Isu Cacing Dalam Tin Sardin SUDAH SELESAI pada 2018.

10/09/2021 08:36 PM

Benarkah...

KKM tarik balik enam jenama produk ikan sardin dalam tin ditarik balik dari pasaran tempatan kerana mengandungi cacing.

Sumber : YouTube dan WhatsApp/ Mac 2021

Hasil

Video asal yang diterbitkan pada Jun 2018 oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.

Penyelidik : Mazani CYS

SEKILAS FAKTA

  • Isu ini tular dan sudah diambil tindakan pada tahun 2018.

  • Enam jenama produk ikan dalam tin ditarik balik oleh KKM disebabkan kehadiran cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis SPP.

  • Video asal diterbitkan pada Jun 2018 oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp.

 


Sumber: Sinar Harian

 

MENGENAI DAKWAAN 

MyCheck Malaysia menerima satu video tular di Whatsapp mendakwa bahawa enam jenama produk ikan sardin dalam tin ditarik balik oleh KKM kerana dikatakan mengandungi cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis SPP.

 

APA YANG KAMI TEMUI 

SUMBER VIDEO

Bagi mendapatkan kesahihan video berkenaan, Mycheck membuat carian video yang serupa bagi memastikan adakah benar dakwaan mengenai kehadiran cacing dalam tin sardin. 


Sumber: Berita RTM (YouTube)

 

Hasil carian kami menggunakan aplikasi Invid mendapati sumber asal video berkenaan diterbitkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Jun 2018, namun ditularkan semula pihak tidak bertanggungjawab seolah-olah mahu menghakis kepercayaan masyarakat bahawa makan ikan sardin dalam tin akan membawa kemudaratan kepada pengguna.


Sumber: Berita RTM (YouTube)

 

Kenyataan Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham mengenai penarikan enam produk jenama ikan sardin dalam tin berkenaan turut disiarkan di beberapa media tempatan termasuk Astro Awani, mstar, minda rakyat, dan Berita Harian pada Jun 2018. 

Syarikat Marushin Canneries (M) Sdn Bhd, pengeluar ikan sardin dalam tin King Cup yang berpangkalan di Pulau Pinang bagaimanapun menafikan dakwaan KKM menerusi laporan diterbitkan Free Malaysia Today yang menafikan produk mereka diarahkan oleh KKM supaya ditarik balik daripada pasaran tempatan. 

Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia syarikat berkenaan Josephine Loo tegaskan produk “King Cup-Sardines in Tomato Sauce” tidak terkandung dalam senarai produk yang ditarik balik seperti dilaporkan kebanyakan media tempatan.

 

RESPON KKM

Rujukan di laman kpkesihatan.com yang mendapati produk keluaran King Cup yang ditarik balik bukanlah “King Cup-Sardines in Tomato Sauce” tetapi King Cup Mackarel in Tomato Sauce. (Perhatikan perbezaan produk walaupun daripda pengeluar sama).


Sumber: kpkesihatan.com

Pada 27 Jun 2018 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik enam jenama produk ikan sardin dalam tin dari pasaran tempatan kerana disahkan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis SPP. 

Enam produk ikan sardin tersebut adalah:

  1. Cinta

  2. Sea Fresh

  3. HS Brand

  4. King Cup (Makarel)

  5. Bintang

  6. TC Boy.

 

Susulan kes berkenaan, Dr Noor Hisham Abdullah maklumkan KKM mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara. 

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat di dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang didapati mempunyai bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan dianggap melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. 

Penarikan ikan sardin dalam tin daripada pasaran tempatan bukanlah perkara baharu kerana menerusi laporan Harian Metro pada 20 April tahun yang sama KKM turut mengarahkan dua produk ikan sardin dalam tin dari China iaitu Canned Sardines in Tomato Sauce jenama TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sauce jenama TLC ditarik balik kerana mengandungi bendasing iaitu sejenis cacing dikenali sebagai Nematoda daripada Genus Anisakis spp.

 

KOMEN PAKAR

Pensyarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Marina Hassan menerusi laporan Astro Awani pada 1 Julai 2018 tegaskan parasit memang wujud dalam rantaian makanan atau kehidupan harian manusia tanpa disedari secara langsung.

Makanan dicemari parasit adalah sukar untuk dielakkan kerana kadang-kadang ianya tidak dapat dikesan tetapi parasit yang biasanya dikesan di dalam makanan laut adalah nematod (cacing gelang), cestod (cacing pita) and flukes (cacing pipih).

 

DAKWAAN KITAR SEMULA

Berdasarkan semakan Mycheck menerusi pelbagai sumber dan platform media sosial mendapati dakwaan wujudnya cacing dalam produk ikan sardin bertin hanyalah satu perbuatan ‘kitar semula’kerana tiada laporan terbaharu daripada media massa mahupun KKM yang berhubung isu ini.

Seperti dijelaskan di atas, KKM cakna dan sudah pun mengambil tindakan dengan mengarahkan penarikan balik produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi cacing sebelum ini, jadi isu berkenaan tidak sepatutnya ditimbulkan kembali.

Namun kami tidak menolak kemungkinan bahawa walaupun kejadian ini berlaku tiga tahun lalu masih ada pihak yang menyebarkannya tanpa menyedari isu ini sudah selesai.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai ‘bercampur’.  Kami ambil maklum bahawa video yang ditularkan itu adalah benar. 

Namun atas faktor tempoh masa yang begitu lama dari waktu ia berlaku hingga waktu ia tular kembali menjadikan dakwaan ini tidak benar dari konteks masa ia ditimbulkan kembali.

Dalam kata mudah, “ia benar, namun ini isu lama dan tindakan sudah pun diambil”. Bahagian yang benar pada dakwaan ini adalah videonya. Bahagian yang salah pada dakwaan ini adalah faktor waktu kerana ia tular kembali selepas tiga tahun.

Nasihat kami, selidikilah dulu sebarang maklumat yang diterima daripada mana-mana platform media sosial sebelum menyebarkan sesuatu perkara yang tidak pasti 

Dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan termasuk KKM bagi memastikan makanan yang dibeli di pasaran tempatan adalah selamat untuk dimakan. 

Jangan kongsi perkara yang tidak pasti! 

 

RUJUKAN

  1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/enam-lagi-jenama-sardin-ditarik-balik -daripada-pasaran-179135 

  2. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/06/29/sardin-ditarik-balik 

  3. https://www.mindarakyat.net/2018/06/enam-lagi-jenama-sardin-ditarik-balik.html 0

  4. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/442772/6-lagi-jenama-sardin ada-cacing 

  5. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tidak-perlu-panik-cacing-dalam-sardi n-tin-pakar-akuakultur-179362 

  6. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/29/sardin-jenama-kin g-cup-tak-terbabit-arahan-tarik-balik/

     

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.