+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minuman kesihatan 'Penawar Covid' dijual tanpa bukti kukuh keberkesanannya.

Benarkah...

Minuman kesihatan dikenali SiHulk dengan mendakwa ia penawar 1,001 penyakit termasuk Covid-19.

Sumber : Facebook / Januari-Februari 2021

Hasil

Penjual/pengedar didapati menggunakan promosi berbentuk dakwaan melampau (overclaim)  dengan tagline ‘Penawar Covid-19’ tanpa bukti saintifik.

03/06/2021 02:34 PM

SEKILAS FAKTA

  • KKM meminta orang ramai tidak percaya dengan bentuk promosi produk minuman yang dikatakan penawar Covid-19.

  • Penjual/pengedar yang didapati menggunakan bentuk promosi dakwaan melebih-lebih (overclaim) dengan meletakkan ‘Penawar Covid-19’ bagi tujuan melariskan produk jualan.

  • Tiada sebarang bukti atau kajian saintifik dibuat mengatakan produk minuman berasakan peraman madu dan asam susur (roselle) mampu menjadi penawar menyembuhkan pesakit Covid-19.

 

(Nota: Artikel ini mengandungi maklumat mengenai isu yang tular pada bulan JANUARI DAN FEBRUARI 2021. Ia tetap disiarkan di MyCheck dengan tujuan agar dapat dijadikan rujukan warga masyarakat.)

 


Produk yang dikatakan boleh merawat Covid-19

 

LATAR BELAKANG

 

Di Malaysia, penggunaan ubat-ubatan moden diterima dengan baik oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, dek faktor demografi dan budaya penggunaan kaedah perubatan tradisional turut kekal menjadi satu alternatif yang tidak ditinggalkan.

Sewaktu semakan fakta ini dibuat, vaksin Covid-19 masih belum diterima Malaysia. Sebahagian warga masyarakat mula mencari penawar berasaskan kaedah tradisional.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (WHO’s Covid-19 vaccine tracker), terdapat 51 syarikat dan pusat penyelidikan di seluruh dunia yang berusaha membangunkan lebih daripada 150 vaksin. 

Antara entiti utama yang terlibat dalam pembangunan vaksin itu ialah University of Oxford/AstraZeneca,  Sinovac dari China, SPUTNIK V dari Rusia, Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat dan Sanofi dari Perancis.

Malaysia juga tidak terkecuali berhasrat mendapatkan akses kepada vaksin dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan dimana kerajaan menyasarkan memberi vaksin secara percuma kepada rakyat seawal suku pertama tahun 2021.

Bekalan 12.8 juta dos vaksin daripada syarikat Pfizer yang dibeli Malaysia akan menampung keperluan imunisasi 20 peratus (6.4 juta) populasi rakyat Malaysia dengan dua dos seorang.

 

MENGENAI DAKWAAN

 

Tersebar mesej yang kami terima melalui beberapa individu di aplikasi Facebook menyatakan produk minuman SiHulk dikatakan penawar 1,001 penyakit termasuk Covid-19.

Ada juga mesej posting ini disertakan dengan gambar produk minuman itu yang diletakkan kapsyen ‘Penawar Covid-19’ selain dakwaan-dakwaan lain yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit lain.

Anda boleh lihat dakwaan seumpamanya itu di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.


Tangkap layar hantaran Facebook oleh pengguna produk.

 

APA KAMI TEMUI

Respon pengusaha produk

Bagi mencari jawapan berhubung persoalan pertama, MyCheck memetik laporan portal berita Malaysia Gazette bertarikh 6 Januari 2021 yang menemuramah pemilik minuman SiHulk, Suhaini Mohammad.

Dalam laporan itu, Dr Suhaini mendakwa minuman SiHulk berasaskan peraman madu lebah dan asam susur (roselle) diproses mengikut ilmu falak berdasarkan kitab Melayu lama dan menghasilkan mikrob baik membantu kesihatan manusia.

Beliau mendakwa ramai orang yang ada simptom Covid-19 seperti batuk, sakit tekak dan dada pulih dengan penggunaan SiHulk selain ada banyak bukti testimonial dari pesakit Covid-19 sendiri.

Beliau turut menyatakan kebertanggungjawaban dirinya dan sedia memberi kerjasama termasuk kepada pihak KKM untuk untuk menyelidik dan menguji keberkesanan berhubung ‘penawar’ yang ada di dalam produknya atas beberapa faktor bukan sekadar promosi.

Minuman yang berasaskan peraman madu itu dikilangkan Dr Suhaini sendiri di Johor Bahru sejak tahun 2017.

Jadi tidak hairanlah mengapa segelintir pengedar atau stokis yang lain turut ‘bersemangat’ mengikut jejak langkah pemilik minuman itu dengan memuat-naik iklan promosi berbentuk ‘overclaim’ termasuklah dengan menggunakan testimoni bekas pesakit Covid-19.

Semakan mendapati air minuman itu turut mendapat permintaan menggalakkan sehingga termasuk di negara jiran, Indonesia.
 

Penafian pihak berkuasa dan reaksi netizen

 


Tangkap layar penafian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui hantaran di laman Facebook rasmi bertarikh 5 Januari 2021 telah menegaskan dakwaan ini adalah palsu serta memohon orang ramai agar jangan mudah terpedaya.

Hantaran KKM itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mempertikaikan dakwaan yang dibuat pengguna minuman berkenaan.

Di Facebook misalnya, segelintir netizen meluahkan rasa kesal atas promosi iklan produk berkenaan yang didakwa tidak bertanggungjawab dan tidak selari dengan ketetapan WHO dan KKM. Namun ada juga yang mendakwa bahawa tidak salah mencuba daripada langsung tidak mencubanya.

Malangnya, berdasarkan pemerhatian kami, perkara ini masih berulang dibuat terutamanya oleh pengedar dan stokis jenama itu di media sosial meskipun penafian telah dibuat oleh pihak berwajib.

MyCheck juga melakukan carian pantas berkaitan kajian peraman madu dan asam susur (roselle) bagi kes Covid-19 namun tidak menemui sebarang kajian saintifik dibuat oleh pihak perubatan setakat ini.

Sebelum berakhir, kami memetik kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bertarikh 22 Oktober 2020 di portal Astro Awani:

“Kalau mereka ada (penawar vaksin COVID-19), bererti mereka sudah kaya-raya ketika ini kerana satu dunia sedang mencari ubat berkesan untuk merawat virus itu,”

-- Dr Noor Hisham.

Nasihat kami, ikhtiar itu tidaklah salah tetapi di pihak pengedar atau stokis itu janganlah sewenang-wenangnya membuat dakwaan yang melampau demi melariskan jualan. Itu sama seperti tindakan yang tidak bertanggungjawab.

 

MAKLUMAT TAMBAHAN:

Pada 30 Mei 2021 Berita Harian menyiarkan artikel Ajaran Si Hulk difatwakan sesat. Artikel serupa turut disiarkan Harian Metro menyiarkan artikel 'Ajaran Suhaini Bin Mohammad, Si Hulk diharamkan'. 

Laporan akhbar itu turut menerangkan tentang dakwaan melampau Suhaini yang mengatakan air SiHulk adalah “air hayat iaitu air yang diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup hingga hari kiamat. Malah dia mendakwa botol Si Hulk digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol.”

-- MYCHECKMY--

TAG: SiHulk, Produk Minuman, penawar, Covid-19, semak fakta, myCheck

 

RUJUKAN

  1. Bernama. “Lebih 50 pemain global bangun vaksin COVID-19, mungkinkah ada penyelesaian tidak lama lagi?” Diterbitkan pada 13 Oktober 2020.

  2. Harian Metro. “Vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat Malaysia” Diterbitkan pada 27 November 2020.

  3. Berita Harian. “COVID-19: Malaysia dijangka terima vaksin Pfizer hujung Februari” Diterbitkan pada 11 Januari 2021.

  4. Berita Harian. “COVID-19: Malaysia terima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu awal” Diterbitkan pada 5 Februari 2021.

  5. Malaysia Gazette. “Jangan percaya produk dakwa penawar Covid-19 – KKM” Diterbitkan pada 5 Januari 2021.

  6. Astro Awani. “COVID-19: Masih tiada ubat, jika ada.. pelopor itu sudah kaya-raya - Dr Noor Hisham” Diterbitkan pada 22 Oktober 2020.

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.