+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Daging Kambing BUKAN Punca Darah Tinggi, Malah Lebih Sihat Daripada Daging Lain

Benarkah...

Daging kambing tidak baik untuk kesihatan dan menjadi punca penyakit darah tinggi.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Mei 2022

Hasil

Pakar mendapati daging kambing merupakan sumber protein terbaik dan sihat berbanding daging-daging merah lain kerana mengandungi paras kolestrol, lemak tepu yang jauh lebih rendah.

14/06/2022 02:17 PM

SEKILAS FAKTA

  • Sajian daging kambing dikatakan menjadi punca masalah kolesterol dan darah tinggi.
  • Pakar menolak persepsi berkenaan kerana mendapati daging kambing paling berkhasiat dan rendah lemak serta kalori berbanding daging lain.
  • Punca darah tinggi adalah disebabkan tabiat makan berlebihan kalori serta mengandungi lemak tepu yang tinggi sehingga menyempitkan salur darah.
  • Daging kambing yang dihidangkan di restoran ala barat dengan menu seperti 'lamb chop', 'grilled mutton' adalah tinggi kalori dan lemak tepu kerana ia bukan daging kambing tetapi biri-biri.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Daging kambing merupakan antara sumber protein yang sedap dimakan, lebih-lebih lagi jika kena dengan menu seperti masak lemak cili api, kari ataupun dibakar. Sate kambing pun lazatkan?

Namun, biasa juga kita dengar nasihat-nasihat yang melarang untuk makan daging kambing kerana tidak baik untuk kesihatan.

Memang tidak dinafikan ada sesetengah orang memilih untuk menolak sajian daging kambing yang dianggap penyebab masalah kolesterol dan darah tinggi yang kemudian membawa kepada penyakit jantung.

Persoalannya, benarkah anggapan tersebut?

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima dakwaan daripada aplikasi WhatsApp bahawa daging kambing tidak elok dimakan kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Mesej berkenaan turut disertakan satu langkap layar bergambar yang menyatakan daging kambing amat berbahaya bagi mereka yang menghidap penyakit darah tinggi.

Sejauh mana kebenarannya, MyCheck semak dahulu untuk anda semua ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck meneliti tangkap layar yang disertakan menerusi mesej berkenaan.

Pada tangkap layar itu tertulis ayat : “Daging kambing dianggap sebagian masyarakat cukup berbahaya bila dikonsumi oleh orang orang yang memiliki riwayat penyakit darah tinggi atau lainnya. Benarkan daging kambing tidak menyehatkan? Coba kita simak kajian berikut ini,”.

Kami dapati ayat pada tangkap layar itu menggunakan bahasa Indonesia yang jelas dapat dikenal pasti menerusi penggunaan beberapa perkataan seperti ‘coba’ atau ‘cuba’ dan ‘dikonsumi’ yang bermaksud ‘dimakan’.

 


Sumber : WhatsApp

 

Seterusnya menggunakan imej yang diterima, kami cuba mencari dari mana sumber dakwaan tersebut serta mendapatkan maklumat lanjut sekiranya ada bukti atau penerangan yang berasas.

 

Maklumat Asal Diambil Daripada Portal AsSajidin.com

Carian kami membawa kepada satu portal ilmiah berkaitan agama dari Indonesia iaitu AsSajidin.com.

Jika dilihat kandungan laman tersebut, gambar dan kenyataannya adalah sama seperti mesej yang kami terima.

Kami kemudiannya meneliti keseluruhan laporan itu yang bertajuk 'Daging Kambing Berbahayakah Bagi Kesehatan?'

Apa yang kami temui sebenarnya portal tersebut menceritakan kebaikan daging kambing, bukannya mendakwa yang daging tersebut berbahaya jika dimakan oleh mereka yang berpenyakit darah tinggi.

Petikan laporan itu seperti dalam gambar berikut :

 


Sumber: Portal AsSajidin.com

 

Daging Kambing Baik Atau Tidak?

Tidak berhenti setakat itu, kami teruskan semakan menerusi carian rawak menggunakan enjin Google untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dan sekiranya terdapat kajian saintifik serta bukti berhubung kebaikan atau keburukan daging kambing.

Menggunakan kata kunci ‘daging kambing bahaya untuk kesihatan’, berikut merupakan antara hasil carian berkaitan dengan dakwaan tersebut.

 


Sumber: Google

 

Berdasarkan carian menerusi enjin Google itu, dapat dilihat beberapa dakwaan sepadan seperti yang kami terima. Ada yang mengatakan makan daging kambing boleh menyebabkan darah tinggi.

Namun, ada juga maklumat yang menyebut tentang manfaat daging kambing. Malah ada hasil carian yang melaporkan daging kambing baik untuk kesihatan jantung.

Jadi yang mana satu? Daging kambing ini sebenarnya baik atau bahaya?

Untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan tersebut, kami di MyCheck meneliti setiap pautan berdasarkan hasil carian yang tertera.

 

Lebih Baik Dan Sihat Berbanding Jenis Daging Lain

Portal Astro Awani, yang memetik berita dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyatakan bahawa daging kambing sebenarnya lebih sihat berbanding lembu, bebiri, khinzir dan ayam

Laporan itu menjelaskan bahawa sekumpulan penyelidik dari Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama atau Alabama Cooperative Extension System (ACES) mendapati bahawa daging yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik.

Menurut laporan itu lagi, ACES mendapati daging kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.

 

Daging Kambing Rendah Lemak

Dalam komposisi potongan daging seberat 85 gram (g), didapati daging kambing hanya mempunyai 2.6g kandungan lemak berbanding lembu yang mempunyai 7.9g lemak, khinzir (8.2g) dan ayam (6.3g). Selain itu, kandungan lemak tidak tepu daging kambing jauh lebih tinggi berbanding daging jenis lain.

Keadaan ini adalah baik untuk pemakanan kita, memandangkan lemak tak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.

Ia juga bagus bagi penghidap anemia kerana terdapat semua jenis asid amino pada daging itu yang diperlukan tubuh serta kandungan zat besi yang tinggi.

Kebaikan daging kambing itu turut dinyatakan oleh portal kesihatan hellodoktor yang menjelaskan bagi setiap 100g daging kambing mengandungi kira-kira 109 kalori, yang mana ia lebih rendah berbanding kalori daging lembu (250 kalori) dan ayam (195 kalori).

Kolesterol daging kambing juga lebih rendah iaitu 57 miligram (mg) per 100g, sementara daging lembu mempunyai 89mg dan ayam 83mg bagi setiap hidangannya.

 


Sumber: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia

 

Tidak Benar Daging Kambing Menyebabkan Darah Tinggi

Menurut portal hellodoktor, memakan daging kambing tidak menyebabkan darah tinggi, sebaliknya memakan makanan yang tinggi kalori sehingga berubah dan berkumpul menjadi lemak dalam badan adalah antara punca utama keadaan itu berlaku.

Ini kerana dari semasa ke semasa, kalori dalam badan yang tidak dicerna atau ditukar menjadi tenaga akan berkumpul di dalam salur darah dan menyebabkan tekanan darah meningkat.

Oleh itu, apa yang penting setiap daripada kita perlu memastikan pengambilan lemak tepu dalam diet harian tidak boleh melebihi 20g setiap hari.

Justeru, daging kambing yang kaya lemak tak tepu iaitu sekitar 1g setiap bahagian, berbanding dengan daging lembu atau ayam adalah pilihan terbaik.

Lemak tak tepu adalah sejenis lemak baik yang membantu mengimbangi paras kolesterol darah, mengurangkan keradangan dalam badan dan menstabilkan degupan jantung.

Menurut laporan portal Astro Awani juga ACES menekankan kebaikan pengambilan daging kambing kerana dipercayai membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko aterosklerosis dan penyakit jantung.

 

Beza Kambing Dan Biri-Biri

Satu lagi maklumat penting untuk difahami adalah daging kambing dan daging biri-biri mempunyai kandungan nutrisi yang berbeza.

Jadi kedua-duanya tidak sama.

Menurut laporan portal berita Harian Metro bertajuk ‘Biri-biri bukan kambing’, kekeliruan istilah menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa tidak mengapa makan biri-biri atau kambing kerana keduanya sama sahaja.

Anggapan ini ternyata silap kerana daging kambing lebih rendah lemak berbanding daging biri-biri yang mengandungi kadar lemak yang tinggi.

Kadar lemak biri-biri mencapai sehingga 12 peratus daripada keseluruhan dagingnya dan ia biasanya dimasak di restoran atau dijadikan ‘kambing golek’ pada majlis tertentu serta tidak sesuai untuk mereka yang menghidap tekanan darah tinggi berikutan kolesterol tinggi.

Menurut laporan itu Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Azhar Kasim menjelaskan, daging biri-biri matang dipanggil ‘mutton’ namun salah faham istilah itu menjadikan masyarakat menganggap mereka makan daging kambing.

Beliau menjelaskan dari segi istilah, kambing dipanggil ‘chevon’ manakala biri-biri muda ialah ‘lamb’.

‘Lamb chop’ dari segi istilah merujuk kepada daging biri-biri muda dan bukannya kambing.

Untuk penjelasan lebih mudah mengenai istilah ‘lamb’ dan ‘mutton’ ini, anda boleh rujuk di sini.

 

Cara Masakan Yang Betul


Sumber: Google

 

Jika anda ingin makan daging kambing tetapi bimbang mengenai risikonya terhadap kesihatan, sebaiknya elakkan hidangan kambing bergoreng, dibakar atau dipanggang seperti yang dinasihatkan dalam portal hellodoktor.

Sebaliknya, olah makanan anda kepada cara memasak lain iaitu sup. Tambahkan juga sayuran kaya serat, vitamin dan mineral bersama hidangan kambing anda.

Selain itu sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES turut menggariskan dua peraturan asas menyediakan masakan menggunakan kambing.

Pertama, gunakan suhu rendah bagi mengelakkan daging kambing cepat liat dan kedua, masak daging dengan cara peraman (marinade) basah sebelum dimasak atau masak berkuah seperti kari atau stu (stew).

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat dan semakan kami berkenaan isu ini, kesimpulannya banyak perkara yang perlu kita ambil tahu.

Ini termasuk apa yang kita makan sehinggalah nutrisi dan kandungan dalam setiap jenis makanan yang kita pilih.

Kami percaya untuk diet seharian, ramai yang pilih sajian ayam berbanding kambing kerana menyangka ia lebih sihat. Hakikatnya ayam lebih tinggi kalori berbanding daging kambing.

Jika kita utamakan kesihatan, kita perlu berusaha untuk cakna dengan apa yang masuk dalam mulut kita kerana ia akan mempengaruhi kesihatan.

Pesan kami di MyCheck, sebagai pengguna bijak jangan mudah terpedaya dan menyalahkan makanan kalau kita sendiri tidak tahu apa yang kita makan.

Kalau tidak pasti dengan informasi yang anda peroleh, ajukan kepada kami di MyCheck ya! Kami sedia semak fakta untuk anda!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Kenapa makan kambing,jadi pening? - Black Pepper By Six Nine Kitchen & Caterers 

  2. hmetro- Bersederhana nikmati daging 

  3. Facebook YaAishah Goat Farm: Perbezaan Daging Kambing Dan Daging Biri Biri 

  4. Daging kambing baik untuk kesihatan jantung | Astro Awani 

  5. 'Ancaman tersembunyi' dalam hidangan daging kambing - Direktorat P2PTM 

  6. Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan? - Hello Doktor

  7. Tak Makan Daging Kambing? Memang Rugi Kerana Anda Terlepas 5 Khasiat Penting Ini - MASKULIN

  8. Jika Suami Pening Selepas Makan Daging Kambing, Ini Sebabnya Yang Patut Anda Tahu. - KELUARGA 

  9. UPM.edu: DAGING - MANFAAT DAN BAHAYA

  10. Jangan Makan Daging Kambing Berlebihan di Kondisi Tubuh Alami 3 Hal ini, Sayang Nyawa Agar Tak Menyesal Nantinya - Semua Halaman - Hype 

  11. Ini 5 Mitos Negatif Daging Kambing Saat Idul Adha, dari Kolesterol Tinggi hingga Bahaya Hipertensi - Tribun-timur.com 

  12. Kolesterol dan Darah Tinggi Karena Daging Kambing ? Berikut Fakta dan Cara Mengolahnya 

  13.  Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan? 

  14. Banyaknya Manfaat Daging Kambing! Sebab Itu Daging Ini 'The Best' Berbanding Daging Lain 

  15. Risau Nak Makan Daging Kambing? Betul Ke Ia Boleh Menyebabkan HIPERTENSI? 

  16. Kebaikan dan keburukan daging kambing, pengambilan harian dan cara memasak 

  17. Biri-biri bukan kambing 

  18. Ini Perbezaan "Lamb" Dan "Mutton" Yang Ramai Tak Tahu | Iluminasi 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.