Senarai Pakej Bantuan Adalah 'Pancing' Kepada Artikel Di Portal Maklumat // #SemakPantas

04/02/2021 08:07 PM

Benarkah...

Sebaran senarai bantuan kerajaan disebar, menggalakkan rakyat untuk memohon.

Sumber : WhatsApp /Januari 2020

Hasil

Pautan membawa pengguna ke channel Telegram kepada artikel di portal maklumat, pada artikel barulah ada pautan ke laman permohonan bantuan yang disenaraikan.

Penyelidik : Suziy C. Mat

SEKILAS FAKTA 

  • Senarai bantuan tersebut merupakan insentif dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
  • Semua pautan dalam mesej WhatsApp membawa pengguna channel Telegram untuk mendapatkan artikel di portal maklumat.
  • Orang ramai perlu memohon secara dalam talian dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal JKM dan Kementerian Kewangan

 


 

LATAR BELAKANG  

Ramai dalam kalangan rakyat berdepan pelbagai cabaran, khususnya terbeban dengan kos sara hidup kerana ada di antara kita yang pendapatannya terjejas mahupun kehilangan pekerjaan disebabkan pelaksanaan PKP. 

Pelbagai saluran bantuan juga telah disediakan kerajaan termasuk oleh pelbagai NGO untuk kemudahan rakyat. Namun mungkin ada yang belum tahu jenis bantuan yang ditawarkan dan cara memohon bantuan-bantuan yang tersedia.

 

MENGENAI DAKWAAN

Mesej yang tersebar menyatakan tentang tujuh pakej bantuan kerajaan yang boleh dimohon tetapi masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

Maklumat itu juga meminta orang ramai agar cepat-cepat mengisi permohonan kesemua bantuan seperti yang tertera pada pautan yang disertakan.

 

APA YANG KAMI TEMUI 

Destinasi pautan di WhatsApp

Pautan pada mesej di WhatsApp membawa kepada channel Telegram di aplikasi Telegram dengan nama Tcer.my

Di sini terdapat pautan kepada artikel berkenaan jenis-jenis bantuan yang disediakan kerajaan serta pautan tambahan ke platform lain milik Tcer.my.

 


 

Kredibiliti maklumat yang disiarkan

Artikel-artikel yang disiarkan semuanya berkisar tentang maklumat mengenai bantuan namun tidak semuanya memberitahu cara untuk memohon secara jelas bahkan ada juga artikel yang memerlukan pembaca membuka artikel lain untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

Kami senaraikan pautan dan maklumat pada artikel seperti di bawah:

  1. Bantuan RM100 Bakul Makanan JKM : https://t.me/tcerdotmy/3516 -- Maklumat tentang bantuan, tiada hyperlink ke laman permohonan.
  2. BPR 2021 : https://t.me/tcerdotmy/3510 -- Maklumat tentang bantuan dan ada hyperlink untuk memohon.
  3. Bantuan Untuk Orang Tua JKM : https://t.me/tcerdotmy/3496 -- Maklumat tentang bantuan dan ada hyperlink untuk memohon.
  4. Bantuan Untuk Kanak-kanak : https://t.me/tcerdotmy/3495 -- Maklumat tentang bantuan dan ada hyperlink untuk memohon.
  5. Bantuan Laptop & Internet Untuk B40 : https://t.me/tcerdotmy/3494 -- Maklumat tentang bantuan dan ada hyperlink untuk memohon bagi jenama Acer, Samsung dan Apple.
  6. Bantuan Rumah Mesra Rakyat SPNB 2021 : https://t.me/tcerdotmy/3456  -- Maklumat tentang bantuan dan ada hyperlink ke laman sesawang SPNB (Perlu msauk ke tab ‘Kediaman’ untuk memohon).
  7. Bantuan Awal Persekolahan 2021 : https://t.me/tcerdotmy/3450 -- Maklumat tentang bantuan. Tiada hyperlink permohonan kerana bantuan disalurkan kepada pelajar melalui pihak sekolah.


Ada Yang Rasa Tertipu

Kami kemudiannya meneliti satu persatu komen dan reaksi orang ramai yang keliru dan seolah olah berasa tertipu dengan maklumat tersebut. Buktinya dapat dilihat di ruang komen pada mesej-mesej yang disiarkan.

 


 

Bagi kami, jika seseorang membaca arahan ‘Info lanjut di sini’ dalam mesej yang disiarkan, mereka pasti akan menemui maklumat seperti yang kami nyatakan di atas.

Boleh jadi kerana makluman itu tidak dibaca dengan teliti, ada yang berasa tertipu kerana pautan membawa mereka ke destinasi ‘singgahan’ sebelum boleh mendapat maklumat sebenar yang diharapkan.

Pendapat kami di MyCheck, siaran mesej asal adalah untuk memancing pengguna masuk ke channel telegram Tcer.my yang digunakan untuk mempromosi artikel-artikel siaran portal itu.

Ketika artikel ini ditulis, channel ini telah mempunyai lebih 74,600 subscribers. 


Menglolah malumat berita tempatan

Seterusnya setelah Mycheck meneliti portal Tcer.my melalui pautan yang tertera pada maklumat diberikan, maklumat-maklumat yang disiarkan di portal ini mengolah semula maklumat daripada sumber media mainstream menjadi artikel sendiri seperti memetik laporan berita BH Online

Laporan BH Online pada 18 Januari 2021 menjelaskan pelbagai insentif serta bantuan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas beliau mengenai Belanjawan 2021 atau Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia  PERMAI 2021 bernilai RM15 bilion.

 

Bantuan sudah lama diumumkan

Maklumat mengenai bantuan yang disebarkan bukanlah baharu tetapi telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November 2020 lepas. 

Maklumat penuh mengenai bantuan yang disediakan boleh didapati di laman khusus terbitan Kementerian Kewangan dan bagi mereka yang memenuhi kriteria bantuan tersebut, boleh memohon melalui mana-mana cawangan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan atau merujuk maklumat lanjut di portal JKM.

Pelajaran yang boleh kita ambil adalah, sebaik menerima sesuatu maklumat, orang ramai dinasihatkan agar membaca isinya secara terperinci terlebih dahulu. Jadi tidaklah berlaku salah sangka dan akhirnya kita merasa ditipu.

-- MYCHECKMY --

 

RUJUKAN

  1. Beita Harian “COVID-19: Bakul makanan bantu rakyat terkesan wabak, potongan cukai untuk penderma” diterbitkan  18 Januari 2021. 
  2. Berita Harian “Pakej bantuan PERMAI ringankan beban rakyat” diterbitkan 28 Januari 2021
  3. Tcer.My “Kerajaan akan laksanakan bantuan RM100 bakul makanan bagi yang terkesan Covid-19 Jan31” diterbitkan Januari 31 2021
  4. THE ROHANI “PERMAI 2021: Pakej Bantuan PERMAI Bernilai RM15 Billion” diterbitkan Januari 2021
  5. THE ROHANI “Cara Mohon Bakul Makanan JKM 2021 (Bantuan PERMAI)” diterbitkan Januari 2021

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.