+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ganja BELUM Terbukti Mampu Rawat Jangkitan Covid-19

Benarkah...

Ubat menggunakan ganja yang dicipta seorang saintis dari Jamaica, Dr Henry Lowe boleh merawat Covid-19.

Sumber : Laman Sesawang / Januari 2022

Hasil

Ganja didapati mempunyai beberapa kebaikan dalam perubatan namun tiada bukti mengesahkan ia boleh merawat jangkitan Covid-19.

25/01/2022 09:52 AM

SEKILAS FAKTA

  • Penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia mendorong pelbagai pihak mencari kaedah rawatan terbaik termasuk menggunakan ganja bagi menyembuhkan jangkitan wabak itu.
  • Setakat ini, tiada bukti mengesahkan ganja boleh merawat Covid-19.
  • Dadah yang diekstrak daripada pokok ganja digunakan dalam bidang perubatan di negara ini sejak sekian lama bagi merawat pelbagai penyakit antaranya kanser.


Sumber: Jamaican Observer

 

LATAR BELAKANG

Menurut pharmacy.gov.my yang merupakan portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tumbuhan kanabis mengandungi lebih daripada 460 jenis bahan kimia yang dinamakan cannabinoid.

Tiga bahan kimia utama yang memberikan kesan kepada manusia dan mempunyai kepentingan perubatan ialah tetrahydrocannabinol (THC), cannabinol (CBN) dan cannabidiol (CBD).

 


Sumber: pharmacy.gov.my

 

Bahan-bahan dalam tumbuhan kanabis itu mendorong pelbagai pihak mencari kaedah untuk menggunakannya bagi tujuan perubatan termasuk dalam merawat jangkitan Covid-19.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi KKM Fahmi Hassan menerusi laman sesawangnya fahmihassan.net mengeluarkan laporan bertajuk salah tafsir penggunaan ganja dalam perubatan.

Menurut Fahmi, ‘medical marijuana’ atau ganja bagi tujuan perubatan mempunyai tafsiran berbeza di antara pengkaji sains dan perubatan serta orang awam.

Dalam dunia saintifik, ‘medical marijuana’ adalah ubat-ubatan yang mengandungi bahan aktif ganja seperti cannabidiol yang dihasilkan setelah terdapat bukti kukuh melalui kajian-kajian makmal dan klinikal yang menunjukkan ia boleh mendatangkan faedah perubatan terhadap pesakit.

Fahmi berkata ubat-ubatan tersebut telah diketahui kaedah penggunaan, dos, keselamatan dan kawalan terhadap kesan sampingan.

Ubat-ubatan begini perlu dipreskripsikan oleh doktor dan penggunaannya perlu diselia bagi memastikan keberkesanannya terjamin.

“Ubat-ubatan berasaskan ganja tidak dinafikan penggunaannya oleh dunia perubatan jika khasiat perubatannya telah dibuktikan melalui kajian-kajian yang berkualiti, bagaimanapun penggunaanya dalam bentuk asal untuk dihisap atau dimakan yang dikaitkan dengan khasiat perubatan tanpa kajian yang kukuh adalah ditolak kerana ia bakal menyebabkan kesan sampingan yang buruk,” menurut Fahmi. 

 

MENGENAI DAKWAAN

Terdapat dakwaan daripada beberapa pihak di luar negara bahawa ganja mampu merawat jangkitan Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Dakwaan pertama dilaporkan oleh Jamaican Observer berhubung kejayaan saintis terkemuka dari Jamaica, Dr Henry Lowe yang berjaya mencipta sejenis ubat menggunakan ganja yang dikatakan boleh merawat jangkitan Covid-19.

Menerusi laporan berkenaan, Dr Henry yang dikenali ramai berikutan kajian mengenai penggunaan ganja dalam merawat kanser dan pelbagai penyakit, dilaporkan telah berjaya membangunkan ubat menggunakan ganja itu, namun enggan mendedahkan maklumat lanjut kerana masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Jamaica.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa Syarikat Bio-Tech Research and Development Institute Limited yang diasaskan oleh Dr Henry dan rakannya telah menerima maklum balas positif daripada orang ramai mengenai ubat menggunakan ganja berkenaan.

Selain ubat ganja tersebut, penyelidik Universiti Lethbridge, Kanada mendakwa beberapa ‘strain’ ganja dapat membantu mencegah penularan jangkitan COVID-19 menerusi kertas kajian bertajuk ‘In Search of Preventative Strategies: Novel Anti-Inflammatory High-CBD Cannabis Sativa Extracts Modulate ACE2 Expression in COVID-19 Gateway Tissues’.

Memetik laman sesawang the vocket, sebuah digital media yang memaparkan berita mengenai pelancongan, teknologi, fesyen dan kreativiti, kajian yang diketuai oleh pakar biologi dan ahli genetik itu mendapati tisu manusia memberi tindak balas positif dalam menentang jangkitan Covid-19, namun keberkesanan hasil kajian berkenaan masih belum dibuktikan sepenuhnya.

Laporan hasil penyelidikan berkenaan turut dimuat naik di laman sesawang Universiti Lethbridge, University of Lethbridge.

 


Sumber: University of Lethbridge

 

Terbaharu, penyelidik dari Universiti Oregon, Amerika Syarikat mendakwa dua bahan yang ditemui pada pokok ganja iaitu Asid cannabigerolic (CBGA) dan Asid cannabidiolic (CBDA) mampu menghalang virus yang menyebabkan jangkitan Covid-19 daripada memasuki sel badan manusia.

Hasil kajian yang dilakukan oleh penyelidik Universiti Oregon itu turut dikongsi di media sosial antaranya twitter BFM News, portal berita orlandosentinel dan laman sesawang berkaitan perubatan news-medical.net.

 


Sumber: Laman sesawang Oregon State University

 


Sumber: Twitter BFM News

 

APA YANG KAMI TEMUI

Gesaan pengkomersialan ganja

Gesaan mengenai pengkomersialan ganja dalam bidang perubatan dan industri pertanian dengan lebih meluas bukanlah perkara baharu kerana ia pernah dibangkitkan sebelum ini oleh beberapa individu.

Antaranya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji serta memberi kelulusan kepada industri hem (sejenis tumbuhan spesies ganja) dan marijuana perubatan.

Menerusi laporan Berita Harian, Syed Saddiq mendakwa lebih 40 negara telah menerima kelulusan daripada kerajaan masing-masing bagi menggunakan hem atau marijuana bagi tujuan perubatan termasuk di Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Argentina, Denmark dan terbaharu Thailand.

Beliau turut mendakwa pasaran terkini industri terbabit adalah sekitar RM60 bilion dan dianggarkan akan mencecah RM400 bilion dalam tempoh empat tahun lagi.

Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Husam Musa sebelum ini pernah mencadangkan supaya Malaysia memperkenalkan tanaman ganja untuk perubatan kerana percaya terdapat pelbagai manfaatnya.

Memetik laporan Malaysiakini, Husam mendakwa penanaman ganja untuk tujuan itu juga mampu meningkatkan pendapatan rakyat.

"Di Australia marijuana dijual dengan harga 30 hingga 50 dolar Amerika untuk satu kilogram tapi insya Allah marijuana kesihatan yang dihasilkan ini boleh mencecah 5,000 hingga 10,000 dolar bagi satu kilogram,” katanya.

 

Pendirian Kerajaan Malaysia Berhubung Penggunaan Ganja Dalam Perubatan

Hasil carian kami mendapati kerajaan Malaysia setakat ini tidak pernah mengiktiraf ganja sebagai ubat untuk rawatan penyakit dalam kalangan rakyat negara ini.

Memetik laporan Bernama yang disiarkan di laman sesawang portal berita Astro Awani pada 25 Januari 2019, bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye memaklumkan ganja tidak pernah diiktiraf sebagai ubat rawatan untuk penyakit kanser ataupun penyakit lain.

"Memang ganja tidak boleh digunakan untuk perubatan dan ia tidak diiktiraf sebagai ubat untuk rawatan kanser atau apa-apa penyakit lain," katanya.

Dr Lee turut memaklumkan Kabinet akan mengkaji perkara berkenaan sekiranya ia terbukti berkesan dalam tujuan perubatan sepertimana yang dilaksanakan di Amerika Syarikat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi laporan yang dipetik daripada mStar pula memaklumkan kerajaan tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan sebagaimana yang termaktub di bawah beberapa akta seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Menurutnya penjualan atau pembekalan runcit untuk rawatan perubatan bagi pesakit terpilih hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 atau ahli farmasi berdaftar dengan lesen Jenis A kepada individu tertentu berdasarkan preskripsi yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Khairy turut memaklumkan sekiranya terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk menggunakan kanabis bagi apa-apa tujuan perubatan dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya, pihak berkenaan perlu mengemukakan permohonan pendaftaran produk tersebut kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk dinilai dan didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebelum ini dilaporkan menjadi universiti awam pertama menjalankan penyelidikan mengenai tanaman hem atau ganja jenis Cannabis sativa yang dijangka mula ditanam di kampus Sungai Chuchuh, Padang Besar, Perlis dalam tempoh terdekat.

Memetik laporan Kosmo, Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli berkata tanaman itu akan dilaksanakan di kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar dengan kawalan ketat bagi tujuan kajian penghasilan produk antaranya perubatan, kosmetik, tekstil dan fiber.

 

PANDANGAN PAKAR

Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid turut mencadangkan supaya kanabis digunakan dalam bidang perubatan kerana ia berpotensi merawat pelbagai penyakit.

Beliau yang dipetik menerusi laporan Bernama yang disiarkan Berita Harian turut mengakui kehadiran CBD tidak menyebabkan ketagihan atau 'high', malah berpotensi sebagai ubat untuk autisme, tahan sakit, antimurung dan mengubati penyakit ketagihan ganja itu sendiri.

Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia menerusi Buletin Umum yang diterbitkan pada Jun 2019 turut mendedahkan pelbagai kebaikan ganja kepada perubatan termasuk merangsang pelbagai aktiviti terapeutik seperti mengurangkan rasa sakit, meningkatkan selera makan, fungsi imuniti dan sistem tubuh badan yang lain.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai bercampur kerana walaupun penggunaan ganja dalam perubatan telah dibuktikan secara saintifik, namun tiada bukti kukuh mengesahkan ia berkesan merawat jangkitan Covid-19.

Para saintis serta doktor perubatan di seluruh dunia masih berusaha mencari penawar bagi Covid-19 yang sehingga kini telah meragut jutaan nyawa.

Hampir semua negara di dunia termasuk Malaysia masih melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran selain melarang ketibaan pelancong luar negara daripada memasuki negara ini bagi menghalang penyebaran Covid-19 yang kini berkembang kepada beberapa varian berbahaya seperti Omicron dan Deltacron.

Langkah pencegahan terbaik adalah dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) disarankan oleh KKM termasuk kerap mencuci tangan, sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitiser) selain mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat sesak.

Bersama kita semua berganding bahu memutuskan rantaian Covid-19!

–MYCHECK.MY–

 

RUJUKAN:

  1. Salah tafsir penggunaan ganja dalam perubatan oleh Fahmi Hassan.

  2. Possible ganja drug coming for COVID-19.Published by Jamaican Observer.

  3. Penyelidik Dakwa Ganja Mampu Rawat Pesakit COVID-19, Minta Kajian Lebih Mendalam Dilakukan.Diterbitkan oleh The Vocket.

  4. Wajar luluskan guna hemp, marijuana untuk perubatan.Diterbitkan oleh Berita Harian.

  5. Husam: Malaysia terkedepan jika perkenal ganja kesihatan.Diterbitkan oleh MalaysiaKini.

  6. 'Tiada bukti ganja mampu rawat penyakit'.Diterbitkan oleh Astro Awani.

  7. UniMap rancang tanam ganja sativa.Diterbitkan oleh Kosmo.

 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.