+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Limau Mandarin Dilumur Minyak Babi? Ia Adalah Tuduhan ‘Kitar Semula’ // #SemakPantas

Benarkah...

Limau Mandarin tidak baik untuk Melayu Islam Malaysia kerana disalut minyak khinzir.

Sumber : WhatsApp, Facebook /Januari 2021

Hasil

Video lama yang disunting semula bagi memancing lebih ramai penonton di  YouTube.

15/02/2021 11:09 AM

SEKILAS FAKTA

  • Video limau mandarin dipenuhi ulat disunting pihak tidak diketahui ditambah  audio ‘voice over’ mendakwa limau itu disapu minyak khinzir.
  • Video tersebut pernah tular pada 2015, iaitu sebelum disunting dengan penambahan audio suara seorang lelaki.
  • Dakwaan dalam bentuk audio dibuat oleh individu tidak dikenali dan tidak disertakan sebarang bukti kukuh untuk menyokongnya.



Sumber: YouTube

 

LATAR BELAKANG  

Di Malaysia, limau mandarin cukup sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina yang disambut masyarakat Tionghua setiap tahun. Lambakan buah ini di pasaran dinikmati oleh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan tidak hanya terhad kepada masyarakat berbangsa Cina.

Namun, setiap tahun jugalah timbulnya pelbagai kisah dan dakwaan melibatkan buah ini antaranya ia tidak selamat dimakan kerana direndam bahan kimia beracun, berulat dan sebagainya. 

Tahun ini, heboh pula dakwaan kononnya ia direndam dengan minyak khinzir. Aiya, ini macam pun boleh ka?

 

MENGENAI DAKWAAN 

Baru-baru ini MyCheck Malaysia menjumpai satu video mendakwa orang Melayu tertipu kerana memakan limau mandarin yang disapu minyak khinzir.

Sejauh manakah dakwaan ini? Pastinya maklumat seperti ini akan menimbulkan keresahan dan rasa kurang selesa khususnya dalam kalangan orang Islam di negara ini. Berikut merupakan sebahagian transkrip yang dapat didengar menerusi  video tersebut.

 

“You orang Melayu selalu kena tipu mudah dengan Chinese ha...Ini I cakap sama lu ha.. itu limau mandarin tak bagus ma... 

itu celup dengan minyak babi, mana boleh makan. Import dari China, semua orang Melayu makan ma. Saya Chinese pon tak makan ma. 

You pesan sama you punya Islam punya kawan ha...jangan makan lo.. banyak limau bali ada. Mandarin juga you makan pasai apa ma? itu saya punya pesan…

Kita satu Malaysia punya ha, mau makan elok punya.. limau mandarin China jangan makan , bahaya,” 

 


Sumber: YouTube

 

APA YANG KAMI TEMUI 

1. Sumber Video

Siapa yang siar?

Bagi mendapat kepastian mengenai dakwaan dalam video yang menggunakan suara seorang lelaki dipercayai berbangsa Cina berdasarkan telor percakapan beliau, kami mencari  maklumat rawak di laman sosial dan carian melalui Google.

Hasilnya kami menemui satu video di YouTube yang dimuat naik pada 20 Disember 2019. Video yang dibuat dan disiarkan oleh Mohd Apiz yang turut menggunakan nama ‘Apiz Channel’. Saluran yang dibuka pada Februari 2015 ini kini mempunyai hampir 2000 pengikut.

Ketika artikel ini ditulis video ini telah mendapat hampir 4,000 tontonan sejak tiga tahun lalu.

 


Sumber: YouTube
 

 

Jika dilihat pada tarikh video dimuat naik iaitu pada Disember 2019 bolehlah disimpulkan bahawa tuduhan ini sudah wujud sejak lebih dua tahun lalu dan kini ia kembali popular, berkemungkinan besar kerana kita menghampiri perayaan Tahun Baru Cina dan buah limau mandarin banyak dijual di pasaran.

Seterusnya kami meneliti visual di dalam video tersebut namun mendapati tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaaan bahawa limau mandarin itu telah disapu minyak khinzir disertakan dalam video itu.

 

Video limau berulat 

MyCheck mencari maklumat seterusnya menggunakan kata kunci limau mandarin berulat yang viral dan boikot limau Cina. 

Ya! kami temui video limau mandarin berulat! dengan tajuk ‘boikot limau cina’ yang sudah dimuat naik lebih lima tahun lepas iaitu pada Februari 2015 di channel YouTube che rizal adni. Carian lebih lanjut mendapati ia telah dimuat naik di YouTube sejak 2014.

Namun, tiada sebarang penerangan berkaitan penggunaan minyak khinzir sepanjang paparan video yang berduarasi 1 minit 55 saat itu. Malah video dipaparkan juga tanpa audio suara atau penerangan. 

Apa yang dapat dilihat hanya seseorang kelihatan sedang memeriksa isi di dalam buah limau mandarin yang berulat.

 


Sumber: YouTube

 

Video ini dipercayai berasal dari China dan berdasarkan tera air pada video ini kami percaya ia disiarkan oleh Tencent, satu saluran penstriman video dari sana. Namun kami tidak dapat mengenal pasti ia bilakah kali pertama ia disiarkan.  

 


Mengenal pasti saluran sumber pertama video ini.

 

2. Sumber Audio

Seperti dinyatakan di atas, suara latar seorang lelaki dipercayai berbangsa cina digunakan dalam video ini. 

Tidak ada sebarang pengenalan diri berkenaan sumber suara ini. Tiada gambar beliau dipaparkan dalam video dan tiada juga sebarang nota atau pautan disediakan oleh Apiz Channel untuk memberitahu profil sumber suara ini.

Kualiti audio juga tidak begitu baik bahkan pada beberapa bahagian dalam video suara lelaki ini tidak dapat didengar dengan jelas kerana tenggelam dek video latar yang digunakan.

Oleh kerana sumber ini tidak jelas dari mana datangnya kami di MyCheck mengkalsifikasikan ia sebagai sumber yang tidak boleh dipercayai.

Dapat kami simpulkan video lama mengenai limau berulat telah disunting dengan memasukkan suara lelaki yang mendakwa limau mandarin di Malaysia telah disapu minyak khinzir.

Tidak ada maklumat sokongan lain dikemukakan. Yang ada hanyalah video yang dikitar semula daripada tuduhan lain berkaitan limau mandarin berulat yang ditambah dengan audio ‘voice over’ lelaki memberikan ‘penjelasan’ tentang limau mandarin disapu minyak khinzir.

 

3. Motif video

Seterusnya kami cuba mencari maklumat berkenaan identiti sumber video yang telah disunting alamat pautan di chanel YouTube Mohd Apiz (dimuat naik pada Disember 2019) seperti dalam gambar di bawah.

 


Sumber: InVid

 

Penerangan tersebut menyatakan bahawa pemilik channel YouTube berkenaan mencipta pengisian sekadar hiburan, pada masa yang sama bertujuan membina saluran bagi meraih pengikut yang lebih ramai.

 

KESIMPULAN

Bagi kami, maklumat di dalam video tersebut tidak boleh dipercayai kerana bermotifkan hiburan. Tambahan pula dakwaan tidak disokong fakta relevan. 

MyCheck berharap kita semua lebih berhati-hati apabila menerima sebarang bahan terutamanya dalam bentuk video kerana sumber ini amat mudah dimanipulasi dan diterjemah di luar konteks.

Dalam dunia fact-check, apa yang berlaku dalam kes ini adalah perkara yang dipanggil 'false connection' (hubungan palsu) atau 'false context' (konteks palsu) iaitu apabila ada satu bahan yang benar (dalam kes ini, video ulat dalam limau adalah asli) yang dikaitkan dengan sesuatu yang palsu atau diada-adakan.

Jadilah masyarakat yang bijak menilai intipati sesebuah video atau perkongsian sama ada berasas atau tidak sebelum ringan tangan berkongsi maklumat tidak pasti! 

 -- MYCHECKMY --

 

RUJUKAN

  1. Iluminasi 'Inilah Punca Batuk-batuk Selepas Makan Limau Mandarin Dari China’, Diterbitkan pada 17 Februari 2018
  2. Facebook Siakap Keli 'Viral Kononnya Limau Mandarin Ada Bahan Kimia Sulfur Dioksida, Ini jawapan Penuh Daripada KKM', Diterbitkan pada 18 Januari 2017
  3. YouTube 'Bahaya makan buah limau mandarin | viral 2019', Diterbitkan pada 20 Disember 2019

  4. YouTube 'Boikot limau cina', Diterbitkan pada 10 Februari 2015

  5. YouTube 'Worms in the orange', Diterbitkan pada 26 Oktober 2014

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.