+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Vaksin Covid-19 TIDAK ubah DNA manusia // #SemakPantas

Benarkah...

Vaksin suntikan Covid-19 akan mengubah DNA manusia.

Sumber : Facebook/ Februari 2021 

Hasil

Pakar perubatan mengesahkan vaksin mRNA tidak memberi kesan terhadap DNA manusia.

15/02/2021 12:04 PM

SEKILAS FAKTA

  • Vaksin mRNA tidak masuk ke nukleus manusia, tempat DNA tersimpan.
  • Ia hanya kekal di sitoplasma, di luar nukleus.
  • Oleh itu ia tidak boleh memberi sebarang kesan terhadap nukleus mahupun DNA manusia.

 


Imej daripada video yang tular.

 

LATAR BELAKANG

Pada 27 November 2020, Pfizer Malaysia dan BioNTech SE telah mengumumkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia untuk menyediakan 12.8 juta dos vaksin (vaksin jenis BNT162-mRNA) bagi mencegah COVID-19. 

Jumlah vaksin tersebut dijangka akan dapat memenuhi keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Astro Awani pada 10 Feb 2021 melaporkan berdasarkan tinjauan melalui internet COVID-19 World Symptom Survey yang dikendali Facebook dan University of Maryland, Amerika Syarikat melibatkan lebih 300,000 responden dari Malaysia mendapati kira-kira 20 peratus ragu-ragu dan berpendirian atas pagar tentang penerimaan vaksin Covid-19 manakala 10 peratus lagi tegar menolaknya.

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu pautan ke video berdurasi 55:29 minit disebarkan melalui WhatsApp dan Facebook. Dalam video ini terdapat banyak dakwaan tentang ‘agenda jahat’ di sebalik Covid-19. 

Pada minit ke 02:41 hingga 04:30 ‘dokumentari’ ini ada menyebut vaksin jenis mRNA akan mengubah DNA manusia. Hal ini juga dan disebut kembali pada minit ke 13:17. 

 

APA YANG KAMI TEMUI

Sebelum kita cerita lebih lanjut, mari kami jelaskan kepada anda jenis dan cara vaksin ini ‘bekerja’

Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam mesyuaratnya yang ke-352 telah meluluskan pendaftaran secara bersyarat pada 8 Januari 2021 bagi Vaksin COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection oleh syarikat Pfizer (M) Sdn Bhd. 

Vaksin Comirnaty adalah menggunakan teknologi vaksin jenis mRNA (messanger ribonucleic acid).

Bagaimana ia ‘bekerja’?

Vaksin mRNA terdiri daripada jujukan genetik yang diselaputi oleh bahan yang boleh melindungi mRNA daripada tindakbalas enzim di dalam badan dan memastikan mRNA dapat memasuki sel imun tertentu seperti sel dendritic dan makrofaj di dalam nodul limpa yang berdekatan kawasan suntikan.

Infografik dari KKM ini mungkin dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada anda.

 


Sumber: KKM

 

Baiklah, berbalik kepada dakwaan yang dibincangkan sebelum ini, sebenarnya perkara ini telah tular sejak pertengahan 2020 (seawal Mei 2020 di Amerika Syarikat). 

Pada waktu para penyelidik di seluruh dunia masih sibuk membuat kajian untuk menghasilkan vaksin dan belum ada yang berjaya.

Dalam erti kata mudah, vaksin belum siap tetapi tuduhan telah pun dibuat.

 

Penafian di seluruh dunia.

 

Untuk mendapatkan idea secara kasar, kami membuat carian rawak di Google dengan menggunakan kata kunci ‘vaccine + alter DNA’. Carian ini membawa kami ke beberapa penafian tentang video ini. 

Penafian ini telah ditulis di media tempatan dan juga antarabangsa seperti BBC dan Reuters.

Kami turut membuat pencarian global menggunakan Poynter CoronaVirusFacts Alliance yang membawa kami kepada penemuan penulisan penafian hampir diseluruh dunia antaranya Sepanyol, Georgia, Filipina, Perancis, Venuzuela, Columbia dan juga Amerika Syarikat.

 

Berada dalam ‘rumah’ yang berasingan.

 

Pakar perubatan telah menjelaskan bahawa kehadiran vaksin mRNA dalam tubuh manusia adalah bersifat sementara dan ia tidak masuk ke nukleus manusia. 

DNA manusia pula terletak di dalam nukleus.

Oleh itu kehadiran mRNA di dalam sitoplasma tidak akan membolehkan ia mengubah DNA manusia.

 


Sumber: OpenStax Anatomy and Physiology

 

Jika kita amati, semua sumber sahih dibawah memberikan penjelasan yang hampir serupa. Sumber-sumber yang bertauliah ini manafikan bahawa vaksin ini tidak akan mengubah DNA seseorang. 

 

1. KKM kata apa?

Menyedari terdapat banyak komen dari masyarakat, KKM mengambil langkah untuk memberi penjelasan melalui platform media sosial antaranya Instagram. Infografik yang telah disukai oleh 1,653 (setakat 13 Feb 2020) pengguna Instagram ini menjelaskan bahawa vaksin ini tidak dapat mengubah DNA atau genetik seseorang kerana mRNA tidak memasuki nukleus di dalam sel dan tidak akan bertindakbalas dengan DNA.  

 


Sumber: Instagram KKM

 

2.  Penjelasan daripada doktor

Satu artikel telah ditulis oleh tiga orang doktor iaitu Dr. Nuruliza Roslan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM (Penyelidik Biologi Kanser), Dr. Marjanu Hikmah Elias dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM (Penyelidik Genetik Manusia), Prof Madya Ts Dr. Eddy Hasrul Hassan dari Fakulti Pergigian, UiTM (Penyelidik Immunovirologi) menjelaskan bahawa vaksin mRNA tidak akan mengubah genetik manusia sekaligus mengubah ciptaan Tuhan.

Artikel yang dimuatnaik di kolum tinta minda siaran Bernama ini menjelaskan DNA dan MRNA berada dalam dua tempat yang berbeza dan tidak akan bercampur.

“Setelah memasuki sel, mRNA vaksin akan berada dalam bahagian sitoplasma manakala DNA berada di dalam nukleus yang dipisahkan oleh membran nukleus yang sangat selektif. Oleh itu, mRNA vaksin tidak akan dapat mengubah kandungan genetik pada DNA” jelas artikel berkenaan. 

 

3. Penerangan daripada MOSTI

 

Turut dimuatnaik dalam halaman facebook MOSTI Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin memberi penjelasan pada awal bulan Disember tahun lepas yang bahawa vaksin ini tidak mengubah DNA sebaliknya bersifat molekul sementara. 

 


Sumber MOSTI/Kosmo

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) (Jawatankuasa utama dalam perolehan dan pelaksanaan program imunisasi vaksin COVID-19) juga menjelaskan bahawa Vaksin mRNA tidak mengubah DNA manusia sebaliknya ia bersifat molekul sementara yang akan memberi kod genetik sebahagian daripada virus untuk menghasilkan antibodi bagi memberi perlindungan sekiranya dijangkiti COVID-19.

Penerangan yang mengaitkan tandapagar #LindungDiriLindungSemua ini disertakan dengan infografik dibawah

 


Sumber: JKJAV

 

KESIMPULAN

Dapat dirumuskan disini bahawa vaksin mRNA yang akan disuntik untuk mencegah penularan Covid-19 ini tidak akan menganggu-gugat kejadian semulajadi DNA seseorang. Seperti yang dijelaskan, DNA dan mRNA berada dalam ‘rumah’ yang berlainan dan tidak akan bercampur. 

Penularan maklumat dan tuduhan palsu ini sebenarnya bertindak pantas sama dengan penularan wabak Covid-19 jika tidak dibendung.

Anda juga boleh lihat bagaimana fact-checker dunia berusaha sekeras-kerasnya untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian dalam hal ini. Jadi, sudah pastinya penafian yang dibuat adalah berasaskan daripada sumber yang sahih.

Nasihat kami, kita semua tenang dan ayuh usaha lindungi diri kita daripada wabak penyakit dan sebaran maklumat palsu okay?

Jaga diri, semua!

--MYCHECKMY--

 

RUJUKAN

1. Astro Awani. ‘COVID-19: Pfizer dan BioNTech bakal bekal 12.8 juta dos vaksin kepada Malaysia’ diterbitkan pada 27 Nov 2020

2. Regulatori Farmasi Negara Soalan-Soalan Lazim mengenai vaksin Comirnaty

3. Instagram KKM . ‘Soalan-soalan lazim berkenaan dengan vaksin keluaran Pfizer (Comirnaty)

4. BBC. ‘Vaccine rumours debunked: Microchips, 'altered DNA' and more’ diterbitkan pada 2 Dis 2020 

5. Reuters. ‘Fact check: Gates was not caught on video saying the COVID-19 vaccine ‘will change our DNA forever’ diterbitkan pada 11 Disember 2020

6. Poynter. ‘FALSE: Vaccine mRNA, which creates foreign proteins in our body, modifies our DNA’ diterbitkan pada 04 Feb 2021

7. Poynter. FALSE: The DNA and RNA-based vaccines, including the coronavirus vaccine, cause changes in human genetics diterbitkan pada 11 Dis 2020

8. Poynter. FALSE: Moderna’s mRNA COVID-19 vaccine can alter human DNA diterbitkan pada 10 Dis 2020

9. Poynter. FALSE: RNA vaccines change people’s DNA diterbitkan pada 7 Dis 2020

10. Poynter.FALSE: COVID vaccines include luciferesa enzime, quantum points, nanotechnology and ARNm which can modify the DNA diterbitkan pada 7 Dis 2020 

11. Poynter. FALSE: mRNA vaccines serve to modify our DNA diterbitkan pada 30 Nov 2020

12. Poynter. FALSE: “Bill Gates Explains That The COVID Vaccine Will Use Experimental Technology And Permanently Alter Your DNA” diterbitkan pada 20 Mei 2020. 

13. Instagram KKM. ‘Soalan-soalan lazim berkenaan dengan vaksin keluaran Pfizer (Comirnaty)

14. Tinta Minda. ‘Benarkah mRNA Vaksin Boleh Mengubah Genetik Manusia?’ diterbitkan pada 8 Jan 2021

15. Facebook MOSTI. ‘Vaksin mRNA tidak ubah DNA manusia – KJ’ dimuatnaik pada 1 Dis 2020

16. Facebook JKJAV. Vaksin mRNA tidak mengubah DNA manusia’ dimuatnaik  pada 23 Jan 2021

17. Astro Awani: Vaksin COVID-19: 20 peratus rakyat Malaysia atas pagar, ragu-ragu isu halal

18. Poynter CoronaVirusFacts Alliance

19. ZME Science: How cytoplasm keeps your cells up and running

20. OpenStax.com: Anatomy and Physiology: The Cytoplasm and Cellular Organelles

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.