+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Calitan Dubur Bagi Mengesan Covid-19 BUKAN di Malaysia // #SemakPantas

Benarkah...

Semua calitan mengesan Covid-19 akan dibuat di lubang dubur dan tidak lagi pada hidung.

Sumber : Sumber: WhatsApp dan Facebook /Januari 2020

Hasil

Tajuk berita disunting pihak tidak bertanggungjawab.

29/01/2021 08:07 PM

SEKILAS FAKTA 

  • Logo BH online disalahgunakan pihak lain untuk menyebar tajuk berita palsu
  • Tiada sebarang pengumuman atau kenyataan rasmi kerajaan Malaysia berkenaan kaedah lain calitan Covid-19 selain menerusi tekak dan hidung.
  • China satu-satunya negara yang telah mengumumkan untuk memulakan ujian calitan di dubur.


 

LATAR BELAKANG  

Media tempatan dan antarabangsa melaporkan China telah mula melaksanakan ujian calitan di bahagian dubur bagi mengesan Covid-19.

Menurut portal Sinar Harian yang memetik laporan China Central Television (CCTV), pemerintah China menggunakan kaedah calitan dubur (anal swab) ke atas individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

Menurut laporan CCTV lagi, pakar-pakar perubatan China bersetuju bahawa kaedah calitan tersebut lebih tepat untuk mengesan virus Covid-19 berbanding ujian calitan tekak dan hidung.

 

MENGENAI DAKWAAN 

MyCheck Malaysia menerima tangkap layar berita yang dikatakan siaran portal Berita Harian (BH Online) bertajuk 'Swab Testing: Tiada Lagi calitan di lubang hidung, selepas ini calitan akan dibuat di lubang dubur' yang telah tular di Facebook dan Whatsapp.

Berikutan itu, warga maya di negara ini hangat membincangkan mengenai perkara itu dan pelbagai reaksi diberikan mereka kerana berasa perkara itu adalah janggal jika dilaksanakan di Malaysia. 

 


 

APA YANG KAMI TEMUI 

Sumber serta pautan laporan BH tidak ditemukan

Bagi merungkai dakwaan yang tular tersebut, MyCheck mencari pautan berita penuh di BH Online namun, tiada sebarang laporan berita sedemikian ditemui. Malah, tiada laporan oleh mana-mana media tempatan lain yang turut melaporkan berita seperti dakwaan yang tular itu.

Semakan seterusnya menerusi pelbagai medium laman sosial membawa kepada penemuan penafian yang dibuat oleh Portal Berita Harian online di laman Facebook rasminya.

BH Online telah membuat penafian di laman Facebooknya beberapa jam selepas tangkap layar tersebut tular di media sosial.

Kenyataan penafian BH online adalah seperti berikut:

 

“Tangkap layar di bawah adalah perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyalahgunakan logo BH Online dan membuat suntingan tajuk berita palsu.”- Facebook BH Online

 


 

Parodi 

MyCheck turut menerima tangkap layar berbentuk parodi. Tangkap layar dengan berita bertajuk 'Malaysia dijangka ikut Cina guna kaedah calit dubur kesan covid-19'.

Tangkap layar tersebut menggambarkan seolah-olah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membuat pengumuman tersebut. 

Bagaimanapun, sumber berita yang tertera pada imej tangkap layar tersebut ialah ‘BERINAMA’ yang ejaannya kelihatan seperti portal Agensi Berita Nasional Malaysia BERNAMA.

 


  

 

Sumber asal: CCTV News

Laporan media tempatan dan antarabangsa mengenai cara baharu bagi menguji jangkitan Covid-19 yang dilaksanakan oleh China itu rata-ratanya memetik CCTV News sebagai sumber mereka.

 


 

Kebanyakan media melaporkan menurut kenyataan oleh Pengarah Jabatan Penyakit Pernafasan dan Penyakit Berjangkit Hospital You An, Beijing, Li Thong Zang dalam wawancara dengan televisyen negeri itu minggu lalu.

Li menjelaskan bahawa teknik pengesanan calitan dubur boleh diguna pakai berdasarkan penyelidikan bahawa virus yang terdapat di dubur boleh bertahan lebih lama daripada di saluran pernafasan terutama dalam mengesan kes tanpa gejala. 

Beliau turut dilaporkan berkata teknik ini hanya digunakan pada kumpulan berisiko, termasuk mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin.

 

Laporan media tempatan dan antarabangsa mengenai calitan dubur

Pencarian laporan berita mengenai calitan berkenaan menggunakan kata kunci ‘anal swab-China’ dan ‘calitan dubur’ menyenaraikan berita dilapor media antarabangsa dan tempatan berkenaan isu ini.

Antara tajuk laporan yang ditemukan menerusi carian dengan kata kunci tersebut ialah:

Al - Jazeera: 'Chinese cities using anal swabs to screen COVID infections'

Reuters - 'Chinese cities using anal swabs to screen COVID-19 infections'

Bloomberg - 'China’s Zero-Tolerance Covid Tactics Now Include Anal Swabs'

Washington Post - 'China rolls out anal swab coronavirus test, saying it’s more accurate than throat method'

India Today - 'Explained: How accurate is the anal swab Covid-19 test rolled out in China'

Global Times - 'Beijing tests for COVID-19 using anal swabs, where virus may survive longer: experts'

Independent - 'Covid: China enforces anal swab testing ahead of Lunar New Year rush'

 

Tangkap layar carian dalam Bahasa Melayu adalah seperti di bawah:

 


 

Tekak sudah memadai

Memetik laporan BH Online , Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, menjelaskan peratusan pengecaman Covid-19 menerusi calitan di tekak dan hidung adalah lebih tinggi.

Justeru, beliau berpendapat tidak perlu ujian pengesanan COVID-19 melibatkan dubur atau rektum yang cuma mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.

Data pengecaman virus tersebut menerusi calitan nasopharyngeal' dan tekak adalah 88 peratus manakala najis, dubur atau rektum adalah 70 peratus. 

Sementara kedah calitan di selaput lutsinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata pula hanya satu peratus dan air kencing dan calitan vagina masing-masing kosong peratus.

 


 

Nasihat kami, janganlah mudah ‘melompat’ apabila mendapat maklumat yang kedengaran pelik. Sahkan dahulu sebarang berita yang diterima. Sekurang-kurangnya rujuklah laporan berita penuh terlebih dahulu, bukannya tangkap layar sahaja ya!

-- MYCHECKMY --

 

RUJUKAN

  1. Harian Metro "Covid-19: China jalankan ujian calitan di dubur" Diterbitkan pada 28 Januari 2021.
  2. Sinar Harian "China mula laksana swab dubur kesan Covid-19" Diterbitkan pada 28 Januari 2021.
  3. Berita Harian Online 'Penafian Berita palsu' Diterbitkan pada 28 Januari 2021.
  4. Kosmo 'Calitan dubur didakwa lebih tepat kesan Covid-19' Diterbitkan pada 28 Januari 2021.
  5. Berita Harian "Calitan tekak dan hidung lebih berkesan, tak perlu calitan dubur" Diterbitkan pada 28 Januari 2021.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.