+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ivermectine BUKAN Ubatan Pencegahan Sesuai Untuk Rawat Jangkitan Covid-19

Benarkah...

Ivermectine berkesan dalam menangani penularan jangkitan Covid-19

Sumber : Facebook, Twitter / Jun 2021

Hasil

Tiada bukti kukuh mengaitkan dakwaan Ivermectine sebagai ubatan pencegahan terbaik dalam menangani jangkitan Covid-19

24/08/2021 12:27 PM

SEKILAS FAKTA

  1. Ivermectine merupakan ubat anti-parasit yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (US FDA) yang digunakan ke atas haiwan dan rawatan beberapa penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases. 

  2. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectine dalam ujian klinikal, di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan.

 


Sumber: Reuters

 

LATAR BELAKANG

Kes positif dan kematian akibat jangkitan Covid-19 yang terus berleluasa menyebabkan masyarakat semakin bimbang dengan langkah pencegahan dan rawatan wabak itu sehingga ramai yang mencadangkan pengambilan pelbagai jenis ubat dan vitamin untuk rawatan termasuk produk Ivermectin.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), digunakan secara meluas bagi rawatan beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Namun begitu, keberkesanan dan kesan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 belum dibuktikan secara klinikal dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru ekoran terdapat desakan dan perdebatan dalam kalangan pakar bidang farmasi untuk penggunaan produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan Covid-19

Perdebatan mengenai penggunaan Ivermectine telah bermula sejak tahun lepas selepas beberapa kajian kes dan ujian klinikal yang dijalankan beberapa penyelidik mendapati ubatan berkenaan menunjukkan perkembangan yang baik dalam menghalang penularan SARS-CoV-2, virus baru yang menyebabkan penyakit COVID-19. 

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Kata Pakar Perubatan?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 16 Mei lalu  telah mengeluarkan kenyataan akhbar menerusi laman sesawang KPKESIHATAN.COM menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang mendakwa kononnya Ivermectine sebagai ubatan terbaik dalam mencegah penularan Covid-19.

 


Sumber: kpkesihatan.com

KKM mendedahkan dua ujian klinikal yang dijalankan pada Jan dan Mac 2021 mendapati ubatan Ivermectine tidak menunjukkan reaksi positif dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19, dan sekaligus menyebabkan KKM tidak menyokong penggunaan ubatan berkenaan di negara ini untuk perubatan ke atas manusia.

Sementara itu, US FDA menerusi laman sesawang mereka telah mengeluarkan sebuah artikel bertajuk Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19 yang memberikan beberapa hujahan mengapa Ivermectine tidak sesuai digunakan dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19.

 


Sumber: US F.D.A.

Dalam laporan itu, penggunaan Ivermectine di negara berkenaan bertujuan merawat atau menghalang pertumbuhan parasit di kalangan haiwan serta US FDA melaporkan telah menerima pelbagai laporan dari pesakit yang memerlukan sokongan rawatan selain ada di antaranya yang terpaksa dimasukkan ke hospital selepas menggunakan ubat berkenaan yang sepatutnya digunakan ke atas kuda.

US FDA turut memaklumkan penggunaan Ivermectine boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk sekiranya diambil melebihi dos seperti loya, muntah, cirit-birit, hipotensi (tekanan darah rendah), reaksi alergi (gatal-gatal dan gatal-gatal), pening, ataksia (masalah dengan keseimbangan), sawan, koma dan juga kematian.

Selain US FDA, European Medicines Agency (EMA) dan World Health Organisation turut melarang penggunaan Ivermectine dalam rawatan jangkitan Covid-19 kecuali untuk ujian klinikal yang dipantau oleh pakar perubatan bertauliah.

 


Sumber: ema.europa.eu

 


Sumber: World Health Organisation

Terbaharu pada 21 Ogos US Food and Drug Administration melalui satu ciapan di Twitter memberi amaran agar Ivermectin tidak digunakan untuk merawat atau mencegah Covid-19. Perkara ini turut dilaporkan The New York Times.

 

“You are not a horse, you are not a cow. Seriously, y’all. Stop it.” - US F.D.A.

(Anda bukan kuda, Anda bukan lembu. Hentikanlah penggunaannya. - US F.D.A.)

 

Ada negara tetap mahu guna Ivermectine?

 

Walaupun Ivermectine masih belum mendapat pengiktirafan daripada mana-mana badan perubatan antarabangsa, beberapa negara di benua Asia dilaporkan tekad dengan hasrat mereka untuk menggunakan ubatan berkenaan bagi membendung penularan Covid-19 di negara masing-masing.

India yang kini berdepan krisis kesihatan yang serius susulan peningkatan kes kematian yang mendadak setiap hari akibat jangkitan Covid-19, dilaporkan mengambil keputusan drastik dengan menggunakan suntikan Ivermectine di kalangan penduduknya.

Menurut laporan REUTERS, dua wilayah di india iaitu Goa dan Uttarakhand bercadang menggunakan suntikan Ivermectine walaupun mendapat tentangan daripada WHO.

Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 276 juta penduduk turut dilaporkan dalam peringkat pelaksanaan Ivermectine. 

Memetik laporan CNN Indonesia, Menteri Badan Usaha Milik Negara, Erick Thohir dilaporkan telah meminta Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) untuk mempercepatkan proses kelulusan penggunaan Ivermectine sebagai ubat dalam rawatan Covid-19.

Erick mendakwa Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat di bawah Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat dilaporkan telah menggunakan ubatan berkenaan, selain mendakwa ia turut digunakan di Slovakia.

 

Desakan segelintir NGO dan Pakar Perubatan Tempatan

Berbalik kepada cerita di negara Malaysia, keengganan KKM dalam mengiktiraf penggunaan Ivermectine untuk merawat jangkitan Covid-19 di negara ini mendapat kritikan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa gabungan yang diwakili oleh individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan, ahli toksikologi dan ahli farmakologi.

Mereka menuntut supaya KKM menggunakan Ivermectine kerana mendakwa ubatan berkenaan berjaya menunjukkan perubahan positif terhadap penurunan kadar jangkitan Covid-19 menerusi beberapa ujian klinikal.

Gabungan Integriti Vaksin & Dadah Terhadap COVID-19 (CIVDAC) yang diwakili oleh doktor perubatan, penyelidik serta NGO Islam baru-baru ini meminta KKM untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak mengiktiraf penggunaan Ivermectine dalam merawat jangkitan Covid-19 di negara ini.

Menerusi sepucuk surat yang disiarkan dalam laman sesawang Malaysia Kini pada 20 Mei lalu, mereka antara lain mendakwa Ivermectine berkesan dalam melawan jangkitan Covid-19 selain mendakwa ubatan berkenaan telah digunakan sejak 40 tahun lalu.

“Beberapa negara di Amerika Selatan memberikan maklumat yang baik yang menyokong peranan Ivermectin dalam penurunan kadar penghantaran Covid-19. Negara-negara seperti Peru, Brazil dan Paraguay memulakan program pengedaran Ivermectin untuk warganya setelah negara mereka dilanda wabah pada April 2020. Beberapa bandar memulakan program Ivermectin lebih awal daripada yang lain.

“Penurunan besar dalam jumlah kes untuk bandar-bandar segera setelah menerima Ivermectin berbanding dengan bandar-bandar yang memulakan kempen lewat,” jelas CIVDAC menerusi surat berkenaan.

Selain CIVDAC,  sekumpulan enam badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perubatan dan pengguna baru-baru ini turut menggesa kerajaan agar menyegerakan kelulusan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit COVID-19 di Malaysia.

Kumpulan itu yang dikenali sebagai Malaysian Alliance for Effective COVID-19 Control (MAECC), mendakwa Ivermectine adalah sejenis ubat yang amat selamat dan telah diakui baru-baru ini memiliki manfaat yang sangat berguna dan kuat dalam rawatan COVID-19.

Kumpulan itu berpendapat rawatan menggunakan Ivermectine adalah antara alternatif bagi merawat virus tersebut terutama apabila membabitkan pesakit di peringkat awal.

Selain itu, satu lagi NGO iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertindak membuat laporan polis pada 22 Jun lalu susulan kengganan KKM menggunakan Ivermectine sebagai rawatan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Berita mengenai laporan polis itu disiarkan di beberapa media arus perdana seperti Berita Harian selain beberapa blog termasuk beritaperak.com, selain laman sesawang rasmi PPIM.

 

Apa Tindakan KKM?

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) telah memulakan satu kajian dikenali sebagai Keberkesanan Rawatan Ivermectin pada Pesakit Berisiko Tinggi Covid-19 (Kajian I-TECH) dan kajian berkenaan diketuai oleh Doktor Penyakit Berjangkit (ID) di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan sepasukan pakar dan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di 12 hospital di bawah KKM.

Kajian berkenaan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan (MREC) KKM pada 25 Mei lalu, melibatkan 500 individu dari kumpulan berisiko tinggi berusia 50 tahun ke atas yang dimasukkan ke hospital KKM dengan gejala COVID-19 ringan / sederhana (Tahap 2-3).

Kajian tersebut bertujuan untuk menentukan keberkesanan Ivermectine dalam mencegah perkembangan COVID-19 kepada penyakit yang teruk (Tahap 4-5) dan dari segi hasil kematian.

Pesakit pertama telah diuji pada 31 Mei lalu dan sehingga kini, lapan pesakit telah didaftarkan untuk kajian berkenaan yang dijangka selesai pada September ini.

 

KESIMPULAN

Pelbagai ujian klinikal telah dilakukan oleh beberapa pihak mengenai keberkesanan penggunaan Ivermectine dalam mengurangkan jangkitan Covid-19 di kalangan manusia, namun peratusan keberkesanan penggunaan ubatan berkenaan dalam mencegah penularan Covid-19 masih belum dibuktikan sepenuhnya.

Walaupun terdapat pelbagai kajian di luar negara yang mendakwa penggunaan Ivermectin dapat mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 di kalangan manusia, kami berpandangan kenyataan berkenaan adalah tidak benar kerana tiada bukti kukuh bagi menyokong kenyataan tersebut.

Pihak MyCheck berpandangan Ivermectine tidak sesuai dalam merawat jangkitan Covid-19 di kalangan rakyat negara ini kerana ia lebih banyak digunakan dalam menghalang pertumbuhan parasit atau cacing di dalam badan haiwan berbanding manusia.

Nasihat kami, sekiranya anda masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19, adalah lebih baik anda terus kekal duduk di rumah dan keluar bila perlu sahaja.

Adalah penting bagi kita untuk mengamalkan beberapa langkah lain seperti penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun selain memakai pelitup separuh muka ketika berada di tempat awam atau jika bergejala.

Selain itu, kita digalakkan mengamalkan konsep 3C (jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Bantulah petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, anggota polis dan anggota tentera dalam membendung penularan Covid-19 dan kita mampu lakukannya bersama!

-- MYCHECK.MY

 

RUJUKAN:

  1. MOH Response to Claims Regarding Use of Ivermectin Could Prevents All COVID-19 Deaths.Published by Director-General of Health on May 16 2021.

  2. Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19.Published by US FDA.

  3. EMA advises against use of ivermectin for the prevention or treatment of COVID-19 outside randomised clinical trials.Published by EMA on March 22.

  4. WHO advises that ivermectin only be used to treat COVID-19 within clinical trials.Published by WHO on March 31 2021.

  5.  India Indian states turn to anti-parasitic drug to fight COVID-19 against WHO advice.Published by Reuters on May 13 2021.

  6. Erick Sempat Surati BPOM soal Ivermectin Obat Terapi Covid-19.Diterbitkan oleh CNN Indonesia pada 24 Jun 2021.

  7.  Use of Ivermectin against Covid-19: Reply to Health DG.Published by Malaysia Kini on May 20 2021.

  8. Ivermectin: PPIM buat laporan polis terhadap KKM.Diterbitkan oleh Berita Harian pada  23 Jun 2021.

  9. Gara-gara ‘Ivermectin’, PPIM buat laporan polis terhadap KKM.Diterbitkan oleh Berita Perak pada 24 Jun 2021.

  10. PPIM BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KKM.Diterbitkan oleh Malakat Tribune pada 23 Jun 2021.

  11. https://twitter.com/US_FDA/status/1429050070243192839 

  12. https://www.nytimes.com/2021/08/21/world/ivermectin-fda-covid-19-treatment.html

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.