+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Buah-Buahan Tanpa Biji TIDAK BAHAYA Untuk Dimakan, Halal Buat Umat Islam

Benarkah...

Buah-buahan yang tidak mempunyai biji berbahaya kepada kesihatan manusia dan haram dimakan umat Islam.

Sumber : Facebook / Jun 2022

Hasil

Buah yang tidak berbiji sama ada secara semula jadi atau melalui proses secara saintifik boleh dimakan dan tidak memberi kesan mudarat kepada badan manusia.

22/06/2022 12:55 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan buah tanpa biji dikatakan berbahaya untuk kesihatan dan berstatus haram dari segi islam. 
  • Dakwaan dibuat oleh seorang doktor di Indonesia melalui video di YouTube dan TikTok.
  • Menurut pakar, penghasilan buah tanpa biji boleh terjadi secara semula jadi dan juga boleh dilakukan secara saintifik.
  • Proses yang dijalankan tersebut tidak akan mengganggu DNA manusia kerana ia akan tercerna ke molekul ringkas gula dan asid amino, seterusnya akan digunakan sebagai sumber tenaga kepada badan manusia.
  • Mufti Perlis Dr MAZA mengatakan dakwaan buah tanpa biji haram dimakan adalah tidak berasas dan Islam membenarkan kita memakan apa sahaja buah-buahan selagi tidak memudaratkan atau memabukkan.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Keadaan cuaca yang panas membuatkan seseorang cepat berasa dahaga dan keletihan.

Selain air, buah-buahan juga digunakan sebagai salah satu makanan untuk mengekalkan dehidrasi seseorang.

Namun, adakalanya tergigit biji dalam buah yang berasa kelat dan pahit boleh memotong selera seseorang untuk menikmati buah tersebut.

Oleh itu, buah tanpa biji sering menjadi pilihan penggemar buah-buahan termasuk kanak-kanak kerana ia bukan sekadar lebih mudah dimakan, tetapi juga senang dikupas.

 

MENGENAI DAKWAAN

Wujud dakwaan mengatakan buah-buahan tanpa biji berbahaya untuk kesihatan dan berstatus haram dari segi islam. 

Dakwaan ini muncul apabila tersebar satu video yang mengatakan buah-buahan tanpa biji ini mempunyai gen yang tertentu yang mampu untuk merosakan gen dalam tubuh manusia dan akan membahayakan generasi seterusnya.

Video TikTok tersebut menunjukkan seorang individu memberi penerangan mengenai dakwaan berkenaan dalam bahasa Indonesia seperti berikut :

"Sekarang pertanyaannya gini, kalau anda mau tanam semangka apa yang anda tanam? Nah sekarang kalau enggak ada biji nanamnya di mana? Lab

"Dia itu (buah tanpa biji) dibikinnya di lab dengan rekayasa genetik, gitu lho. Rekayasa genetik, bapak-ibu sekalian, mau-tidak mau, suka-tidak suka, pasti berpengaruh ke gennya yang makan

Dan katakanlah kita makan sesuatu yang tidak sehat gitu ya, itu ngefeknya sampai tahunan. Gennya rusak semua,".

Dengan menggunakan google translate, terjemahan ayat di atas kepada Bahasa Melayu berbunyi : 

Keadaan sekarangnya begini, jika anda mahu menanam tembikai, apa yang anda tanam? Jika tiada biji, jadi di mana anda tanam? Makmal.

Buah tersebut dibuat di makmal dengan manipulasi genetik. Manipulasi genetik (ini) tuan puan sekalian, mahu atau tidak, suka atau tidak, pasti akan memberi pengaruh kepada gen yang makan.

Dan katakan kita makan sesuatu yang tidak sihat, kesannya akan lama. Rosak semua gennya,”.

Individu tersebut turut menyeru pengguna untuk menjauhi dan tidak memakan buah-buahan tanpa biji ini.

Video tersebut disukai oleh 1,500 orang, mendapat lebih 1,000 komen dan dikongsi lebih 9,700 pengguna Facebook (setakat laporan ini ditulis, 21 Jun 2022).

Malah, pelbagai artikel dan perkongsian di media sosial menyatakan buah-buahan tanpa biji seperti tembikai, pisang, dan anggur dihasilkan melalui teknik modifikasi genetic atau GMO (Genetically Modified Organism).

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Video Dari Indonesia

Langkah pertama MyCheck mencari dari mana asalnya video yang tular.

Hasil semakan kami berjaya menemukan video asal berkenaan daripada media sosial TikTok.

Video tersebut adalah perkongsian oleh Dr Zaidul Akbar yang bertajuk  ‘Bahaya makan buah tanpa biji’.

Dr Zaidul Akhbar adalah seorang doktor yang berasal dari Indonesia dan beliau mempunyai saluran YouTube sendiri.

 

Dakwaan Mengelirukan

Semakan kami mendapati dakwaan ini telah disemak oleh badan semakan fakta di Indonesia antaranya, Times Indonesia ‘CEK FAKTA: Salah, Buah Tanpa Biji Haram dan Berbahaya’ dan Kompas.com [HOAKS] Buah Tanpa Biji Dapat Merusak Gen Orang yang Memakannya

Hasil semakan dua organisasi semakan fakta mendapati dakwaan ini adalah mengelirukan. 

Badan semakan fakta dari Indonesia ini juga turut mendapatkan fatwa dari Majlis Ulama Indonesia mengenai status halal buah ini.

 


Sumber: Majlis Fatwa Indonesia

 

Komen Pakar

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, MyCheck turut mendapatkan pandangan pakar dari segi sains dan Islam di Malaysia.

Pensyarah Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia Dr Nazatul Shima Naharudin memberitahu MyCheck, penghasilan buah-buahan tanpa biji boleh berlaku secara semula jadi, namun situasi tersebut jarang berlaku.

Menurut beliau, penghasilan buah tanpa biji semula jadi ini dikategorikan dalam pembiakan partenokarpi iaitu apabila buah tersebut terbentuk tanpa proses persenyawaan ovul (ovul adalah bahagian organ betina di dalam tumbuhan yang akan terbentuk menjadi benih).

Buah yang terhasil tanpa biji ini sebenarnya adalah tidak favorable memandangkan ia tidak upaya untuk membiak.

Namun, pembiak baka mengambil peluang daripada cara ini untuk menghasilkan buah tanpa biji kerana menjadi kegemaran ramai.

 

Bagaimana Ia Dihasilkan?

Sebenarnya proses penghasilan buah tanpa biji ini agak rumit dan memerlukan teknik yang betul.

Biasanya, buah yang disenyawakan oleh debunga akan membentuk dan menghasilkan buah yang mempunyai biji.

Sekiranya bunga betina tidak disenyawakan, bunga betina ini akan layu dan gugur ke tanah.

Namun, dalam situasi tertentu, walaupun tanpa kehadiran debunga untuk menjalani proses pendebungaan dan persenyawaan, pokok tersebut tetap menghasilkan buah.

Buah yang dihasilkan akan tidak mempunyai biji yang anda boleh lihat biasanya terjadi pada buah timun, anggur dan betik. Namun ia akan menghasilkan buah yang bersaiz kecil daripada biasa.

Selain itu, wujud juga persenyawaan terbantut atau mungkin hanya mempunyai biji yang tidak subur dan meninggalkan “kesan benih” iaitu benih tanpa isi yang selalunya berwarna putih yang terdapat dalam tembikai. Anda mesti pernah jumpa biji sebegini bukan?

Fenomena ini diambil kesempatan oleh pembiak tani untuk mengekalkan ciri-ciri tersebut bagi memasarkan buah tanpa biji ini.

Dr Nazatul Shima juga pernah berkongsi mengenai isu ini di portal UPM dan juga pernah diterbitkan di portal Bernama

 

Bagaimana Pula Mahu Mengekalkan Baka Tanpa Biji Ini?

Menurut Dr Nazatul Shima, pengekalan baka tanpa biji ini dapat dibuat dengan pelbagai cara.

Salah satu cara adalah dengan cara pembiakan vegetative iaitu cara kerat batang dari induk dan tanam semula.

Melalui cara ini, pokok tersebut akan mengekalkan ciri buah tanpa biji yang ada pada induknya sebelum ini. Sebagai contoh, cara ini boleh dibuat pada pokok jambu.

 


Sumber: DIYNatural.com

 

Selain itu, menurut penulisan Nor Hafizah Sharudin di laman sosial Facebook, cara penghasilan buah tanpa biji bagi buah tembikai mempunyai beberapa langkah yang perlu dilakukan.

Beliau berkata tembikai tanpa biji ini secara genetiknya mempunyai 3 set kromosom (3n) atau lebih dikenali sebagai triploid.

Pengarah Institut Pertanian Titi Gantong, Perak ini berkata untuk menghasilkan buah tembikai yang tidak berbiji ini, bunga jantan diploid yang mempunyai 2 set kromosom (2n) akan dikacukkan dengan bunga betina tetraploid (4n).

Apabila tetraploid didebungakan oleh diploid, maka terhasillah benih buah yang yang tidak berbiji (triploid).

Selepas itu, benih triploid (3n) ini akan ditanam, dan ia akan membesar sama seperti pokok tembikai yang biasa.

Namun, apabila pokok triploid ini berbunga, bunga betinanya perlu didebungakan oleh bunga jantan diploid (2n) untuk merangsang pembentukan buah. Mereka tidak boleh bersewakan secara semulajadi kerana bunga jantan dan bunga betina yang terbentuk dari triploid (3n) adalah mandul (steril).

Buah hasil kacukan bunga jantan diploid dan bunga betina triploid akan menghasilkan buah yang triploid, iaitu buah yang  tanpa biji. Buah tersebut akan membesar seperti biasa walaupun biji benih tiada pembentukan biji benih berlaku.

Jadi, dengan cara inilah para pembiak baka menghasilkan buah tanpa biji.

Anda juga boleh rujuk infografik dan gambar yang dikongsikan oleh Puan Nor Hafizah seperti di bawah.

 


Sumber: Facebook Nor Hafizah Sharudin

 

Tidak Beri Kesan Kepada DNA Manusia

Menurut Dr Nazatul Shima, proses yang dijalankan tersebut tidak memberi kesan kepada kesihatan manusia yang memakan buah tersebut

Ia tak akan masuk DNA kita, sebab apa yg kita makan tu akan tercerna ke molekul ringkas gula dan asid amino, seterusnya akan digunakan sebagai sumber tenaga kepada badan kita,” kata beliau kepada MyCheck.

Namun, beliau berkata buah-buahan haruslah diambil secara sederhana kerana ia juga mengandungi gula dan memberi kemudaratan jika diambil secara berlebihan.

Maka, yang membahayakan kesihatan adalah gula dalam buah jika diambil berlebihan, bukan buah yang tiada biji ya.

Kami juga menemui satu video TikTok yang memberi penjelasan kepada video yang tular tersebut.

Di sini, pengguna bernama Fahkri Asyraf turut menafikan dakwaan yang tersebut dan turut memberi maklumat yang sama seperti yang MyCheck temui.

 

Bagaimana Pula Status Halal Dari Segi Islam?

Bagi mendapatkan memberikan maklumat yang tepat kepada anda, MyCheck mengambil inisiatif untuk menghubungi tokoh Islam, Datuk Dr Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA.

Menurut mufti negeri Perlis ini, dakwaan mengatakan agama Islam tidak membenarkan untuk memakan buah yang tiada biji, sedangkan buah tersebut asalnya mempunyai biji adalah satu dakwaan tiada berasas.

Islam membenarkan kita memakan apa sahaja buah-buahan selagi tidak memudaratkan atau memabukkan,” kata beliau kepada MyCheck.

Jadi, jelas di sini buah yang tiada biji tidak haram untuk dimakan seperti yang dijelaskan dalam Majlis Ulama Indonesia.

 

KESIMPULAN

Buah-buahan sememangnya mempunyai khasiat istimewa bahkan boleh menjadi makanan tambahan untuk menyihatkan badan.

Sebagai contoh, tembikai, pisang dan belimbing adalah antara buah-buahan yang mempunyai kalium yang tinggi.

Pengambilan kalium yang rendah boleh meningkatkan tekanan darah manakala pengambilan kalium yang tinggi bersama-sama dengan pengambilan sodium yang rendah boleh mencegah dan mengurangkan tekanan darah.

Makanan kaya dengan kalium mengurangkan risiko mendapat serangan strok.

Jadi, ingat, buah-buahan memang banyak memberi manfaat kepada manusia dan anda tidak perlu lagi ragu-ragu untuk menikmati buah yang tiada biji.

Namun makanlah secara sederhana dan jangan berlebihan ya kerana apa yang berlebihan pasti ada mudaratnya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Menjawab Mitos GMO Buah Tanpa Biji | Universiti Putra Malaysia

  2. [HOAKS] Buah Tanpa Biji Dapat Merusak Gen Orang yang Memakannya Halaman all - Kompas.com 

  3. BUAH TEMBIKAI TANPA BIJI . . Akak... - Nur Hafizah Sharudin | Facebook

  4. BERNAMA - Menjawab Mitos GMO Buah Tanpa Biji

  5. KEJADIAN BUAH BETIK TANPA BIJI (PARTHENOCARPY)

  6. TikTok Fakhri Asyraf

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.