+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Perkataan ‘One World’ Di Badan Pesawat Malaysia Airlines Merujuk Kepada Rangkaian Penerbangan Antarabangsa

Benarkah...

Perkataan ‘One World’ di badan kapal terbang Malaysia Airlines yang membawa vaksin Covid-19 dikaitkan dengan agenda Illuminati yang mahu menubuhkan Orde Dunia Baharu (New World Order).

Sumber : Facebook, WhatsApp/ Februari 2021

Hasil

Maksud perkataan One World merujuk kepada organisasi gabungan global syarikat penerbangan seluruh dunia.

28/12/2021 09:26 AM

SEKILAS FAKTA

  • One World merupakan salah satu rangkaian syarikat penerbangan (airline alliance).
  • Ia adalah sebuah organisasi yang menggabungkan 15 syarikat penerbangan antarabangsa.
  • Malaysia Airlines mula menyertai kumpulan One World pada 2013.

(Nota: Artikel ini mengandungi maklumat mengenai isu yang tular pada MAC 2021. Ia disiarkan di MyCheck dengan tujuan dapat dijadikan rujukan masyarakat.)

 


Sumber: Malaysia Airlines

 

LATAR BELAKANG

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021 melalui penerbangan MH604 dengan kendalian MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).

Menurut laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), vaksin tersebut berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Sebanyak 312,390 dos vaksin telah diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

 

MENGENAI DAKWAAN

Setelah ‘mendarat’nya vaksin tersebut dari negara pengeluar, timbul satu isu berhubung perkataan ‘One World’ yang tertulis pada badan pesawat MH604.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama ‘Kamen Han’, telah berkongsikan sebuah gambar badan pesawat yang membawa vaksin itu dengan membuat kapsyen ‘Member of One World’ di samping turut membuat terjemahan sendiri - ahli kerajaan Dajjal.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa itu ‘One World’?

Kami cuba membuat carian di Internet. Dengan hanya meletakkan kata kunci ‘One World’, hasil carian menggunakan enjin carian Google menunjukkan beberapa pilihan seperti di bawah:

 


Sumber: Google

 

Pilihan pertama membawa kami kepada penemuan ini. 


Sumber: Portal One World.Com

 

Menurut penelitian kami, laman sesawang yang dimiliki oleh organisasi bernama One World ini adalah satu rangkaian global kepada syarikat-syarikat penerbangan.

Ia merupakan satu organisasi yang menggabungkan 15 syarikat penerbangan terkemuka dunia seperti Alaska Airlines, American Airlines, British Airways, Cathay Pacific, Finnair, Iberia, Japan Airlines, Malaysia  Airlines, Qantas, Qatar Airways, Royal Air Maroc, Royal Jordanian, S7 Airlines, SriLankan Airlines dan Fiji Airways.

Gabungan global pesawat terkemuka dunia yang menawarkan perkhidmatan dan kemudahan kepada 1,100 destinasi yang melibatkan lebih daripada 180 jajahan.

 


Sumber: Portal One World.Com

 

Melalui gabungan ini, pelanggan Malaysia Airlines boleh menikmati beberapa jenis faedah seperti memperoleh mata ganjaran setiap kali mereka terbang dengan mana-mana penerbangan ahli One World.

Analoginya, jika anda dari Kuala Lumpur dan mahu ke Doha tetapi singgah selama beberapa hari di Sri Lanka, anda boleh menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Sri Lanka dan meneruskan perjalanan anda dengan menggunakan perkhidmatan Sri Lankan Airlines ke Doha. Di sini, anda layak untuk mengumpul dan menebus mata ganjaran, selain turut mendapat layanan yang istimewa.

Selain itu, ahli Enrich di tahap lebih tinggi boleh menikmati kelebihan premium seperti tiket masuk percuma ke Airport Lounge atau ruang menunggu mewah, daftar masuk diutamakan, masuk penerbangan awal, kepantasan perkhidmatan dan urusan pengendalian bagasi lebih mudah. 

Menurut Malaysia Airlines, antara kelebihan menyertai Frequent Flyer sebagai pengembara One World ialah status anda diiktiraf oleh semua syarikat penerbangan ahli.

 

Kelebihan menyertai Frequent Flyer sebagai pengembara bersama One World.


Sumber: Portal One World.Com

 

Penafian pihak atasan

 


Sumber: Twitter Khairykj

 

Khairy Jamaluddin yang ketika itu memegang portfolio sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut memuat naik ciapan di akaun Twitternya dengan mengatakan bahawa One World adalah nama kepada gabungan rangkaian syarikat penerbangan.

 

KESIMPULAN

Di sini jelas, One World yang tertulis pada badan kapal terbang tersebut adalah sebuah gabungan syarikat-syarikat penerbangan di seluruh dunia. Tiada apa yang perlu dirisaukan, malah jauh sekali dikaitkan dengan agenda lain.

MyCheck menasihati semua untuk berhati-hati dan mengelak daripada membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa. Semak dahulu fakta sebelum kongsi.

-- MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN

  1. Laman Sesawang One World 

  2. Laman Sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

  3. Twitter Khairy Jamaluddin

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.