Vaksin Covid-19 TIDAK dijual di laman e-dagang Shopee

19/03/2021 07:30 PM

Benarkah...

Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dijual dalam pasaran terbuka melalui laman e-dagang Shopee.

Sumber : WhatsApp, Twitter/ Mac 2021 

Hasil

Ia tidak dijual di laman mana-mana laman e-dagang di Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia menguruskan edaran vaksin ini sepenuhnya.

Penyelidik : Mazani CYS

SEKILAS FAKTA

  • Pergerakan semua vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini dikawal ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  • KKM menegaskan vaksin COVID-19 hanya dibekalkan oleh pihak kementerian dan sebarang pembelian vaksin berkenaan melalui mana-mana medium adalah tidak dibenarkan sama sekali.
  • Laman e-dagang Shopee turut menafikan vaksin itu dijual melalui platformnya.


 

LATAR BELAKANG

Malaysia mendapatkan bekalan awal vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Malaysia telah membeli vaksin daripada lima pembekal berbeza iaitu vaksin mNRA dari Amerika Syarikat, Astra Zeneca (United Kingdom), Sinovac dan Can Sino Bio (China) dan Sputnik V dari Rusia.

Kerajaan memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai langkah pencegahan daripada pandemik berkenaan dan seramai 99,616 individu dalam kumpulan fasa pertama berjaya divaksinkan setakat 4 Mac 2021.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck Malaysia menerima satu imej yang tular di Whatsapp yang mendakwa bahawa vaksin COVID-19 dijual secara dalam talian di laman e-dagang Shopee dengan harga serendah RM63.88 sejak beberapa hari lepas.

Imej berkenaan turut ditularkan oleh beberapa pengguna twitter termasuk @Afiqshari, @barthbhrdn dan @surayaror (yang kemudian tidak lagi boleh diakses - mungkin sudah dipadamkan pemilik akaun) sekaligus mengundang keinginan masyarakat yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kesahihan dakwaan penjualan vaksin Covid-19 dijual di Shopee.

 


 

APA YANG KAMI TEMUI

Bagi mendapatkan kesahihan imej berkenaan, Mycheck membuat carian imej yang serupa bagi mengetahui sumber asal imej berkenaan bagi memastikan adakah benar dakwaan vaksin Covid-19 dijual secara komersial di Shopee.

Hasil carian kami menggunakan Google Images mendapati sumber asal imej berkenaan berasal dari Reuters dan digunakan oleh beberapa laman sesawang luar negara seperti  DNA India, Hindustan Times, dan CBC Canada, namun gambar ini telah disunting pihak tidak bertanggungjawab untuk menampakkan seolah-olah vaksin COVID-19 dijual di laman e-dagang berkenaan.

Penafian Kementerian Kesihatan Malaysia

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar yang dilaporkan Sinar Harian pada 4 Mac 2021 mengesahkan iklan jualan vaksin COVID-19 dalam talian adalah palsu.

Beliau turut menegaskan vaksin  Covid-19 yang merupakan vaksin yang telah diberikan pendaftaran bersyarat hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan iaitu untuk dijadikan pusat vaksinasi.

KKM turut mengeluarkan nasihat kepada orang ramai menerusi laman laman-laman sesawangnya seperti di Twitter 17 Feb 2021 mengingatkan orang ramai untuk mengelak daripada membeli vaksin COVID-19 di pasaran tempatan yang dikhuatiri merupakan vaksin palsu atau tiruan.

 


 

KKM turut membuat satu hantaran di laman Facebook rasmi mereka pada 5 Mac 2021 yang menegaskan vaksin COVID-19 hanya dibekalkan oleh pihak kementerian dan sebarang pembelian vaksin berkenaan melalui mana-mana medium adalah tidak dibenarkan sama sekali.

 


 

 


 

Penafian pihak Shopee

Shopee menerusi satu kenyataan media pada 5 Mac 2021 menafikan dakwaan bahawa vaksin COVID-19 dijual di laman e-dagang mereka sambil menegaskan mereka telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membanteras penyebaran berita yang tidak tepat.

 


 

Kenyataan penafian oleh Shopee berhubung penjualan vaksin Covid-19 turut dilaporkan oleh beberapa media tempatan termasuk Astro Awani, Bernama, Sinar Harian, Kosmo dan Harian Metro sekaligus mengesahkan bahawa vaksin COVID-19 sebenarnya tidak dijual di platform itu.

 

Kawalan Ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)

PDRM turut memberi jaminan kawalan ketat akan dilakukan sepanjang proses pengurusan vaksin Covid-19 yang dijangka pada 21 Feb di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum diedarkan di seluruh negara.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan PDRM bersiap-sedia untuk melakukan penugasan membabitkan proses penghantaran vaksin dari KLIA ke stor simpanan di Subang sebelum diedarkan ke empat lagi lokasi simpanan lain di seluruh negara.

 

Pergerakan vaksin Pfizer kumpulan pertama 

Memetik laporan Bernama (malangnya isi artikel sudah diarkib oleh pihak Bernama) memberitahu kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan khas MH604 pada pukul 10.07 pagi 21 Feb lalu dan dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).

Kumpulan pertama 312,390 dos vaksin tiba di Malaysia melalui Singapura, pangkalan bagi pengagihan vaksin COVID-19 ke negara-negara Asia Pasifik, menerusi darat dan udara.

Setibanya di KLIA, vaksin berkenaan kemudiannya dimuatkan dari bahagian kargo pesawat ke dalam trak milik syarikat DHL di Pusat Kargo Termaju (ACC).

Kumpulan pertama vaksin dihantar menggunakan jalan udara dan darat ke 16 pusat penyimpanan DHL, enam daripadanya di Selangor, empat di Johor, tiga di Kuala Lumpur, dua di Pulau Pinang dan satu di Putrajaya.

Semua pergerakan vaksin dijalankan dengan pengawasan rapi oleh pasukan polis.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan fakta yang diperolehi melalui pelbagai sumber, kami mengklasifikasikan dakwaan bahawa vaksin Covid-19 dijual secara komersial di Shopee adalah TIDAK BENAR.

Sehingga laporan ini ditulis, kerana hanya KKM sahaja mempunyai kuasa untuk mengendalikan vaksin berkenaan. Pengendalian vaksin ini disokong dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh PDRM tidak memungkinkan vaksin ini dijual pasaran terbuka tempatan.

Nasihat kami, jadilah pengguna yang bijak dan sentiasa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab seperti KKM sebelum membuat sebarang pembelian ubat-ubatan.


RUJUKAN

  1. https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1938245

  2. https://www.sinarharian.com.my/article/127043/KHAS/Covid-19/Tiada-vaksin-Covid-19-Pfizerdijual-di-platform-Shopee

  3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-vaksin-covid19-pfizer-dijual-di-platform-shopee-286336

  4. https://www.reuters.com/search/pictures?sortBy=&dateRange=&blob=covid-19+vaccine+syringe

  5. https://www.hindustantimes.com/world-news/pfizer-covid-19-vaccine-could-get-uk-approval-this-week-report/story-5f1CqwLMqwvQWefqQxhU7N.html

  6. https://www.cbc.ca/news/business/alberta-pfizer-vaccine-freezers-1.5810786

  7. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/681286/pemain-e-dagang-pandang-serius-isu-kesihatan-negara

  8. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/788074/polis-kawal-ketat-vaksin-covid-19-dari-penghantaran-penyimpanan

  9. https://www.sinarharian.com.my/article/126873/KHAS/Covid-19/Iklan-jualan-vaksin-Covid-19-dalam-talian-palsu

  10. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1933721

  11. https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/10157767737111237 

 -- MYCHECKMY --

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.