+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Jus Daun Betik BUKAN Ubat Penyembuh Demam Denggi, Tetapi Boleh Digunakan Sebagai Penawar Sampingan Untuk Naikkan Paras Platelet Darah

Benarkah...

Jus daun betik dapat menyembuhkan demam denggi.

Sumber : Facebook  / Jun 2022

Hasil

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menyatakan pengambilan 30 mililiter (ml) atau dua sudu besar jus daripada dua helai daun betik matang setiap hari, selama tiga hari mampu menaikkan jumlah platelet.

15/06/2022 02:52 PM

SEKILAS FAKTA

  • Minum air daun betik dikatakan dapat menyembuhkan individu yang dijangkiti demam denggi.
  • Minuman itu bukanlah ubat yang boleh menyembuhkan demam denggi namun ia boleh digunakan sebagai penawar sampingan.
  • Kajian klinikal oleh IMR menunjukkan pengambilan 30ml atau dua sudu besar jus daripada dua daun betik matang setiap hari, selama tiga hari mampu menaikkan jumlah platelet.
  • Kematian pesakit denggi sebenarnya berpunca daripada kebocoran plasma akibat tiada tekanan dalam salur darah sehingga menyebabkan tekanan darah rendah dan tidak sampai ke jantung.
  • Masyarakat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada jus daun betik sebagai kaedah alternatif.

 


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Selain Covid-19, kes demam denggi juga menunjukkan peningkatan yang mendadak sejak kebelakangan ini.

Umum mengetahui demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk aedes.

Orang ramai dinasihati menjaga kebersihan persekitaran terutama membuang air yang bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

Walaupun biasanya demam ini boleh sembuh, namun perlu diingat ia boleh membawa maut.

Setakat Jun 2022, kes demam denggi yang direkodkan adalah sebanyak 17,579 dan kematian melibatkan sebanyak 12 orang.

Peningkatan kes demam denggi mendorong masyarakat mencuba pelbagai cara dan petua untuk merawat jangkitan itu termasuk kaedah tradisional seperti menggunakan daun betik.

 

MENGENAI DAKWAAN

Dakwaan mengenai jus betik yang menjadi penawar demam denggi bukanlah sesuatu yang baharu malah telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak sekian lamanya.

Tidak dinafikan, setiap kali ada individu yang dijangkiti demam denggi, pasti ramai mengesyorkan pengambilan jus daun betik sebagai rawatan alternatif.

Ramai yang cuba untuk menghasilkan jus ini sendiri atau lebih mudah membelinya kerana kini jus berkenaan banyak terdapat di pasaran.

 


Sumber: MyCheck

 

Malah, ada yang menjadikan jus ini sebagai sumber pendapatan memandangkan ia dikatakan ‘wajib’ dicari jika sesiapa terkena demam denggi. 

Jika anda ‘google’ sahaja ‘jual jus daun betik’ pastinya keluar pelbagai iklan yang menjual jus daun betik segera.

 


Sumber: Google

 

Namun, adakah benar jus betik mampu menjadi penawar kepada demam denggi?

 

APA YANG KAMI TEMUI

Dua Sudu Besar Jus Daun Betik Mampu Menaikkan Platelet

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), kajian klinikal oleh IMR menunjukkan pengambilan 30ml atau dua sudu besar jus daripada dua helai daun betik matang setiap hari, selama tiga hari mampu untuk menaikkan jumlah platelet.

Kajian ini dijalankan terhadap jus daun betik bagi pesakit denggi iaitu untuk kategori denggi tidak berdarah dan denggi berdarah kelas satu.

Namun, KKM tidak menyediakan jus betik di hospital sebagai rawatan kepada demam denggi.

 

Apa Itu Platelet?

Menurut Malay Med, platelet atau juga dikenali sebagai trombosit, adalah sel darah khas. Sel-sel ini mengawal pembekuan darah untuk menyembuhkan luka dan menghentikan pendarahan.

Sesetengah orang mempunyai kiraan platelet yang rendah, yang menyebabkan mereka berisiko mengalami pendarahan yang tidak terkawal.

Julat darah rendah bermaksud julat darah kurang daripada 150,000 platelet setiap mikroliter darah manakala julat normal adalah 150,000 sehingga 450,000 platelet setiap mikroliter darah.

Kiraan platelet yang terlalu rendah boleh menyebabkan pendarahan tidak terkawal, manakala kiraan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan anda berisiko untuk pembekuan darah yang berlebihan.

Kami kongsikan gambar yang pernah dimuat naik oleh seorang pengamal perubatan yang, Dr Zabidi menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

 


Sumber: Facebook

 

Platelet Rendah Boleh Sebabkan Kematian?

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Prof. Dr Adeeba Kamarulzaman yang dipetik menerusi portal majalahsains.com menjelaskan punca kematian akibat demam denggi bukan disebabkan platelet darah rendah.

Oleh itu, beliau menasihatkan agar masyarakat tidak bergantung sepenuhnya kepada jus daun betik sebagai kaedah alternatif.

Sebaliknya, kematian pesakit denggi sebenarnya berpunca daripada kebocoran plasma akibat tiada tekanan dalam salur darah sehingga menyebabkan tekanan darah rendah dan tidak sampai ke jantung.

Menurut Dr Adeeba, simptom kebocoran plasma boleh disedari menerusi tanda amaran seperti sakit seluruh badan, loya, muntah, sesak nafas, gusi berdarah dan tidak bermaya.

Bagaimanapun, katanya pengambilan jus daun betik tidak memberi kesan sampingan kepada pesakit.

Kami kongsikan cara penghasilan jus daun betik oleh IMR.

 


Sumber: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)

 

Selepas daun tersebut dibersihkan, dapatkan jusnya melalui kisaran atau tumbuk dan minum jus tersebut sebanyak dua sudu sahaja. Perlu diingat, jus tersebut hanya boleh diminum selama tiga hari.

Seperti mana hasil kajian, jus daun betik bukanlah penyembuh demam denggi namun ia boleh digunakan sebagai ikhtiar rawatan.

 

Daun Betik Ada Kesan Sampingan?

 


Sumber: Facebook

 

Terdapat juga dakwaan menyatakan bahawa daun betik mengandungi bahan kimia berbahaya iaitu cyanogenic glycoside.

Dikatakan, bahan kimia ini boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, buah pinggang dan jantung sehingga boleh menyebabkan kematian.

Namun, KKM menjelaskan dos cyanide yang paling rendah untuk memudaratkan manusia adalah sebanyak satu mg bagi setiap kilogram (kg) berat badan.

Oleh itu jika seseorang mempunyai berat badan sebanyak 60kg, 12,000 helai daun perlu diambil pada satu masa untuk mengakibatkan keracunan tersebut.

 


Sumber: Harian Metro

 

KESIMPULAN

Kaedah perubatan tradisional sememangnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Namun, perubatan moden lebih diakui kerana sebarang ubat-ubatan akan diuji di makmal terlebih dahulu sebelum digunakan.

Tidak salah mencuba cara tradisional, namun dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu ya.

Tapi, apa yang lebih penting cegah sebelum dijangkiti. Jaga kawasan sekeliling anda, jangan biarkan air bertakung dan lakukan pembersihan berkala.

Ragu dengan sesuatu informasi? Jangan sebar melulu, MyCheck dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Denggi – Mitos Jus Daun Betik dan Sup Ketam | MajalahSains 

  2. Denggi – Mitos Jus Daun Betik dan Sup Ketam | MajalahSains

  3. http://www.doa.gov.my/index/resources/aktiviti_sumber/artikel/daun_betik.pdf

  4. Jus daun betik penawar demam denggi masih dikaji - KP Kesihatan | Astro Awani

  5. https://m.facebook.com/drsuhazeli/photos/daun-betik-ubat-denggi-terdapat/1622931024412881/

  6. Kenyataan Akhbar KPK 30 Jan 2016: Isu Daun Betik Yang Mengandungi Bahan Kimia Yang Memudaratkan & Produk Penawar Demam Denggi 

  7. Fungsi Platelet Darah atau Trombosit - Med Malay 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.