperoleh sijil perakuan halal bagi tempoh 2022 hingga 2024 bagi kesemua produk minuman di bawah jenama mereka.
Laporan mengenai isu berkenaan dipaparkan dalam pelbagai media tempatan termasuk KOSMO, thesundaily, Utusan Malaysia selain beberapa laman sesawang bebas seperti Malaysia Trend dan Mashable SEA.
Dakwaan Lama Ditularkan Semula
Sebenarnya, isu wujudnya kandungan alkohol dalam minuman berkarbonat Coca-Cola telah tersebar sejak 2011 lagi namun ditularkan semula pada tahun ini.
Beberapa pengguna Facebook memuat naik dakwaan berkenaan antaranya anda boleh lihat di sini, sini dan sini.
Bahagian Hab Halal Jakim sendiri pernah mengeluarkan kenyataan pada 2016 menerusi Facebook bagi mengesahkan bahawa minuman Coca-Cola di dalam botol aluminium berwarna merah sempena Euro 2016 adalah halal.
Tiada Kandungan Alkohol Pada Label Tin Minuman Coca-Cola
Semakan kami mendapati tiada bahan berunsur alkohol diletakkan dalam minuman Cola-Cola.
Pada tin berkenaan memaparkan beberapa bahan yang kebiasaannya diletakkan dalam minuman berkarbonat antaranya air berkarbonat, sukrosa, asid fosforik, perisa dan kafein, selain bahan tambahan bukan berasaskan daripada haiwan yang dibenarkan kerajaan.
KESIMPULAN
Minuman Coca-Cola telah mendapat sijil perakuan halal daripada Jakim, yang jelas bermaksud ia tidak mengandungi sebarang kandungan alkohol seperti didakwa.
Jangan mudah membuat dakwaan yang tidak benar sehingga mengelirukan orang ramai terutama pengguna Islam yang amat menitikberatkan isu halal dan haram.
Jika ragu, dapatkan pengesahan daripada pengeluar atau Jakim yang berperanan mengawal selia sijil perakuan halal atau cara paling mudah hubungi MyCheck, biar kami semak dahulu!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.