+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Makan Ayam Disuntik Hormon Ubah Anak Lelaki Jadi 'Gay' Hanyalah Mitos

Benarkah...

Makan ayam yang disuntik hormon boleh mengubah anak lelaki menjadi 'gay' atau lelaki yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya.

Sumber : WhatsApp / April 2022

Hasil

Tiada bukti saintifik mengesahkan faktor pemakanan terutama memakan ayam disuntik hormon berkait dengan kecenderungan seseorang itu menjadi gay.

24/05/2022 03:05 PM

SEKILAS FAKTA

  • Timbul dakwaan mengatakan ayam di pasaran disuntik hormon dan jika dimakan boleh mengubah anak lelaki menjadi 'gay'.
  • Dakwaan itu dibuat oleh seorang model, Natalia Paris dari Colombia tanpa fakta dan bukti saintifik yang kukuh.
  • Kebanyakan pihak berwajib telah menafikan dakwaan berkenaan kerana tindakan menyuntik ayam ternakan dengan hormon adalah menyalahi Akta Makanan 1983, Akta Makanan Haiwan 2009 serta Badan Berkuasa Kawalan Makanan dan Dadah (FDA). 
  • Ayam-ayam ternakan jenis pedaging sememangnya diberi vaksin tetapi bukan dengan kaedah cucuk seperti manusia tetapi melalui campuran makanan dan air. Bagi kes-kes khas vaksin diberikan melalui titisan ke dalam mata atau mulut ayam.
  • Tiada bukti saintifik boleh mengaitkan faktor pemakanan dengan kecenderungan seseorang itu menjadi gay.



Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Ayam merupakan antara sumber protein yang menjadi asas nutrisi penting yang diperlukan oleh badan selain karbohidrat dan lemak.

Bukan itu sahaja, makanan yang tinggi protein dapat membantu membaiki dan membina otot yang lebih kuat, selain meningkatkan metabolisme yang memainkan peranan dalam proses menurunkan berat badan.

Bahagian dada ayam (chicken breast) pula mempunyai kandungan protein yang tinggi dan rendah kalori jika dibandingkan dengan bahagian ayam yang lain.

Pelbagai masakan berasaskan ayam yang boleh dijadikan menu untuk hidangan seisi keluarga. Biasanya anak-anaklah yang paling seronok jika ada menu ayam. Goreng pun sedap!

Tetapi selain sumber protein, adakah ayam juga mempunyai risiko tidak baik kepada kesihatan terutama ‘ayam suntik' yang sering kita dengar.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Portal detikFood

MyCheck menerima satu maklumat berkaitan ayam mentah yang disuntik hormon.

Menurut dakwaan itu anak lelaki yang memakan ayam tersebut akan cenderung mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenis atau disebut sebagai ‘gay’.

Berdasarkan gambar yang diterima, dakwaan tersebut kelihatan seperti tangkap layar daripada detikFood, sebuah portal berbahasa Indonesia yang memaparkan pelbagai maklumat berkaitan makanan, kesihatan dan masakan.

Benarkah memakan ayam yang disuntik hormon dan keinginan seksual seseorang itu boleh berkait?

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berdasarkan carian rawak menggunakan enjin Google, kami cuba mendapatkan maklumat lanjut dengan kata kunci ‘Ayam yang disuntik hormon boleh ubah anak lelaki menjadi gay’.

Ternyata memang ada maklumat sepadan yang kami temui menerusi laporan di beberapa laman sesawang.

Hasil carian pertama yang kami lihat ialah daripada portal detikFood, iaitu portal yang sama dengan sumbar gambar yang kami terima.

 


Sumber: Google

 

Seterusnya, kami cuba meneliti pautan laporan tersebut untuk mengetahui apakah asas  serta fakta yang menyokong dakwaan berkenaan.

 

Dakwaan Seorang Model Dari Colombia

Menurut laporan portal dari Indonesia itu, seorang model, Natalia Paris dari Colombia mendakwa dengan memakan ayam yang disuntik hormon akan membuat anak lelaki menjadi gay.

Selain Natalia seorang wanita dari Bogota, Colombia dikatakan turut membuat dakwaan sama menerusi siaran sebuah stesen televisyen negara itu iaitu CarcolTV.

Bagaimanapun kami di MyCheck tidak dapat memastikan perkara itu memandangkan video yang dimaksudkan tidak dapat kami temui.

 

Hanya Mitos

Bagaimanapun, menerusi laporan sama di portal detikFood itu, Ketua National Federation for Colombian Poultry Farmers (FENAVI) Asndres Fernando Moncada menafikan kenyataan tersebut.

Menurut beliau di Colombia tiada ayam yang disuntik dengan hormon untuk mempercepat pertumbuhannya, serta menyifatkan dakwaan Natalia hanyalah mitos.

Dakwaan Natalia itu juga dianggap tidak masuk akal oleh ketua komuniti Homoseksual Argentina Cesar Cigliutti.

Namun kenyataan ketiga-tiga (Natalia, wanita dari Bogota dan Asndres Fernando Moncada) itu tidak dapat kami pastikan kerana tidak disertakan dengan sumber.

Kami cuba melakukan semakan lanjut untuk mencari kenyataan asal daripada ketiga-tiga individu itu namun tidak menemukannya.

 

Mitos Wujud Sejak Lebih Enam Dekad

Seterusnya kami menemukan sebuah portal tempatan, Iluminasi yang turut melaporkan mengenai dakwaan sama.

Menurut portal berkenaan dakwaan ayam disuntik hormon menyebabkan kecenderungan menjadi gay sudah timbul sejak lebih 60 tahun lepas dan masih ‘berlegar’ serta menjadi kepercayaan ramai sehingga hari ini.

Bagaimanapun menurut portal itu, dakwaan ini dikatakan mitos kerana pada masa kini ayam ternakan tidak lagi disuntik hormon tetapi industri penternakan ayam telah berkembang dengan menggunakan kaedah pembiakan secara genetik untuk mendapatkan hasil ayam yang cepat membesar dan berdaging.

Kenyataan ini disokong oleh gambar rajah di bawah dan portal The Hormone Myth.

 


Sumber: chicken.org

 


Sumber: chicken.org

 

Selain ayam, menurut portal itu, terdapat empat lagi sumber makanan yang menjadi mitos yang dikatakan boleh membuat individu menjadi gay.

Sumber makanan itu adalah produk soya, makanan segera, air paip dan bahan plastik yang mengandungi bahan yang dikenali sebagai 'Bisphenol A' (BPA).

 

Benarkah Ayam Disuntik Hormon Untuk Cepat Besar?

Berdasarkan maklumat yang kami peroleh daripada chicken.org itu, kami terus mencari maklumat benarkah ayam ternakan yang menjadi sumber protein kita selama ini betul-betul disuntik hormon?

Jika ya, bagaimana caranya dan apakah fungsinya.

Maklumat yang kami peroleh menerusi portal Mingguan Wanita menyatakan ayam tidak dicucuk hormon atau disuntik vaksin.

Portal itu memetik penjelasan seorang doktor perubatan yang turut menulis di portalnya suhazeli.com.

Dr Suhazeli Abdullah menerangkan ayam-ayam ternakan yang kita makan selama ini tidak dicucuk hormon, ataupun vaksin kerana ia melanggar Akta Makanan 1983 dan Akta Makanan Haiwan 2009.

Begitu juga Badan Berkuasa Kawalan Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat yang melarang penggunaan hormon ke atas ayam ternakan sejak 1960.

Teknologi penternakan masa kini mampu menternak ayam dalam tempoh masa yang singkat antara 40 hingga 45 hari kerana ayam cepat membesar disebabkan faktor jenis dan kualiti makanan yang diberikan pada ayam ternakan.

Terdapat dua kategori makanan yang diberikan kepada ayam iaitu makanan permulaan (starter) bagi ayam yang berumur 1 hingga 21 hari dan makanan penggemukan atau pertumbuhan (grower) pada umur 15 hingga 39 hari.

Jika pasaran memerlukan ayam bersaiz besar maka makanan penghabisan (finisher) perlu diberikan ketika umur 40 hari hingga dijual.

Ayam pedaging di Malaysia adalah majoriti daripada baka ayam Ross atau Cobb. Ia adalah baka ayam pedaging dari Amerika Syarikat yang tumbesarannya pantas.

 

Ayam Ternakan Divaksin, Bukan Dengan Kaedah Cucuk

Menurut Dr Suhazeli ayam ternakan jenis pedaging sememangnya diberi vaksin tetapi bukan dengan kaedah cucuk seperti manusia.

Ayam-ayam ternakan di dalam reban yang banyak itu diberi vaksin melalui campuran makanan dan air.

Bagi kes-kes khas pula, vaksin diberikan melalui titisan ke dalam mata atau mulut ayam.

“Adalah tidak benar tuduhan yang mengatakan ayam-ayam dicucuk hormon untuk menggemukkan mereka dalam tempoh yang singkat. Ayam-ayam dicucuk hormon atau vaksin adalah fitnah dan keterlaluan.

“Cuba bayangkan satu reban ayam sebanyak 15,000 hingga 20,000 ekor ayam. Lenguh tangan hendak cucuk vaksin dan hormon jika sepuluh reban,” jelas Dr Suhazeli.

 

Faktor Kewujudan Gay

Menurut laporan kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), terdapat pelbagai faktor yang dapat dikaitkan dengan kewujudan golongan gay di serata dunia.

Paling ketara ialah melibatkan faktor kekeluargaan, keadaan psikologi individu secara naluri, genetik dan biologi, termasuk ruang budaya Internet dalam masyarakat (Friedman, 1998).

Malah, laporan yang memetik (Mitchell & Dezarn, 2014) itu menjelaskan di Amerika Syarikat, kepercayaan bahawa orientasi seksual berasaskan genetik sangat berkait dengan toleransi yang lebih baik terhadap lelaki gay dan kepercayaan bahawa mereka berhak mendapat hak yang sama dengan orang lain.

Selain daripada faktor genetik dan biologi, Friedman (1988) turut menekankan faktor kekeluargaan di samping ruang budaya Internet dalam masyarakat yang turut menyumbang kepada gejala songsang ini.

Menurut Friedman lagi, dalam aspek kekeluargaan, perkembangan anak-anak yang cenderung kepada homoseksual (lelaki atau perempuan yang mempunyai tarikan seksual kepada kaum sejenisnya) mahupun heteroseksual (mempunyai tarikan seksual dengan individu berlainan jantina dengannya) adalah berbeza.

Anak-anak yang hidup dalam kalangan homoseksual mengalami kebimbangan, kesukaran dan kekurangan dalam aspek role model oleh bapa dalam sesebuah keluarga.

Menurut (Amran & Salleh, 2015) dalam laporan itu, kewujudan budaya homoseksual terutamanya di dunia dan di Malaysia banyak dikaitkan dengan keadaan sosial dan peranan media massa.

Selain itu secara amnya menurut laporan itu, sifat terbuka terhadap fenomena ini mengakibatkan ia terus meluas dengan pertambahan golongan ini dalam kalangan masyarakat umum.

Tambahan pula media sosial seperti Facebook turut digunakan sebagai platform penting bagi golongan ini untuk mencari kenalan baharu sesama mereka di samping aplikasi-aplikasi yang diwujudkan bagi golongan gay dengan hanya dimuat turun melalui telefon pintar.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semua maklumat yang kami kumpul, tiada bukti saintifik yang berasas bagi mengaitkan faktor makanan khususnya ayam yang disuntik hormon atau vaksin menjadi punca seseorang individu itu cenderung menjadi gay

Apa yang kami boleh simpulkan di sini janganlah kita mudah percaya dengan dakwaan yang tidak disertakan dengan fakta.

Lebih-lebih jika isu tersebut berkait dengan soal kesihatan, perubatan dan keselamatan makanan.

Tidak salah untuk kita berhati-hati serta memilih makanan yang tidak memudaratkan kesihatan, namun untuk mempercayai sesuatu perkara tanpa usul periksa juga bukanlah suatu tindakan yang wajar.

Jika keliru, ‘MyCheck’ dulu dengan kami ya!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Detik Food: Makan Ayam yang disuntik hormon bisa ubah anak lelaki jadi gay

  2. Bahaya: Hati-hati Dengan Daging Ayam yang Disuntik - Hello Doktor 

  3. Ayam Suntik: 10 Perkara Wajib Tahu Untuk Kesihatan Anda | Dokku Mentari

  4. Bahaya Makan Ayam Suntik. Jangan Amalkan Kepada Anak-Anak Kita Kerana..

  5. 5 Mitos Tentang Produk Makanan Yang Membuatkan Individu Jadi Gay | Iluminasi

  6. https://www.majalahpama.my/nampak-montok-puas-hati-beli-rupanya-ayam-suntik-perhatikan-ciri-ini/ 

  7. Hormon Androgen (Testosteron) Normal Berbeza Mengikut Usia 

  8. https://health.kompas.com/read/2020/09/09/210000868/8-makanan-untuk-meningkatkan-hormon-testosteron-dalam-tubuh?page=all  

  9. Lelaki Juga Boleh Didominasi Dengan Hormon Estrogen (Kewanitaan), Yang Boleh Menyebabkan Payu Dara Lelaki Menonjol, Serta Perut Buncit, Ini Punca Ianya Berlaku - Siakap Keli News

  10. Faktor Penentu Seseorang Menjadi Homoseksual - Alodokter 

  11. Apa penyebab seorang laki-laki menjadi gay? | merdeka.com 

  12. The Hormone Myth - ACMF 

  13. Kepak Ayam Cucuk Hormon & Vaksin 

  14.  Akta Makanan Haiwan 2009 

  15. Akta 281 

  16. Mengapa Ayam Perlu di Vaksin?

  17. Vaksin ayam  

  18. Homoseksual dan Hormon

  19. faktor keterlibatan belia dalam isu gay di Kuala Lumpur, IYRES  

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.