+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ubat ‘Punggung’ Jenis Voltaren Beri Risiko Radang Otak Dan Pendarahan

Benarkah...

Kanak-kanak yang mengalami demam influenza tidak sesuai diberi ubat punggung kerana boleh meningkatkan risiko radang otak.

Sumber : Facebook, WhatsApp/ Januari 2022

Hasil

Ubat punggung jenis Paracetamol (PCM) lebih selamat untuk digunakan berbanding jenis antiradang bukan steroid (NSAIDs) atau Voltaren.

05/08/2022 01:03 AM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dua jenis Supp di pasaran iaitu jenis Paracetamol (PCM) dan Voltaren.
  • Kedua-dua Supp berfungsi meredakan suhu demam tinggi, namun jenis Voltaren berisiko mengakibatkan radang otak dan komplikasi lain kepada kanak-kanak yang dijangkiti demam influenza dan denggi.
  • Supp Voltaren boleh digunakan jika diketahui punca demam berdasarkan nasihat doktor.

 

LATAR BELAKANG

Suhu normal badan manusia ialah sekitar 36 darjah celsius manakala suhu demam bayi dan kanak-kanak bermula daripada 38 hingga 40 darjah celsius.

Apabila suhu badan bayi atau kanak-kanak meningkat melebihi 37 darjah celsius, pastinya keadaan itu membimbangkan ibu bapa. Namun perlu difahami bahawa demam bukanlah sejenis penyakit.

Sebaliknya demam adalah tindak balas tubuh yang sedang melawan penyakit seperti selesema, sakit tekak, batuk dan sebagainya. Biasanya ubat-ubatan yang berkaitan ada disimpan di rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain itu, disebabkan ramai ibu bapa yang berdepan masalah anak-anak yang sukar untuk makan ubat, maka ubat punggung atau Supp ini adalah alternatif paling mudah yang sering digunakan.

Namun, adakah pemberian Supp kepada anak-anak yang mengalami demam ini selamat dan lebih berkesan daripada jenis ubat-ubatan yang dimakan?

 


Sumber: Public Health Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck Malaysia menerima infografik oleh Public Health Malaysia yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp dan laman Facebook mengenai ubat punggung atau ubat NSAIDs.

Infografik itu memberi peringatan untuk mengelakkan pemberian ubat punggung jenis NSAIDs kepada anak di bawah usia lima tahun yang dijangkiti demam influenza kerana didakwa berupaya meningkatkan risiko radang otak.

Dakwaan yang dimuat naik di laman Facebook Public Health Malaysia yang mempunyai lebih sejuta pengikut itu turut mencatatkan 9.6 ribu perkongsian (setakat laporan ini ditulis).  

Berikutan itu pelbagai reaksi serta kebimbangan disuarakan warganet berhubung risiko penggunaan ubat Supp itu.

 


Sumber: Facebook Public Health Malaysia

 

Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Bukankah ubat jenis Supp sangat sinonim dengan kanak-kanak dan biasanya digunakan untuk meredakan demam anak-anak? Jom MyCheck semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat carian rawak menerusi enjin carian Google menggunakan kata kunci ‘ubat punggung-risiko’ dan menemukan artikel-artikel berhubung risiko pengambilan Supp seperti dalam rajah di bawah.

 


Sumber: Google

 

Seterusnya kami cuba menjejaki semula perkongsian yang ditularkan di laman Facebook Public Health Malaysia untuk mencari dakwaan atau ‘cerita’ berkaitan infografik yang kami terima. 

Berdasarkan perkongsian di laman itu pada 4 Januari lepas, sebuah keluarga telah kehilangan anak mereka yang masih kecil ekoran komplikasi radang otak akibat pemberian ubat Supp ‘Diclofenac’ atau Voltaren.

Sebelum ubat Supp diberikan, anak itu mengalami demam dengan suhu yang tinggi. 

Maklumat lain yang disertakan ialah anak kecil yang meninggal dunia itu juga disahkan mengalami demam akibat jangkitan virus influenza.

 


Sumber: Facebook Public Health Malaysia

 

Fakta Asas Ubat Punggung

Seorang pengamal perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang sering berkongsi mengenai isu kesihatan, motivasi dan pengetahuan umum di laman Facebooknya yang memiliki 369,144 pengikut (setakat laporan ini ditulis) menjelaskan kebiasaannya doktor akan memberikan Supp PCM jika anak demam dan sukar makan ubat.

Fungsi Supp PCM sama seperti ubat demam yang dimakan cuma medium dan cara pemberiannya sahaja yang berbeza. Maka jarak pemberian antara Supp PCM dan ubat cecair (sirap) PCM perlu antara empat hingga enam jam bagi mengelakkan dos berlebihan.

Dr Kamarul Ariffin menjelaskan jika suhu anak sudah mencecah 38 darjah celcius, maka boleh diberikan Supp PCM terutamanya jika anak muntah setiap kali disuapkan sirap PCM.

Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa selain Supp PCM, terdapat ubat punggung yang mempunyai fungsi lain selain meredakan demam tinggi antaranya, Supp urethra (salur kencing), tahan sakit, sawan, sembelit, buasir dan masalah mati pucuk.

 

Jenis-Jenis Ubat Punggung

Seorang lagi pengamal perubatan, Dr Ahmad Samhan yang juga sering berkongsi isu semasa kesihatan menerusi Facebooknya yang memiliki 310,165 pengikut turut menjelaskan terdapat dua jenis Supp di pasaran iaitu Supp Paracetamol dan Supp Voltaren (Diclofenac). 

Kedua-dua berbentuk seperti torpedo dan dimasukkan melalui dubur untuk menurunkan suhu badan dengan cepat terutamanya bila anak muntah-muntah atau susah untuk makan ubat cecair.

Supp PCM adalah acetaminophen manakala Supp Voltaren adalah NSAIDs dan kedua-duanya adalah antipyretic (menurunkan suhu demam) dan analgesic (tahan sakit).

Namun ibu bapa perlu jelas bahawa Supp Voltaren ada fungsi lain iaitu anti inflammatory (anti radang).

Penggunaan Supp Voltaren pada kanak-kanak berumur kurang lima tahun yang mengalami jangkitan influenza boleh meningkatkan risiko Acute Necrotizing Encephalopathy (sel otak mati yang boleh membawa maut).

Ini bermaksud pengambilan Supp Voltaren tanpa nasihat doktor TIDAK DIGALAKKAN dan berbahaya.

Selain itu pengambilan NSAIDs tanpa mengetahui punca demam akan menyebabkan kerosakan hati, demam denggi berdarah dan ulser perut.

Supp Voltaren boleh digunakan jika telah diketahui punca demam (setelah keputusan darah diperoleh), tiada alahan ubat dan sebagai ubat tahan sakit (arthritis kanak-kanak).

Dr Ahmad Samhan menasihati ibu bapa atau penjaga untuk segera membawa anak mendapatkan rawatan doktor jika mengalami simptom seperti perubahan tingkah laku, keletihan, sawan dan tidak sedarkan diri.

Pilihan terbaik adalah Supp Paracetamol kerana kurang risiko berbanding Supp Voltaren.

Namun perlu berwaspada untuk memberikan Supp PCM pada bayi berusia kurang enam bulan dan Supp Voltaren pada bayi kurang setahun.

 


Sumber: Google

 

Risiko Pengambilan Ubat Punggung

Menurut kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bertarikh 31 Disember 2019 berkaitan situasi semasa jangkitan influenza di Malaysia, beberapa langkah perlu diambil dalam mengendalikan pesakit terutamanya membabitkan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Jika terdapat keperluan, gunalah ubat paracetamol mengikut dos yang tepat, di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan badan dengan tuala basah.

Elakkan daripada memberi ubat NSAIDS untuk mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak dalam kalangan kanak-kanak.

Sebuah klinik perubatan keluarga swasta yang menyediakan rawatan penyakit kulit, penyakit kronik dan kes kecemasan, Klinik Avicenna menjelaskan mengenai risiko penggunaan ubat punggung di laman Facebooknya Klinik Avicenna yang memiliki 33,422 pengikut.

Menurut klinik berkenaan, Supp Voltaren tidak boleh digunakan untuk kanak-kanak yang disyaki menghidap demam denggi kerana boleh mengakibatkan pendarahan. 

Selain itu Supp PCM dan Supp Voltaren tidak boleh digunakan secara serentak.

Dalam kes alergi PCM, Supp Voltaren boleh diberikan atas nasihat doktor sekiranya pesakit tidak mempunyai sebarang penyakit serius yang boleh mengakibatkan pendarahan.

 


Sumber: Facebook Klinik Avicenna

 

KESIMPULAN 

Walaupun demam bukanlah sesuatu gejala yang asing dalam kalangan anak-anak khususnya yang berusia lima tahun ke bawah, namun ibu bapa perlu lebih peka dengan tahap keseriusan demam anak sebelum memberikan sebarang ubat-ubatan.

Apabila anak demam, biasanya perkara yang mula-mula terlintas ialah berikan ubat seperti sirap paracetamol. Jika anak susah untuk makan ubat atau sedang mengalami muntah, ubat punggung atau Supp adalah penyelesaian mudah. 

Apa yang boleh disimpulkan berdasarkan laporan ini, jangan sesekali menganggap demam adalah masalah biasa tanpa mengetahui punca demam yang dialami oleh anak tersebut.

Ibu bapa perlu jelas yang tidak semua ubat demam sesuai dan berkesan untuk semua gejala demam serta ketahanan badan anak-anak, malah ada juga keadaan pesakit yang alah terhadap ubat demam jenis PCM itu sendiri. 

Langkah paling selamat ialah dapatkan nasihat doktor dan segera bawa anak ke hospital jika suhu demam yang dialami sangat tinggi dan berpanjangan okay!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1. Facebook Klinik Avicenna -Jitra

2. Facebook Public Health Malaysia 

3. OH BULAN- Anak Meninggal Dunia Kerana Influenza B, Ibu Kesal Beri Ubat Masuk Punggung

4. the Asianparent- Ubat Demam Masuk Ikut Dubur Beri Risiko Pada Anak, Parents Kena Alert!

5. Vanilla Kismis- Guna Ubat Punggung Ketika Anak Demam, Doktor Ini Jelas 5 Perkara Yang Ibu Bapa Kena Tahu -

6. Fakulti.com - 10 Fakta Wajib Tahu Tentang Ubat Demam Yang Masuk Ikut Bontot Anak

7. Majalahpama - Boleh Guna Ubat Bontot Bila Demam 38°C. Doktor Ini Kongsi Panduan Penggunaan Yang Betul

8. The Reporter- 'Suhu badan tinggi, dah beri ubat bontot dan lap badan tapi suhu masih tinggi' - Ibu dan 2 anaknya terkena Virus Influenza A - 

9. Mingguan Wanita- Doktor Ini Kongsi Cara Betul Guna Ubat Demam Anak Dan Sukatan Yang Sesuai -

10. Siakapkeli - Ramai Tak Tahu Ubat Ini Ada Risiko Sebenarnya, Doktor Kongsi Tentang Ubat Punggung Mak Ayah Wajib Tahu

11. Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan - Pengurusan pesakit disyaki mengalami jangkitan influenza terutamanya kanak-kanak 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.