+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kompaun langgar SOP dipinda, namun dakwaan tular adalah TIDAK TEPAT

Benarkah...

Senarai kesalahan dan nilai kompaun pelanggaran SOP Covid-19 disebarkan.

Sumber : Sumber:  WhatsApp/ Mac 2021 

Hasil

Maklumat bercampur dan tidak dapat dipastikan didapati dalam mesej itu.

03/06/2021 12:02 PM

SEKILAS FAKTA

  •  Kompaun dinaikkan dari RM1,000 sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac 2021.
  • Kompaun boleh dikurangkan atas budi bicara.
  • Tiada had masa diperuntukan untuk makan di restoran. 

(Nota: Artikel ini mengandungi maklumat mengenai isu yang tular pada bulan MAC 2021. Ia tetap disiarkan di MyCheck dengan tujuan agar dapat dijadikan rujukan warga masyarakat.)

 


Tangkap layar di aplikasi WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Kerajaan Malaysia menerusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mula menguatkuasakan tindakan  kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19 pada 8 April 2020. 

Kompaun ini diperkenalkan setelah melihat masih ramai individu ingkar dan tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  dijalankan sejak diperkenalkan 18 Mac 2020. 

Manakala, mulai 1 Ogos 2020, rakyat Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak COVID-19, jika tidak, denda RM1,000 dikenakan. 

Bayaran denda RM1,000 dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sekiranya gagal mematuhinya.

Selain itu, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya. 

 

MENGENAI DAKWAAN    

Tular di  aplikasi WhatsApp yang memberi peringatan berkenaan ‘saman SOP’ yang akan dikenakan kepada orang awam sekiranya gagal untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Di dalam mesej tersebut,  turut disenaraikan bentuk kesalahan yang dilakukan beserta denda yang dikenakan. Kami senaraikan semula di sini:

  1. Tidak daftar nama dan no “fon” (telefon) (menurut pemahaman MyCheck menulis nama di buku) denda RM3,000. 

  2. Daftar nama dan tulis no “fon” (telefon) palsu denda RM3,000.

  3. Menanggalkan mask (pelitup muka) sebelum makanan sampai denda RM10,000.

  4. Jarak antara meja kurang dari satu meter (melalui fahaman kami jarak meja di kedai makan) denda RM10,000.

  5. Tidak ikut SOP masa shopping (membeli belah). Makan sambil berjalan semasa shopping denda RM10,000.

Mesej itu turut mengingatkan orang ramai untuk mengimbas semula kod QR MySejahtera setelah sejam berada di restoran disamping turut memaklumkan bahawa kompaun tersebut mula berkuat kuasa 11 Mac 2021.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Bagi memastikan kesahihan akan dakwaan tersebut, MyCheck melakukan semakan terhadap setiap dakwaan serta jumlah denda semasa yang dikenakan terhadap pesalah yang ingkar. 

 

Benarkah terdapat kenaikan jumlah bayaran?

Sinar Harian bertarikh 26 Februari 2021 melaporkan, kompaun sehingga RM10,000 dikenakan terhadap orang ramai yang melanggar PKP berkuat kuasa 11 Mac 2021. 

Manakala, syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. 

 

Bukan untuk semua kesalahan langgar SOP 

Berita Harian bertarikh 26 Februari 2021 melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa kenaikan kompaun berkenaan bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar SOP.

“Kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka tidak akan dikenakan denda sehingga RM10,000”.

Harian Metro yang memetik Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 17 Mac 2021 melaporkan, nilai kompaun RM1,500 dikenakan bagi individu yang tidak memakai pelitup muka, jatuh di bawah kategori normal.

Ia merupakan satu daripada tiga kategori kesalahan (tinggi, sederhana dan normal) bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sepertimana yang diperincikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Manakala dalam laporan yang sama, Takiyuddin memberitahu kesalahan gagal mendaftar masuk premis sama ada menggunakan MySejahtera atau buku pendaftaran serta gagal memastikan penjarakan fizikal boleh dikenakan kompaun RM1,500. 

 

Kompaun ikut budi bicara

Memetik laporan berlainan yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan bahawa kompaun maksimum itu adalah untuk individu yang melakukan kesalahan berulang kali dan kategori kesalahan ingkar yang berat, termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan berlakunya penularan Covid-19.

Namun, individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu boleh membuat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Seterusnya, menurut laporan Bernama, Takiyuddin memaklumkan penawaran diskaun kompaun 50 peratus atau 25 peratus boleh didapati sekiranya bayaran dijelaskan dalam masa 14 hari. 

Individu dan syarikat boleh mendapat diskaun 50 peratus sekiranya menjelaskan bayaran kompaun dalam masa seminggu, manakala diskaun 25 peratus untuk bayaran pada hari ke-lapan sehingga hari ke-14. 

Manakala, rayuan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), B40, pelajar dan berpenyakit kronik, untuk mendapat pengurangan kompaun melebihi nilai diskaun ditawarkan.

Rayuan kompaun itu boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah.

 

Tiga jenis kategori kesalahan langgar SOP

Satu garis ‘Panduan Penetapan Nilai Tawaran Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun Di Bawah Akta 342 dan Peraturan-Peraturan Di Bawahnya’ telah dikuatkuasakan pada 17 Mac lalu.

Garis panduan itu menjelaskan tiga jenis kategori bagi kesalahan iaitu tinggi, sederhana dan normal. Nilai kompaun yang sewajarnya dikenakan mengikut kategori.

Kategori tinggi ialah kesalahan yang menyebabkan penularan tinggi atau impak jangkitan kepada komuniti dalam skala besar. Kesalahan jenis ini dikenakan denda sebanyak RM10,000 kepada individu manakala RM50,000 kepada pemegang lesen dan pemilik premis. 

Bagi kes sederhana, nilai sebanyak RM3,000 adalah buat kesalahan menyebabkan penularan tinggi tetapi tidak memberi impak besar jangkitan kepada komuniti; 

Kategori normal pula adalah kesalahan yang boleh menyebabkan risiko rendah dan tiada kesan kepada komuniti. Kompaun dikenakan adalah sebanyak RM1,500.

 

Tiada had untuk masa berada di kedai makan

Kami cuba mencari apa-apa kenyataan yang dikeluarkan mengenai ketetapan waktu yang dihadkan kepada setiap pelanggan untuk berada di kedai makan, namun kami tidak menjumpai apa-apa mengenai isu tersebut. 

Menurut SOP sektor maknanan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), hanya waktu operasi, waktu kehadiran pelanggan yang dinyatakan. Kami lampirkan SOP bagi sektor makanan kategori perniagaan berpremis seperti di bawah.

 


Tangkap layar panduan MKN (Mac 2021)

 

Ringkasan Semakan

MyCheck ringkaskan di sini hasil semakan yang diperolehi:

 

1. Tidak daftar nama dan nombor telefon. 

Tular: Saman RM3,000

Semakan MyCheck: Kompaun RM 1,500 (Kategori normal)

 

2. Daftar nama dan tulis nombor telefon palsu.

Tular: Denda RM3,000

Semakan MyCheck:Tiada maklumat diperoleh.

 

3. Menanggalkan pelitup muka sebelum makanan sampai

Tular: Denda RM10,000

Semakan MyCheck: Tiada maklumat diperoleh.

 

4. Jarak antara meja makan kurang satu meter

Tular: Denda RM10,000

Semakan MyCheck: Sahih

 

5. Tidak mematuhi SOP semasa membeli-belah, makan sambil membeli belah

Tular: Denda RM10,000

Semakan MyCheck: Tiada maklumat diperoleh

 

6. Denda mula dijalankan pada 11 Mac

Tular: Denda mula dijalankan

Semakan MyCheck: Peningkatan jumlah kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000

 

7. Tempoh masa di restoran

Tular: Hanya satu jam, jika lebih masa harus imbas MySejahtera 

Semakan MyCheck: Tiada maklumat diperoleh

 

KESIMPULAN

Dapat disimpulkan di sini bahawa mesej yang tular itu merupakan maklumat yang tidak sahih dan sengaja dicipta oleh pihak-pihak tertentu. Namun kami tidak pasti sebab apa mesej ini direka. 

Sebagai masyarakat yang berilmu, seharusnya kita tidak cepat melatah dan mempercayai maklumat yang disebarkan oleh orang ramai

Ingat, jika tidak pasti jangan kongsi. 

-- MYCHECK.MY

 

RUJUKAN

  1. Sinar Harian. Kompaun ingkar PKP naik 10,000 mulai 11 Mac diterbitkan pada 25 Februari 2021

  2. Berita Harian Kompaun RM10,000 bukan semua kesalahan langgar SOP - KPN diterbitkan pada 27 Februari 2021

  3. SOP sektor makanan MKN

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.