+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

52 Tindakan Perketat SOP PKP Selepas 4 Februari? Ada yang Betul, Ada Juga Yang Salah

Benarkah...

52 tindakan akan diambil untuk memperketatkan SOP PKP 2.0 mulai 4 Februari.

Sumber : Facebook, WhatsApp / Januari-Februari 2021

Hasil

39 daripadanya tidak benar. Hanya 13 sahaja yang benar.

08/02/2021 08:21 PM

SEKILAS FAKTA

  • KKM tegaskan mesej tular dalam dalam media sosial konon mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bermula 4 Februari ini adalah palsu.
  • Pemeriksaan MyCheck mendapati hanya 13 daripada keseluruhan 52 SOP tular itu benar.
  • Tuduhan masih berulang dan tersebar di media sosial meskipun telah dinafikan oleh pihak berkuasa.

 


 

LATAR BELAKANG

 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sepatutnya berakhir pada 4 Februari, dilanjutkan selama dua minggu bermula 5 Februari sehingga 18 Februari.

PKP itu dilanjutkan di seluruh negara kecuali Sarawak yang kini dikuat kuasakan PKP Bersyarat (PKPB).


 

MENGENAI DAKWAAN

 

Mesej yang tersebar menyenaraikan 52  larangan dan SOP yang perlu dipatuhi oleh orang ramai oleh kerajaan mulai 4 Februari.

Antara larangan yang dikeluarkan ialah setiap kereta hanya boleh dinaiki seorang sahaja dalam kadar 10 kilometer, tiada pasar malam, tidak boleh makan di restoran, 50 orang sahaja dibenarkan untuk memasuki pasar raya dan tidak boleh keluar rumah selepas jam 8 malam.

 

APA KAMI TEMUI

 

Bagi mendapat kesahihan maklumat yang disebarkan itu MyCheck membuat semakan. Dua perkara yang kami berikan fokus adalah sejak bila mesej berkenaan mula disebarkan dan sejauh mana benarnya senarai 52 item ini secara fakta.

 

Sejak bila ia tersebar?

 

Carian kami mendapati mesej ini sudah pun tersebar menerusi laman Facebook sejak 25 Januari 2021 iaitu lebih awal sembilan hari dari tarikh pengumuman lanjutan PKP 2.0 dibuat. 

Namun kami tidak dapat menentukan siapa pemula asal sebaran mesej ini dan sejak bilakah sebaran awal mesej tular di WhatsApp.

Pengumuman tentang pelanjutan PKP selepas 4 Februari 2021 dibuat oleh Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Februari 2021. 

 

Sejauh mana benarnya senarai ini?

 

Kami membuat perbandingan antara SOP sepanjang PKP 2.0 yang sudah diumumkan oleh kerajaan dengan 52 SOP yang tular itu bagi melihat kesahihannya.

Hasil semakan kami adalah seperti di bawah:

 

1. Had jumlah orang di dalam kereta.

Tular: Satu kereta hanya boleh mempunyai satu orang.

Rasmi: Satu kereta hanya dua orang dari satu isi rumah.

Status: Tidak Benar

 

2. Had pergerakan.

Tular: Jangan melepasi 10 km.

Rasmi: Pergerakan terhad kepada radius 10km sahaja.

Status: Benar

 

3. Waktu operasi pasar pagi.

Tular: Pasar pagi 5am -11am.

Rasmi: Pasar harian dan pasar tani operasi dari 7 pagi hingga 2 petang.

Status: Tidak Benar

 

4. Waktu operasi pasar malam.

Tular: Tiada pasar malam

Rasmi: Pasar malam operasi antara pukul 4 petang hingga 10 malam sepertimana diumum pada 4 Feb 2021

Status: Tidak Benar

 

5. Makan di restoran.

Tular: Tidak boleh makan di restoran.

Rasmi: Tidak boleh makan di restoran

Status: Benar

 

7. Waktu operasi kedai gunting rambut.

Tular: Kedai rambut tidak dibenarkan.

Rasmi: Operasi kedai gunting dibuka hingga 10 malam sepertimana diumum pada 4 Feb 2021.

Status: Tidak Benar

 

8. Had pelanggan di pasar raya

Tular: 50 orang sahaja dibenarkan memasuki pasar raya.

Rasmi: Tiada had ditetapkan namun perlu mengikuti SOP.

Status: Tidak Benar

 

9. Izin rentas negeri.

Tular: Tidak boleh merentas negeri, merentas daerah

Rasmi: Tidak boleh merentas negeri, merentas daerah.

Status: Benar

 

10. Had waktu keluar rumah.

Tular: Jangan keluar selepas pukul 8 malam.

Rasmi: Tiada penetapan larangan keluar rumah.

Status: Tidak Benar

 

11. Denda tidak memakai pelitup muka.

Tular: Tanpa topeng didenda RM1,000

Rasmi: Kompaun RM1,000 tak pakai pelitup muka kekal.

Status: Benar

 

12. Denda tidak mengikuti SOP.

Tular: Kedai tidak mengikut SOP akan didenda RM10,000.

Rasmi: Kompaun RM1,000 buat mana-mana premis gagal patuhi SOP kekal.

Status: Tidak Benar

 

13. Had pelanggan di kedai.

Tular: 5 orang tidak dapat memasuki kedai. 

Rasmi: Tiada had ditetapkan. Patuhi SOP ditetapkan.

Status: Tidak Benar

 

14. Tempoh kuarantin.

Tular: Masa pengasingan 14-28 hari.

Rasmi: Tempoh kuarantin pesakit / kontak rapat Covid-19 antara 10 hingga 14 hari.

Status: Tidak Benar

 

15. Bayaran perkhidmatan kesihatan.

Tular: Pusat pengasingan dalam ambulans RM80.

Rasmi: Palsu. Tiada sebarang pengumuman dibuat.

Status: Tidak Benar

 

16. Bayaran perkhidmatan kesihatan.

Tular: Bayaran kemasukan ke hospital sehari RM110

Rasmi: Palsu. Tiada sebarang pengumuman dibuat.

Status: Tidak Benar

 

17. Caj sanitasi nyahkuman.

Tular: Satu kali pembasmian kuman di kedai mengenakan bayaran RM550.

Rasmi: Caj bergantung kepada syarikat perkhidmatan sanitasi nyahkuman.

Status: Tidak Benar

 

18. Penggunaan gelang elektronik.

Tular: Gelang elektronik pengasingan berharga RM50.   

Rasmi: Tiada penggunaan gelang elektronik sebaliknya menggunakan gelang kuarantin.  (Tidak perlu dibayar)

Status: Tidak Benar

 

19. Operasi salun kecantikan.

Tular: Dilarang di salun kecantikan.

Rasmi: Perkhidmatan facial atau kecantikan masih tidak dibenarkan beroperasi.

Status: Benar

 

20. Operasi pusat urut.

Tular: Dilarang di ruang urut.

Rasmi: Pusat spa, pusat kesihatan (wellness) dan pusat urut masih tidak dibenarkan beroperasi.

Status: Benar

 

21. Operasi kelab malam dan bar.

Tular: Diharamkan di kelab malam dan bar.

Rasmi: Kelab malam, pub dan karaoke masih tidak dibenarkan beroperasi.

Status: Benar

 

22. Sambutan Tahun Baru Cina.

Tular: Larangan Tahun Baru Cina.

Rasmi: Sambutan Tahun Baru Cina tetap dibenarkan namun perlu ikuti SOP yang ditetapkan.

Status: Tidak Benar

 

23. Waktu operasi stesen minyak.

Tular: Stesen minyak 6 pagi hingga 8 malam.

Rasmi: Stesen minyak beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam manakala lokasi di lebuhraya dibenarkan 24-jam.

Status: Tidak Benar

 

24. Waktu operasi kedai serbaneka.

Tular: Kedai serbaneka 7 pagi hingga 8 malam

Rasmi: Operasi kedai serbaneka sehingga pukul 10 malam.

Status: Tidak Benar

 

25. Waktu operasi hospital.

Tular: Hospital 24 jam

Rasmi: Hospital dan klinik pula dibenarkan beroperasi 24 jam manakala farmasi hanya dari 6 pagi hingga 8 malam.

Status: Benar

 

26. Waktu operasi syarikat pengangkutan.

Tular: Syarikat pengangkutan 6am-12pm

Rasmi: Tiada had masa ditetapkan.

Status: Tidak Benar

 

27. Hotel sebagai pusat kuarantin.

Tular: Hotel bintang 3 nasional menjadi pusat karantina.

Rasmi: Tiada lagi hotel dijadikan stesen kuarantin.

Status: Tidak Benar

 

28. Jalanraya ditutup.

Tular: Tutup 24 jalan.

Rasmi: Jalan, lebuhraya tidak ditutup, PDRM hanya perketatkan kawalan bagi pematuhan PKP.

Status: Tidak Benar

 

29. Waktu operasi Balai Polis.

Tular: Balai polis 24 jam.

Rasmi: Balai polis kekal beroperasi 24 jam.

Status: Benar

 

30. Diskaun bil elektrik.

Tular: Diskaun bil elektrik negara 10-15%.

Rasmi: Diskaun khas bil elektrik di bawah Pakej Bantuan PERMAI 2021 sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 diberikan kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara.

Status: Benar

 

31. Diskaun bil air.

Tular: Potongan yuran air negara 10-25%.

Rasmi: Tiada diskaun bil air sepanjang PKP 2.0

Status: Tidak Benar

 

32. Subsidi untuk penjaja.

Tular: Subsidi penjaja RM300.

Rasmi: Tiada subsidi ‘penjaja’ diperkenalkan kerajaan pada PKP 2.0. Namun pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang dikenali sebagai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ada diperkenalkan untuk tempoh Jun hingga Disember lalu.

Status: Tidak Benar

 

33. Diskaun Cukai Tanah.

Tular: Diskaun 15% untuk cukai tanah negara.

Rasmi: Hanya Johor yang beri rebat cukai tanah 5 hingga 15 peratus kepada pemilik hartanah di negeri itu.

Status: Tidak Benar

 

34. Pengeluaran bayaran pencen.

Tular: Pencen boleh mengeluarkan RM15,000 dalam satu masa.

Rasmi: Tiada bantuan seumpamanya, cuma pencarum KWSP yang dibenarkan buat pengeluaran maksimum RM10,000.

Status: Tidak Benar

 

35. Persekolahan dalam talian.

Tular: Kelas dalam talian di seluruh negara.

Rasmi: Sesi persekolahan di seluruh negara dijalankan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Status: Benar

 

36. Pinjaman peribadi.

Tular: Panjangkan pinjaman peribadi selama 6 bulan.

Rasmi: Bank lanjutkan moratorium secara bersasar sepanjang PKP 2.0

Status: Tidak Benar

 

37. Cukai Tanah dilanjutkan.

Tular: Pelanjutan cukai tanah selama 1 tahun.

Rasmi: Tiada pengumuman inisiatif seumpamanya dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri.

Status: Tidak Benar

 

38. Peperiksaan ditunda.

Tular: Menangguhkan peperiksaan sekolah pada akhir bulan Jun

Rasmi: Tiada sebarang penangguhan peperiksaan pusat. Pelajar SPM 2020 akan duduki peperiksaan bermula 22 Februari hingga 25 Mac 2021

Status: Tidak Benar

 

39. Waktu operasi khidmat kurier.

Tular: Pejabat pos, penghantaran ekspres 24 jam.

Rasmi: Perkhidmatan penghantaran barang dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 9 malam.

Status: Tidak Benar

 

40. Diskaun sewa Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Tular: Diskaun 25% untuk sewa PKS

Rasmi: Kerajaan hanya mengecualikan bayaran sewa atau beri diskaun sewaan kepada peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada PKP pertama.

Status: Tidak Benar

 

41. Waktu operasi pengangkutan awam.

Tular: Pengangkutan awam 7 pagi hingga 10 malam.

Rasmi: Bas, tren boleh beroperasi seperti biasa, kapasiti penuh manakala dua penumpang untuk teksi, e-hailing sepanjang PKP 2.0

Status: Tidak Benar

 

42. Pengangkutan awam rentas negeri.

Tular: Pengangkutan awam boleh melintasi negeri dan daerah.

Rasmi: Pengangkutan awam beroperasi seperti biasa, perlu patuhi SOP kecuali perkhidmatan penerbangan tidak dibenarkan.

Status: Benar

 

43. Lanjutan cukai peribadi.

Tular: Panjangkan cukai pendapatan peribadi hingga akhir bulan Jun.

Rasmi: Tiada inisiatif atau bantuan seumpamanya.

Status: Tidak Benar

 

44. Diskaun Cukai (Membeli?) Rumah.

Tular: Diskaun cukai rumah Semenanjung 10%.

Rasmi: Tiada bantuan seumpamanya. Cuma terdapat Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga tahun 2021 dimana hartanah di bawah HOC berhak mendapat diskaun minimum 10% untuk pembelian rumah pertama.

Status: Tidak Benar

 

45. Diskaun bil elektrik.

Tular: Diskaun bil elektrik Malaysia Barat 10%.

Rasmi: Rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik pada kadar 2 sen setiap kilowatt perjam iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga sembilan peratus bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021 di bawah Pakej Bantuan PERMAI 2021.

Status: Tidak Benar

 

46. Diskaun bil elektrik.

Tular: Diskaun 13% untuk Semenanjung Elektrik.

Rasmi: Pengguna yang telah menerima diskaun bil elektrik 15% di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) bagi tempoh 1 April hingga 30 September 2020 secara automatik akan diberikan diskaun bil elektrik 10% di bawah Pakej PERMAI 2021 oleh pembekal elektrik masing-masing (TNB/ SESB/ SEB).

Status: Tidak Benar

 

47. Larangan keluar individu bawah 18 tahun.

Tular: Berumur di bawah 18 tahun tidak boleh keluar selepas jam 6 petang

Rasmi: Tiada arahan larang remaja bawah 18 tahun keluar rumah selepas jam 6 petang sepanjang PKP 2.0.

Status: Tidak Benar

 

48. Bantuan warga emas.

Tular: Berumur 55 tahun ke atas boleh mendapat Rm30x3 bulan.

Rasmi: Tiada bantuan seumpamanya sepanjang pelaksanaan PKP.

Status: Tidak Benar

 

49. Penutupan sektor perkilangan.

Tular: Sektor pembinaan dilarang.

Rasmi: Sektor pembinaan antara lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu ketika PKP 2.0.

Status: Tidak Benar

 

50. Sekatan industri pembinaan.

Tular: Dilarang memulakan pembinaan di kawasan penting.

Rasmi: Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan alat perlindungan diri (PPE).

Status: Tidak Benar

 

51. Penutupan kawasan awam/aktiviti/ekonomi.

Tular: Kawasan yang tidak penting dilarang  

Rasmi: Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home berkuatkuasa.

Status: Benar

 

52. Pemendekan waktu perkhidmatan pejabat kerajaan.

Tular: Jabatan Kerajaan 7 am-2pm.

Rasmi: Pejabat kerajaan beroperasi penuh ketika PKP 2.0.

Status: Tidak Benar


Dapat dilihat hanya 13 daripada keseluruhan 52 perkara yang disenaraikan menepati pengumuman rasmi SOP pelaksanaan PKP 2.0. Majoriti perkara yang disenaraikan (39 item) adalah tidak benar. 

 

Penafian pihak berkuasa

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui hantaran di laman Facebook rasmi bertarikh 31 Januari 2021 telah menegaskan mesej ini adalah palsu.

 


 

Oleh itu, KKM meminta semua rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar.

Malangnya, berdasarkan pemerhatian kami, tuduhan ini masih berulang dan tersebar di media sosial meskipun penafian telah dibuat oleh pihak berwajib.

Apa yang menjadi persoalan MyCheck ialah mengapa ada individu yang ‘rajin’ mencipta dan menyebarkan SOP tidak benar tersebut? 

Nasihat kami, janganlah terjebak menyebarkan berita palsu. Selidik dahulu kesahihannya. Rakyat Malaysia kan celik membaca. Kita mampu mengubahnya.

 

-- MYCHECKMY--

 

RUJUKAN

  1. Majlis Keselamatan Negara. “SOP am Perintah Kawalan Pergerakan” Dikemaskini 27 Januari 2021.

  2. Berita Harian. “Pasar malam, kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibenarkan beroperasi esok” Diterbitkan pada 4 Februari 2021.

  3. Berita Harian. “PKP dilanjut hingga 18 Februari” Diterbitkan pada 2 Februari 2021.

  4. Berita Harian. “Mesej SOP ketat adalah palsu” Diterbitkan pada 31 Januari 2021.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.