Biskut digestive jenama McVitie’s tidak halal.
Sumber : Facebook / Februari & Mac 2022
Biskut ini belum mendapat pengiktirafan Halal oleh Jakim.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Bagi penggemar kek keju, pastinya tahu biskut ‘digestive’ adalah antara bahan penting dalam pembuatan kek itu.
McVitie's merupakan antara jenama biskut digestive yang menjadi pilihan ramai dan biasa digunakan sebagai lapisan dasar kek keju kerana teksturnya yang dikatakan tidak terlalu lembik dan tidak keras.
Biskut itu akan dihancurkan sehingga menjadi tekstur separa halus (crumble) kemudian ditekan sehingga padat di dalam acuan kek sebelum dimasukkan lapisan krim keju di bahagian atasnya.
Bagi mereka yang gemar dan pakar membuat kek, resipi kek keju dengan biskut digestive sering menjadi pilihan untuk disediakan jika ada sebarang majlis atau sambutan kerana kek itu sangat mudah untuk dibuat tanpa perlu dibakar menggunakan ketuhar.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu tangkap layar berupa hantaran dimuat naik di laman Facebook individu dengan nama akaun Noor Zairina Zulkifli pada 10 Mac lepas yang mendakwa biskut ‘digestive jenama McVitie’s tidak halal.
Hantaran itu dikongsi lebih 5,000 pengguna Facebook termasuk Ilham Media, sebuah portal memaparkan maklumat dan isu semasa yang mempunyai lebih 2 juta pengikut di Facebook.
Selain ‘biskut digestive’, pengguna Facebook itu turut memuat naik gambar tiga jenis kopi berlainan jenama yang juga dikatakan tidak halal.
MyCheck mendapati daripada empat gambar yang dimuat naik, ‘biskut digestive’ paling mendapat perhatian dan respons ramai terutama golongan wanita yang ‘tidak asing’ dengan biskut itu dalam pembuatan kek.
Apa pun seperti biasa, biar kami semak dahulu apa sebenarnya sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat ya!
APA KAMI TEMUI?
Pertama sekali kami terus menjejaki pemilik akaun tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Akaun itu diyakini bukanlah akaun palsu kerana pemiliknya sudah lama aktif serta mempunyai lebih 4,000 rakan serta banyak membuat hantaran lain termasuk berkaitan aktiviti peribadi beliau sendiri.
MyCheck seterusnya melihat ke ruangan komen pada hantaran berkenaan dan mendapati warganet menyuarakan kebimbangan mengenai status halal biskut itu.
Dijual Di Pasar Raya Besar, Kedai Runcit Dan Laman E-Dagang
Seterusnya, MyCheck membuat carian rawak menerusi Google untuk mengumpul lebih banyak maklumat.
Menggunakan kata kunci ‘biskut digestive McVitie’s tidak halal’, hasil carian menunjukkan biskut tersebut turut dijual secara dalam talian menerusi laman e-dagang Shopee.
Terdapat Dua Pembungkusan Sama Namun Berbeza Penggunaan Bahasa
MyCheck turut mendapati terdapat dua pembungkusan produk itu yang sama namun berbeza dari segi penggunaan bahasa.
Bungkusan biskut yang tular adalah dalam tulisan Cina manakala produk yang sama dijual di laman e-dagang pula kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.
Jadi ada beberapa maklumat yang perlu kami pastikan antaranya apakah perbezaan kedua-dua bungkusan produk tersebut dan adakah produk ini berbeza pengeluar.
Setelah disemak, kami dapati produk biskut digestive jenama McVitie's sama ada dalam bungkusan dengan tulisan Inggeris atau Cina, kedua-duanya tiada logo halal.
Semakan kami di portal Jakim juga tiada sebarang rekod berkaitan status halal produk berkenaan.
Jakim Sahkan Biskut McVitie’s Tidak Mendapat Pensijilan Halal
Bagi mendapatkan pengesahan, MyCheck kemudian menghubungi Jakim.
Pihak Jakim memaklumkan, pengesahan produk halal di negara ini adalah berasaskan logo halal yang tertera pada bungkusan sesuatu produk di pasaran.
Jelas Jakim, jika sesuatu produk itu mempunyai logo halal pada pembungkusannya, pengguna boleh membuat pengesahan lanjut dengan menyemak nama syarikat yang tertera pada produk itu menerusi laman web www.halal.gov.my.
Namun, sekiranya produk itu tidak mempunyai sebarang logo halal pada pembungkusannya, semakan melalui portal itu tidak perlu dilakukan kerana ia bermaksud produk berkenaan bukan pemegang sijil halal.
Bagaimanapun perlu diingat bahawa logo halal pada bungkusan sahaja tidak mencukupi jika status halal sesuatu produk itu sudah ditarik balik atau tamat tempoh.
Maka sebagai pengguna bijak, sebelum membeli pastikan terdapat logo halal terlebih dahulu dan buat semakan di laman web Jakim bagi menentusahkan yang produk tersebut masih pemegang sijil halal yang sah.
Jika tiada sebarang logo yang tertera pada bungkusan produk maka adalah dinasihatkan untuk tidak membelinya.
Susah Nak Buat Dan Beli Kek Keju Lagi Lepas Ini?
Penggemar kek keju janganlah kecewa.
MyCheck sudah semak untuk anda dan menemukan satu jenama biskut digestive yang diiktiraf halal oleh Jakim iaitu MyBizcuit.
Menurut AQY Bakemart HQ, pembekal bahan bakeri yang berpusat di Kajang, Selangor, biskut digestive jenama MyBizcuit keluaran tempatan mempunyai pengiktirafan halal yang disahkan Jakim.
Rasa dan teksturnya juga dikatakan sama dengan biskut digestive yang biasa digunakan dalam pembuatan kek keju.
Jika teringin membeli kek keju di kedai pula, tidak salah untuk anda bertanya kepada mana-mana penjual kek keju tentang biskut jenama apakah yang digunakan sebagai lapisan dasar kek itu.
KESIMPULAN
Zaman akan silih berganti namun isu halal dan haram tidak akan terhenti di sini.
Apa yang penting, pengguna muslim dinasihatkan agar tidak seperti pepatah makan masak mentah, bermaksud orang yang tidak menghiraukan halal dan haram.
Seorang pengguna muslim yang baik akan sentiasa mencari yang halal dan menolak yang haram. Pilihan di tangan anda!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
1.The Halal Life. “Mcvitie’s Digestive” Diterbitkan pada 23 Mac 2020
2.Facebook Noor Zairina Zulkifli
7.Is Digestive biscuits from Mcvities United Kingdom halal or haram?
8.Halal or Haram? - Question: Salam, I was eating Mcvities... | Facebook
9.AQY Bakemart HQ - Digestive biscuit paling ramai tak tahu !! | Facebook
© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.