+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bantuan Warga Emas BUKAN Untuk Semua Warga Emas. Ia Tertakluk Kepada Beberapa Syarat Terutama Pendapatan Tidak Melebihi Garis Kemiskinan

Benarkah...

Semua warga emas di Malaysia akan diberikan bantuan sebanyak RM500 secara one-off (sekali bayar) dan juga bulanan.

Sumber : WhatsApp & Facebook, Twitter & Mei 2022.

Hasil

Hanya warga emas yang melepasi syarat iaitu pendapatan tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sahaja dapat bantuan tersebut dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

26/05/2022 12:14 PM

Penyelidik : Dhurga Jagan, Pelatih Praktikal dari USM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa semua warga emas akan diberikan bantuan sebanyak RM500 secara one-off (sekali bayar).
  • Bantuan tersebut dikatakan akan dikreditkan secara bulanan juga.
  • Hasil carian mendapati hanya warga emas yang melepasi syarat iaitu pendapatan tidak melebihi Pendapatan Garisan Kemiskinan (PGK) sahaja dapat bantuan tersebut dari JKM.


Sumber: Portal Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Penuaan hakikatnya suatu proses yang tidak dapat dielakkan sehingga kerajaan perlu berbelanja untuk memberi sokongan kebajikan kepada warga emas melalui faedah penjagaan kesihatan dan sokongan persaraan.

Dalam Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Datuk Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan Bantuan Warga Emas atau Bantuan Kebajikan Orang Tua dinaikkan daripada RM350 yang diberikan sebelum ini.

Ini bermakna pada 2021, warga emas yang layak dan berdaftar dengan JKM akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 seorang.

Menurut artikel diterbitkan Berita Harian, kerajaan melalui JKM membelanjakan RM900 juta bagi menyalurkan bantuan dan penjagaan warga emas pada 2021.

Ini termasuk RM62.5 juta untuk menampung 1,940 penghuni 15 institusi; bantuan kebajikan pelbagai bantuan kepada 138,000 warga emas (RM840 juta) dan program khidmat bantu di rumah (RM18 juta), selain bantuan khas kewangan bersasar warga emas dalam kalangan pesara kerajaan, nelayan dan kategori lain.

Malah, perubahan senario ekonomi dunia akibat pandemik Covid-19 juga memberi kesan kepada peningkatan harga barangan dan keperluan warga emas di pasaran tempatan.

Secara keseluruhan didapati jumlah perbelanjaan RM900 juta hanya menampung hampir 5 peratus warga emas menikmati kemudahan dan perkhidmatan daripada kerajaan berbanding jumlah keseluruhan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, iaitu 3.5 juta pada tahun lepas.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu mesej melalui WhatsApp : Bantuan Warga Emas Yang Ramai Belum Mohon

Mesej tersebut turut disertakan dengan ayat di bawah :

Alhamdulillah.. Pihak kerajaan umum Bantuan Kewangan untuk semua warga emas di Malaysia.. Anak-anak tolong applykan Mak Ayah anda Bantuan RM500 One-Off buat warga emas ini. Bantuan akan dikreditkan secara bulanan.. Pakat2 hantar kat kekawan bagi ringan sikit beban mak ayah kat kampung tu..”.

Mesej ini diteruskan dengan cara mohon bantuan RM500 dan menyuruh orang ramai untuk menyertai satu telegram rasmi.

Turut disertakan pautan ke satu laman sesawang.

 

APA KAMI TEMUI?

Pertama sekali kami melakukan carian di laman sosial Facebook mengenai dakwaan itu.

Berdasarkan tangkap layar yang diterima, MyCheck mendapati hantaran tersebut menyebut sumber dakwaan adalah daripada pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Info Bantuan Kerajaan’.

Kami menemui hebahan poster tentang ‘Bantuan 2022, Warga Emas Ramai Yang Belum Mohon’.

Anda boleh lihat antaranya di sini, di sini, di sini dan di sini.

 


Sumber: Facebook Info Bantuan Kerajaan

Kami turut menemui kesemua perkongsian hantaran yang dimuat naik di portal malaysia di sini.

 

Pautan Membawa Ke Laman Sesawang Portal Malaysia

MyCheck juga klik pautan yang tertera pada mesej di WhatsApp dan terus membawa ke laman sesawang portalmalaysia.com iaitu sebuah laman bagi menghebahkan pelbagai info dan bantuan kepada orang ramai.

Namun, kami dapati laman tersebut bukan laman sesawang rasmi dan tidak berkaitan dengan JKM.

Bagaimanapun, maklumat yang dikongsikan adalah benar dan lebih terperinci.


Sumber: Portal Malaysia

 

Bantuan Warga Emas

BWE diuruskan oleh JKM.

Apa tujuan BWE ini? Ia adalah untuk membantu warga emas berusia 60 tahun dan ke atas meneruskan kelangsungan hidup dalam komuniti.

Syaratnya pendapatan warga emas itu hendaklah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Untuk rekod, dalam Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan Bantuan Warga Emas atau Bantuan Kebajikan Orang Tua dinaikkan daripada RM350 yang diberikan sebelum ini.

Ini bermakna pada 2021, orang tua atau warga emas yang layak dan berdaftar dengan JKM akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 seorang.

 

Adakah Maklumat Portal Malaysia Itu Benar?

Kami kemudian telah membandingkan satu per satu maklumat portal malaysia dengan Bantuan Warga Emas dan mendapati ia adalah sah.

Portal tersebut telah menjelaskan mengenai bantuan RM500 sebulan untuk warga emas yang mana pemberian BWE bukanlah untuk semua warga emas dan hanya kepada warga emas yang layak melepasi syarat-syarat seperti berikut : 

  1. Warganegara yang bermastautin di Malaysia; 

  2. Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas sahaja;

  3. Pendapatan isi rumah tidak melebihi 

           i. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) purata miskin isi rumah semasa; atau

           ii. PGK purata miskin per kapita semasa

Bukan sahaja itu, 

  1. Warga emas bukan tinggal di institusi kendalian JKM atau di mana-mana pusat jagaan harian yang memberi perkhidmatan percuma.

Kami juga menyemak maklumat itu di bahagian bawah portal Bajet 2022 dan JKM, ternyata maklumat serta borang permohonan yang tertera di portal itu juga benar.

 


Sumber: Bajet 2022

 

Mesej Cetus Kekeliruan

Hasil semakan MyCheck, bantuan tersebut memang wujud namun apa yang mengelirukan serta menimbulkan salah faham adalah kapsyen yang ditularkan pada mesej WhatsApp tersebut.

Kapsyen ‘Pihak kerajaan umum Bantuan Kewangan untuk semua warga emas di Malaysia.. Anak-anak tolong applykan Mak Ayah anda Bantuan RM500 One-Off buat warga emas ini,” telah menyampaikan maklumat yang mengelirukan kerana bukan semua warga emas menerima bantuan itu dan ia tidak dibayar secara one-off (sekali bayar).

 

Penafian Pihak Berwajib

Pada 13 April 2022, agensi berita Bernama melaporkan JKM melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa penularan poster mengenai ‘Bantuan Warga Emas one-off sehingga RM500’ adalah tidak benar.

Malah Facebook JKM juga sekali lagi membuat hantaran berkaitan dakwaan itu pada 18 Mei 2022 bagi mengingatkan orang ramai berikutan poster tidak benar itu masih ditularkan.

 


Sumber: Facebook Jabatan Kebajikan Masyarakat

 

Lazimnya, teknik menulis kapsyen berbentuk ‘click-bait’ seperti ini mempunyai agenda tersendiri untuk memancing orang ramai menyertai kumpulan telegram yang disertakan pada mesej berkenaan.

 


Sumber: Portal Malaysia

 

KESIMPULAN

Jadi, dapat simpulkan bahawa bantuan yang disebarkan adalah baharu kerana pada April lepas JKM telah menafikan bantuan warga emas ini, tetapi kemudian ia telah diumumkan secara rasmi.

Ia bukanlah bantuan secara one-off tetapi secara bulanan kepada warga emas yang layak sahaja di bawah program bantuan warga emas.

Maklumat penuh dan tepat mengenai bantuan berkenaan boleh dilihat di laman rasmi JKM dan permohonan boleh dibuat dengan cara hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Jajahan.

Inisiatif pihak yang ingin menghebahkan maklumat bantuan adalah baik.

Namun, sebagai pembaca kita haruslah membuat semakan terhadap kesahihan suatu maklumat ketika menerimanya dan jika ia benar boleh ditularkan dan dikongsikan kepada orang ramai.

Jangan terus percaya apa anda terima, selalu semak MyCheck okay!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Bantuan Warga Emas (BWE) 2022 

2.Bantuan Warga Emas Yang Ramai Belum Mohon

3.Bantuan Warga Emas - JKM 

4.JKM Nafi Poster Bantuan Wang Emas One-Off Sehingga RM500

5.Facebook Info Bantuan Kerajaan 

6.Berita Harian. “Kerjasama bersepadu diperlukan hadapi 'tsunami' warga emas 2030

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.