+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kajian Varian Omicron Tahan Lebih Lapan Hari Di Permukaan Plastik Belum Dapat Dipastikan Sebagai Hasil Rasmi Kajian

Benarkah...

Varian Omicron Covid-19 bertahan lebih lapan hari di permukaan plastik.

Sumber : WhatsApp & Facebook / Januari 2022

Hasil

Kajian oleh pakar dari Jepun bahawa Omicron bertahan lebih lapan hari di permukaan plastik belum diiktiraf, perlu penyelidikan meluas.

09/03/2022 01:30 PM

SEKILAS FAKTA 

  • Satu kajian yang dijalankan di Jepun mendapati varian Omicron mampu bertahan lebih lapan hari pada permukaan plastik berbanding varian asal.
  • Pakar di Thailand yang memetik kajian itu menasihati orang ramai untuk kerap membasuh tangan dengan sabun dan pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus itu.
  • Kajian yang dilaksanakan pakar di Jepun masih belum diiktiraf kerana belum disemak secara rasmi oleh barisan pakar lain dan tidak sesuai dijadikan panduan kesihatan untuk dilaporkan dalam akhbar sebagai konklusif.
  • Hal ini disiarkan oleh akhbar di Malaysia dengan memetik siaran akhbar dari Thailand.
  • Pelbagai faktor perlu diambil kira untuk menentukan risiko jangkitan menerusi permukaan tercemar antaranya sejauh mana tahap kontak seseorang itu dengan jenis permukaan dan jumlah virus.
  • Namun langkah menjaga kebersihan terutama kerap mencuci tangan dan mana-mana permukaan adalah amat digalakkan dalam usaha mencegah jangkitan Covid-19 atau apa jua penyakit.

 

LATAR BELAKANG  

Pejam celik, sudah dua tahun dunia berdepan pandemik Covid-19 dan disebabkan itu pemakaian pelitup muka sudah menjadi satu kemestian bagi setiap individu.

Walaupun kebanyakan individu sudah mendapatkan vaksinasi lengkap namun sebagai langkah berjaga-jaga, aspek kebersihan tidak harus diabaikan kerana virus itu juga dipercayai boleh melekat pada permukaan seperti kain, besi, kertas dan plastik.

Dikatakan virus itu boleh berada di mana-mana sahaja dan melekat lebih lama pada sesuatu permukaan terutama plastik berbanding kulit.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Kosmo!

 

MyCheck menerima tangkap layar yang mendakwa virus Covid-19 varian Omicron bertahan lebih lapan hari di permukaan plastik.

Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan orang ramai. Mana tidaknya, bahan berasaskan plastik sangat mudah diperoleh di sekeliling kita misalnya perkakas rumah, alatan pejabat dan ketika membeli barangan di kedai.

Benarkah dakwaan ini dan bagaimana cara membasmi virus ini? Jom MyCheck semak untuk anda! 

 

APA YANG KAMI TEMUI

Penelitian awal kami berdasarkan tangkap layar tersebut, terdapat simbol K! yang merujuk kepada portal berita tempatan iaitu Kosmo!.

Kelihatan berita tersebut adalah dari luar negara berdasarkan klasifikasi ‘Dunia’ yang terdapat pada gambar berkenaan.

Seterusnya kami membuat carian rawak menerusi enjin Google untuk mengetahui dari manakah sumber maklumat itu diperoleh.

Kata kunci yang kami gunakan adalah ‘Varian Omicron bertahan lapan hari di permukaan plastik’.

 


Sumber: Google

 

Berdasarkan hasil carian tersebut banyak tajuk laporan tempatan dan luar negara yang sepadan dengan dakwaan berkenaan dengan lebih 21,000 hasil carian disenaraikan.

Ertinya isu berkaitan dakwaan itu antara topik yang mendapat rating carian tertinggi. 

Laporan portal berita Kosmo! juga antara yang tersenarai dan kami kemudiannya membuka pautan berkenaan untuk mengetahui maklumat lanjut memandangkan tangkap layar yang tular itu dipercayai laporan asal portal berita tersebut.

 

Kajian Dari Jepun

Menurut Kosmo! yang memetik portal akhbar Nation Thailand, varian Omicron mampu bertahan empat kali lebih lama pada permukaan plastik berbanding varian yang lebih awal muncul sebelum ini.

Ketua Pusat Maklumat bagi Penyakit Berjangkit Baru Muncul di Universiti Chulalongkorn Dr Thiravat Hemachudha menjelaskan perkara itu berdasarkan satu kajian dijalankan Universiti Perubatan Wilayah Kyoto, Jepun.

 

Cara Covid-19 Disebarkan 

Untuk mengetahui kebenaran dakwaan tersebut, lebih baik jika kita fahami terlebih dahulu bagaimana cara virus itu merebak.

Jadi, MyCheck mendapatkan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang bagaimana cara Covid-19 ini disebarkan. 

Menurut portal WHO, cara utama Covid-19 tersebar ialah apabila individu yang dijangkiti virus itu mempunyai kontak secara rapat dengan orang lain. 

Virus ini boleh merebak melalui mulut atau hidung orang yang dijangkiti dalam bentuk titisan cecair halus ketika mereka batuk, bersin, bercakap, bernyanyi atau bernafas. 

Selain itu penularan melalui kaedah secara aerosol juga boleh berlaku dalam keadaan tertentu, terutama di dalam persekitaran kawasan tertutup, sesak dan pengudaraan yang tidak mencukupi.

Apabila individu dijangkiti Covid-19 berada bersama-sama dalam tempat yang dinyatakan khususnya bagi tempoh yang lama, virus itu akan tersebar kepada sesiapa sahaja yang berada di lokasi yang sama. 

WHO menjelaskan bahawa Covid-19 juga boleh tersebar apabila orang yang dijangkiti itu bersin atau batuk, kemudian titisan cecair dari mulut tersebar ke permukaan yang boleh disentuh orang lain seperti meja, tombol pintu, papan kekunci komputer dan sebagainya.

Jika begitu, memang virus ini mampu berada di mana-mana permukaan di persekitaran kitalah!

 

Berapa Lama Covid-19 Mampu Hidup Di Permukaan?

Menurut kajian penyelidik dari Agensi Sains Kebangsaan Australia (CSIRO), Covid-19 dapat bertahan hingga 28 hari pada jenis permukaan yang bersifat rata dan licin pada suhu 20 darjah celsius.

Kajian yang diterbitkan pada 7 Oktober 2020 itu menjelaskan permukaan yang dimaksudkan antaranya wang kertas atau plastik, kaca seperti di skrin telefon bimbit dan keluli tahan karat. 

Namun ia hanya mampu bertahan kurang daripada 24 jam iaitu sehari sahaja pada suhu 40 darjah celsius.

Ketua Eksekutif CSIRO Dr Larry Marshall menjelaskan untuk menganggarkan tempoh virus itu benar-benar dapat bertahan pada sesuatu permukaan perlu mengambil kira pelbagai aspek.

Ini kerana hasil kajian pasukan mereka mendapati Covid-19 dapat berada di permukaan untuk jangka waktu yang lama pada suhu rendah, Timbalan Pengarah ACDP Dr Debbie Eagles menegaskan kaedah seperti mencuci tangan dengan sabun dan membersihkan permukaan sekitar amat perlu diamalkan untuk melindungi diri daripada dijangkiti virus tersebut. 

Terdapat juga kajian tentang daya tahan Covid-19 pada permukaan serta udara yang dilakukan oleh saintis dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) University of California, Los Angeles dan Princeton sebelum ini.  

Kajian yang diterbitkan di dalam The New England Journal of Medicine pada 17 Mac 2020 itu mendapati Covid-19 lebih stabil dan tahan pada permukaan plastik dan keluli tahan karat sehingga hampir 72 jam berbanding 24 jam pada kadbod.

Menurut laporan portal Berita Harian yang memetik berita antarabangsa AFP, pasukan penyelidik tersebut menggunakan nebulizer untuk mencipta simulasi seperti seseorang yang batuk atau bersin.

Mereka mendapati virus yang keluar dari mulut seseorang individu itu dikesan mampu bertahan selama tiga jam di udara.

 


Sumber: The New England Journal of Medicine

 

Faktor Suhu Dan Jangka Hayat Covid-19

Penyelidikan CSIRO yang dilakukan di Pusat Penyediaan Penyakit Australia (ACDP) di Geelong, mendapati Covid-19 mampu bertahan lebih lama dalam keadaan suhu yang lebih rendah.

Hasil penyelidikan yang juga diterbitkan dalam portal biomedik Virology Journal itu menjelaskan pada suhu 20 darjah Celsius atau kira-kira suhu bilik, Covid-19 didapati sangat kuat untuk bertahan selama 28 hari di permukaan licin seperti kaca pelindung skrin telefon bimbit dan wang kertas plastik.

Dapatan tersebut sekali gus mengukuhkan bukti bahawa virus itu lebih hebat berbanding virus Influenza A yang pernah diuji menerusi eksperimen serupa dengan daya tahan sekitar 17 hari di permukaan.

Eksperimen lebih lanjut turut dilakukan pada suhu 30 serta 40 darjah Celsius dan mendapati tempoh daya tahan Covid-19 berkurang ketika suhu bertambah. Selain itu, kajian ini juga dilakukan dalam keadaan persekitaran gelap. 

Ia bertujuan untuk menghilangkan kesan sinar UV kerana terdapat penelitian yang merumuskan sinar matahari secara langsung dapat mematikan Covid-19 dengan cepat.

Bagaimanapun menurut Dr Eagle, bagi mencari faktor yang paling tepat dapat mempengaruhi penyebaran virus itu di permukaan tercemar pelbagai faktor perlu diambil kira.

Antaranya, faktor seperti sejauh mana tahap kontak seseorang itu dengan jenis permukaan dan jumlah virus merupakan indikator  yang diperlukan untuk menentukan risiko jangkitan.

Oleh itu soal berapa lama Covid-19 dapat bertahan pada sesuatu permukaan adalah bergantung kepada kuantiti, jenis permukaan, serta suhu persekitaran, menurut Pengarah ACDP Profesor Trevor Drew.

Sebagai contoh, kadar sentuhan dan titisan yang dikeluarkan ketika seseorang itu batuk merupakan faktor utama menilai tahap keboleh jangkitan virus itu melalui permukaan tercemar.

Kebanyakan kajian dan nasihat kesihatan berkaitan Covid-19 juga menyatakan risiko utama penularan wabak tersebut adalah disebabkan seseorang itu mempunyai kontak rapat kepada orang yang dijangkiti.

 

Varian Omicron Paling Dominan Setakat ini? 

Mari kita berbalik semula pada fokus utama laporan ini berkenaan dakwaan varian Omicron yang mampu bertahan lebih lapan hari di permukaan plastik. 

Benarkah sekuat itu jangka hayat Omicron ini sedangkan kita tahu virus tersebut memerlukan tubuh manusia untuk terus hidup?

Memandangkan dakwaan yang tular itu merujuk kepada satu dapatan baharu oleh pengkaji dari Jepun, maka MyCheck akan cuba dapatkan laporan berkenaan untuk diteliti bagi memastikan dapatan kajian itu benar-benar kukuh sebagai panduan klinikal.

Berdasarkan laporan pracetak di laman BioRxiv, pakar menganalisis perbezaan kestabilan persekitaran virus di antara strain Wuhan SARS-CoV-2 dan semua ‘variants of concern’ (VOC) pada permukaan plastik dan kulit.

Kajian itu mendapati varian Alpha, Beta, Delta dan Omicron mempamerkan kemandirian lebih dua kali ganda lebih lama daripada strain Wuhan dan mengekalkan kebolehjangkitan selama lebih daripada 16 jam pada permukaan kulit manusia.

Sifat virus dengan kestabilan persekitaran yang tinggi dipercayai telah mempengaruhi keupayaannya hayat VOC.

Faktor ini juga yang menyebabkan Omicron kini menjadi varian yang paling dominan berdasarkan kajian sekumpulan pakar dari Jepun itu.

Kajian mereka mendapati kadar purata hayat strain asal direkodkan selama 56 jam, varian Alpha (191.3 jam), Beta (156.6), Gamma (59.3 jam), Delta (114.0 jam) dan Omicron (193.5 jam) pada permukaan plastik.

Sementara itu pada sampel kulit mayat pula, purata masa kemandirian virus bagi varian asal ialah 8.6 jam, Alpha (19.6 jam), Beta (19.1 jam), Gamma (11  jam), Delta (16.8 jam) dan Omicron (21.1 jam). 

Ini bererti varian Omicron mampu bertahan lebih lama pada permukaan plastik dan kulit manusia berbanding varian awal Covid yang lain. Perbandingan lebih jelas boleh dilihat dalam rajah di bawah.

 


Sumber: bioRxiv.org

 

Kajian Masih Belum Disemak Kumpulan Pakar Lain

Perkara ini perlu dipertimbangkan kerana walaupun kajian yang diterbitkan oleh pakar dari Jepun ini agak terperinci, tetapi ia wajib melepasi proses semak dan imbang serta saranan daripada para pengkaji lain yang juga menyelidik berkenaan skop kajian serupa.

Hasil kajian pakar-pakar lain amat diperlukan sebagai maklumat tambahan yang menyokong hasil dapatan pakar dari Jepun itu bagi melayakkan sesuatu jurnal perubatan diiktiraf. 

Kami juga mendapati laporan kajian yang disiarkan di portal bioRxiv belum dapat dipastikan sebagai hasil rasmi kajian. Memang benar portal tersebut banyak menyalurkan maklumat kertas kerja berkaitan Covid-19. Namun mereka juga menyertakan nota peringatan berikut.

‘bioRxiv posts many COVID19-related papers. A reminder: they have not been formally peer-reviewed and should not guide health-related behavior or be reported in the press as conclusive.’

Ini bermaksud kajian pakar Jepun yang dirujuk pelbagai pihak itu masih belum diiktiraf kerana belum disemak secara rasmi dan tidak sesuai dijadikan panduan  kesihatan untuk dilaporkan dalam akhbar sebagai konklusif.

Jadi dakwaan tersebut masih perlu kajian meluas dan hasil laporan sedia ada masih tidak memadai.

 


Sumber: bioRxiv.org

 

KESIMPULAN 

Secara keseluruhannya, suka MyCheck ingatkan semua pembaca bahawa tidak semua kajian oleh pakar itu berstatus lengkap dan kukuh untuk dijadikan panduan.

Oleh itu ingat ya! Sebelum membuat kesimpulan mengenai sebarang dakwaan yang merujuk kepada hasil kajian pakar, pastikan sama ada terdapat kajian serupa selain daripada satu kumpulan pakar yang dijadikan rujukan. 

Jika tiada, maka kajian tunggal sebenarnya tidak boleh dijadikan sebagai rujukan.

Hati-hati memilih informasi dalam era lambakan maklumat tanpa sempadan, jangan sampai terkeliru okay!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Aerosol and Surface Stability of SARS-CoV-2 as Compared with SARS-CoV-1 | NEJM 

  2. COVID-19: Boleh bertahan di permukaan udara beberapa jam 

  3. The effect of temperature on persistence of SARS-CoV-2 on common surfaces | Virology Journal | Full Text 

  4. CSIRO scientists publish new research on SARS-COV-2 virus 'survivability' - CSIRO 

  5. Omicron Mampu Bertahan 8 Hari Pada Permukaan Plastik – Kajian | SYOK 

  6. OMICRON BERTAHAN HIDUP DI PERMUKAAN PLASTIK HINGGA 21 HARI 

  7. Bukan varian biasa, Omicron membiak 70 kali lebih pantas | Harian Metro 

  8. Studi Sebut Omicron Bertahan Lebih dari 21 Jam di Kulit, dan Lebih dari 8 Hari di Plastik - Pikiran-Rakyat.com 

  9. Omicron survives almost 200 hours on plastic, expert warns

  10. Omicron survives on skin for over 21 hours, 8 days on plastic surfaces, Japan study finds 

  11. Omicron survives longer on plastic, skin than prior variants; nose swabbing found best for rapid tests | Reuters 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.