+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Lembu Berkaki Pendek BUKAN Lembu Kacukan Babi

Benarkah...

Ternakan lembu yang dikacuk dengan baka babi diimport masuk dari Thailand bagi menampung permintaan bekalan daging lembu segar pada Ramadan 2021.

Sumber : WhatsApp / Mac 2021

Hasil

Lembu mini berkaki pendek daripada baka Angus (Miniature Angus) adalah hasil modifikasi struktur genetik.

11/01/2022 08:59 AM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat lebih daripada 250 baka lembu diiktiraf di seluruh dunia.
  • Lembu mini berkaki pendek adalah hasil modifikasi struktur genetik yang diambil daripada baka Angus.
  • Perbezaan jumlah kromosom antara lembu dan babi tidak mungkin akan menghasilkan spesies kacukan hibrid baharu.

(Nota: Artikel ini mengandungi maklumat mengenai isu yang tular pada MAC 2021. Ia disiarkan di MyCheck dengan tujuan dapat dijadikan rujukan masyarakat.)

 


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Umat Islam di Malaysia melaksanakan ibadah puasa bagi 2021 bermula 13 April.

Kebiasaannya bulan Ramadan memberi rezeki lumayan kepada peniaga daging lembu apabila bahan mentah tersebut mendapat permintaan tinggi berbanding bulan-bulan biasa.

Ini berikutan penggunaan daging dalam pelbagai menu untuk berbuka puasa dan bersahur antaranya sup, masak merah atau masak kunyit.

 

MENGENAI DAKWAAN

Gambar seekor ‘lembu katik’ tular di aplikasi WhatsApp, disertakan dengan amaran kepada umat Islam yang menjalani ibadah puasa pada tahun lepas bahawa daging lembu itu adalah spesies kacukan baharu antara lembu dengan babi dari Siam.

Siam merujuk kepada negara Thailand.

Hujung sebaran tular tersebut meminta orang ramai supaya berhati-hati terutamanya dengan pembelian daging lembu spesies baharu dari luar negara.
 


Sumber: WhatsApp

 

APA KAMI TEMUI

Bagi mencari sejauh mana kesahihan dakwaan berkenaan, kami telah membuat carian di Internet bagi memastikan kewujudan lembu kacukan babi ini.

Bagaimanapun MyCheck tidak menjumpai artikel yang melaporkan kejayaan dalam mencipta kacukan lembu dengan babi bagi menghasilkan satu spesies hibrid baharu.

Akan tetapi kami pecahkan kepada tiga bahagian bagi menjelaskan dakwaan tersebut.

Menurut penerangan sebuah jurnal agrikultur Successful Farming yang berpangkalan di Amerika Syarikat, terdapat lebih daripada 250 baka lembu diiktiraf di seluruh dunia.

 

Dari mana asal gambar ini?

MyCheck menggunakan carian imej berbalik berkenaan lembu berkaki pendek itu di aplikasi Google Images dan TinEye. Hasilnya ia membawa kepada beberapa artikel tulisan Thailand dan Vietnam yang telah wujud sejak empat tahun lepas.

Your Adventure Now, sebuah portal travelog Vietnam berkaitan destinasi percutian, antaranya yang telah menulis artikel berkaitan lembu berkaki pendek itu pada 2 Mei 2018. Dengan menggunakan terjemahan Google, kami mendapati artikel tersebut tidak membincangkan tentang kacukan atau hibrid lembu dengan babi.

Sebaliknya artikel itu menceritakan bagaimana seekor lembu katik ini masih boleh menghasilkan susu yang berkalsium tinggi walaupun haiwan berkenaan berkaki pendek.

Thairath TV dari Thailand pada 12 Oktober 2018 turut menerbitkan satu video berkaitan seekor lembu katik yang ketinggiannya kurang daripada satu meter menerusi satu slot rancangan berita pagi. Anda boleh lihat berita berdurasi dua minit 26 saat itu di YouTube.

 

Dakwaan kitar semula?

Ya, benar. Dakwaan tersebut telah berlegar di media sosial Facebook sejak 2020, lebih tepat lagi ditularkan menjelang Ramadan 2021.

Waktu itu negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19 yang berlaku di seluruh dunia.

Anda boleh lihat dakwaannya di sini dan di sini.

Gambar lembu berkaki pendek yang ditularkan itu telah disertakan dengan penambahan beberapa gambar daging lain berserta dakwaan yang mengelirukan.

Jika diamati secara dekat, selain sekeping gambar daging merah yang dipercayai daging lembu, individu yang menyebarkan dakwaan tersebut turut menggunakan dua keping gambar isi ikan yang dagingnya berwarna putih.

 


Sumber: WhatsApp

 

Haiwan hibrid kacukan lembu dengan babi? 

Sebelum ini, sekitar 2017, lembu baka Belgian-Blue atau dikenali sebagai lembu sado juga terpalit dengan tuduhan yang sama kerana rupa bahagian punggung lembu pedaging itu berwarna merah jambu seperti babi. Anda boleh bacanya di blog kesihatan yang dimiliki oleh Dr Suhazeli Abdullah, seorang pengamal perubatan umum dan pakar perubatan keluarga. Lihat di sini.

 


Sumber: Blog www.suhazeli.com

 

Berbalik kepada dakwaan tersebut, lembu mini berkaki pendek (miniatur) adalah hasil modifikasi struktur genetik. Miniatur adalah satu sifat atau keadaan kenit, yang dibawa oleh maklumat asid deoksiribonukleik (DNA) melalui kromosom.

Menurut sebuah artikel tempatan berkaitan panduan penternakan Penternak.My, setiap kromosom akan mempunyai pasangan apabila berlaku persenyawaan dan menghasilkan fetus. Maklumat yang dibawa oleh DNA ternakan akan mencorakkan penghasilan anak ternakan yang akan lahir.

Bilangan kromosom yang dibawa oleh lembu adalah sebanyak 60 kromosom, manakala babi pula mempunyai 38 kromosom.

Jadi, memandangkan kedua-dua haiwan itu berlainan kromosom, maka mustahillah ia disenyawakan bagi penghasilan spesies kacukan baharu biarpun menggunakan kaedah sains.

Selain itu, ML Studio, sebuah platform di YouTube yang memberi peluang kepada individu yang mahu menyuarakan pendapat melalui rakaman video turut tidak ketinggalan memberikan ulasan berkaitan isu tersebut pada 2020.

Penuntut Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia, Syakirah atau lebih dikenali dengan nama #kkeyra, yang sering menjadi speaker bagi memberi ulasan berkaitan haiwan di ML Studio menjelaskan hibrid lembu dengan babi adalah tidak wujud.

Menurut #kkeyra, orang ramai perlu memahami bahawa haiwan termasuk lembu mempunyai banyak baka dan baka itu akan membezakan haiwan berkenaan.

#kkeyra turut memberi contoh perbezaan antara lembu tempatan jenis Kedah-Kelantan yang banyak dijumpai di negara ini dan lembu Belgian-Blue atau dikenali lembu sado yang sering dianggap lembu kacukan kerana saiznya besar serta warnanya yang sedikit 'pink' berbanding lembu tempatan.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya perlu difahami bahawa haiwan tidak hanya wujud dalam satu rupa sahaja, ia berbeza-beza mengikut jenis dan baka.

Hentikan dakwaan tidak pasti. Semak dulu fakta sebelum sebarkan.

-- MYCHECK.MY

 

RUJUKAN

1.Successful Farming. “250 Recognized Breeds” Diterbitkan pada 13 April 2018.

2.Penternak.my. “Memahami Ilmu Genetik Ternakan” Diterbitkan pada 6 Februari 2020.

3.Penternak.my. “Ternakan Miniature Yang Comel Tetapi Mahal” Diterbitkan pada 8 Mac 2020.

4.Your Adventure Now. “Khi bò “chân ngắn” trở thành tâm điểm của cuộc tranh luận “gấp đôi canxi để làm gì” Diterbitkan pada 2 Mei 2018.

5.Suhazeli. “Lembu kacukan babi” Diterbitkan pada 1 Februari 2017.

6.YouTube ML Studio. “Lembu kacukan babi?” Diterbitkan pada 26 Ogos 2020.

7.Youtube Thairath TV. “"คำแพง" ควายแคระน่ารัก สูงไม่ถึงเมตร” Diterbitkan pada 1 Oktober 2018.

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.